Umno Bahagian Permatang Pauh tidak gentar untuk berhadapan
dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mempertahankan
kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Ketua UMNO bahagian itu Datuk Abdul Jalil Abdul Majid
berkata pihaknya tidak akan terjebak dengan muslihat politik Anwar yang sebelum
ini mengumumkan untuk bertanding di luar kawasan kubu kuatnya itu kerana
percaya tindakan Ketua Umum PKR itu sebagai helah untuk melekakan jentera
pilihan raya Umno.
Beliau berkata pihaknya telah membuat persedian sejak awal
lagi untuk berhadapan dengan siapa juga calon terutama penyandangnya, Anwar.
"Kita tahu Anwar tidak habis-habis menipu dengan taktik
itu (mengumumkan bertanding di luar) supaya kita tidak payah bekerja kuat atau
leka, sebaliknya beliau silap kerana Umno di sini telah membuat persedian dari
awal lagi.
"Umno Permatang Pauh tidak akan terpedaya dengan taktik
Anwar sebaliknya kita akan menentang beliau habis-habisan di kubu
kuatnya," katanya kepada pemberita selepas Program Santai Anak Muda
Berkoperasi Parlimen Permatang Pauh di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang
Pasir di sini hari ini.
Program yang dihadiri kira-kira 8,000 orang itu dirasmikan
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Nik Ali Mat
Yunus.
Anwar mengumumkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen
Permatang Pauh yang dimenanginya pada PRU-13 pada satu ceramah di Taman Pauh
malam kelmarin.
Abdul Jalil berkata jentera pilihan raya Barisan Nasional
(BN) di Permatang Pauh sudah bersedia menggempur kubu lawan dan tidak akan
memberi laluan mudah kepada Anwar untuk menang di parlimen itu.
"Kita memberi amaran kepada Anwar bahawa jentera di
sini telah bersiap sedia dan tidak akan memberi laluan atau kemenangan mudah
sebaliknya kita akan merampas kembali kerusi yang menjadi kubu kuat PKR itu
pada pilihan raya kali ini," katanya.
Anwar memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh selepas
mengalahkan calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Mamat daripada
Angkatan Keadilan Islam Malaysia (Akim) pada pilihan raya kecil Permatang Pauh
pada 2008 dengan majoriti 15,671 undi. - Bernama
No comments:
Post a Comment