Monday, 22 April 2013

PKR-PAS umum tarik diri beberapa kerusi, undang-undang kata tak boleh...

pru-pkr-pasxx

PKR umum tiga calonnya yang bertanding di tiga DUN Terengganu iaitu Bukit Besi, Kota Putera dan Seberang Takir yang bertindih dengan calon Pas menarik diri.
Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail memaklumkan perkara tersebut.
Manakala PAS dalam kenyataannya berkata parti itu bercadang menyerahkan kerusi Parlimen Labuan, DUN Sungai Aceh di Pulau Pinang dan Panti di Johor kepada PKR.
Manakala kerusi DUN Kota Damansara di bawah Parlimen Subang akan dirundingkan antara PAS dan PKR.
Cadangan ini diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS yang dipengerusikan oleh Presiden PAS.
Perkara ini diumumkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang media di Pusat Media PAS Jalan Raja laut hari ini.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula memberitahu, pihaknya tidak akan melayan mana-mana calon yang disahkan bertanding pada PRU13 menarik diri selepas tempoh penamaan pada Sabtu lalu.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, ia berdasarkan pindaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) tahun lalu yang tidak membenarkan mana-mana calon yang telah secara rasmi diumumkan oleh pegawai pengurus di pusat penamaan calon menarik diri.
"Kalau calon itu memutuskan untuk menarik diri, itu menjadi hak peribadi mereka, bagaimanapun mengikut undang-undang, SPR tetap akan mencetak kertas undi yang mempunyai nama dan logo calon itu," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media SPR Putrajaya hari ini.

No comments:

Post a Comment