Tuesday, 23 April 2013

Undi Pos Polis: Usaha memburukkan imej SPR bagi meraih undi simpati telah bermula!


Petang tadi telah tersebar dengan meluas melalui Facebook gambar kertas undi dengan kenyataan yang saya anggap sebagai satu lagi cubaan untuk memburukkan SPR.

Setakat saya menulis artikel ini, sebanyak 1,566 orang telah like dan 5,224 share gambar dari page yang diuruskan oleh penyokong PAS, PKR dan DAP ini.

Sungguh hebat jentera psywar Pakatan dalam menyemai keraguan kepada pihak SPR. Apabila pengundi ragu kepada SPR, bermakna undi simpati akan diperoleh Pakatan.

Ayuh kita lihat isu yang dibangkitkan dari gambar yang dimainkan orang-orang PAS, PKR dan DAP:


Pertama, Admin page Janji Dicapati cuba mengelirukan pembaca apabila mengeluarkan kenyataan berikut:

Anggota Polis diarahkan mengundi hari ini..Kegilaan apakah ini meskipun difahamkan tarikh pengundian awal sepatutnya ialah pada 30 April 2013 (lima hari sebelum tarikh undi awam).

Hakikatnya, Undi Pos dan Undi Awal adalah dua perkara yang berbeza. Admin berkenaan gagal membezakannya.

Panduan Pengundian Awal yang dikeluarkan SPR dan boleh dimuat turun melalui portalnya jelas menyatakan mereka yang layak untuk mengundi awal ialah:

1. Anggota tentera
2. Isteri atau suami anggota tentera
3. Polis
4. Isteri atau suami kepada seorang pegawai Polis yang berkhidmat dengan Pasukan Gerakan Am (PGA)

Namun, anggota tentera dan PDRM (tidak termasuk pasangan) yang bertugas dalam operasi sama ada di dalam atau di luar negara semasa Hari Undi Awal diberi kebenaran untuk mengundi secara pos. Undi Pos juga dibenarkan kepada petugas media dan petugas pilihan raya. Baca di portal PRU13 ini untuk lebih jelas.

Tarikh Undi Awal sememangnya telah ditetapkan pada 30 April 2013 tetapi Undi Pos, borangnya telah mula dikeluarkan semalam, 22 April 2013.

Ini bermakna pengundi pos boleh memangkah bila-bila masa setelah menerima borang berkenaan asalkan ia dikembalikan sebelum jam 5.00 petang, 5 Mei 2013, yakni hari Undi Biasa.



Kedua,

1) Undi pos sepatutny bermula 3 hari awal dr undi awam tp skrg ni baru berapa hari bulan

Hakikatnya, Undi Pos bukan bermula 3 hari awal dari undi awam. Undi Pos bermula lebih awal dari itu. Rujuk gambar di atas mengenai Notis Pengeluaran Undi Pos yang secara jelas menyatakan bagi Parlimen 111 Kota Raja, ia berlaku semalam, 22 April 2013. 13 hari sebelum Hari Undi Biasa, bukan 3 hari.


Ketiga,

2)Undi tnpa ada pemerhati dari spr,hnya kantung undi sahaja yg ada

Hakikatnya, undi pos bagi polis dan tentera tidak semestinya perlu ada pemerhati dari SPR pada hari edaran kertas undi. Ini kerana pihak SPR akan menyerahkan sampul-sampul undi kepada wakil-wakil pengundi pos seperti "Courier" Polis dan "Courier" Tentera untuk kedua-dua anggota keselamatan berkenaan. Bagi mereka yang tiada wakil, sampul undi pos akan diposkan menggunakan pos berdaftar kepada pengundi yang layak. Jadi, sewaktu mereka mengundi, sememangnya di sisi mereka tidak perlu ada wakil SPR. Mereka hanya perlu mengembalikan sampul berkenaan tanpa perlu meletakkan setem.

Admin Janji Dicapati perlu memahami proses undi pos sebelum cuba mengelirukan pembaca untuk menagih simpati. Di portal PRU13 ada dengan jelas menceritakan langkah demi langkah bagaimana proses Undi Pos.

Jika penerima kertas undi yang berkenaan tidak selesa untuk mengundi pada hari ini, beliau tidak perlu memasukkan kertas undinya ke dalam kantung berkenaan. Beliau boleh mengundi di rumah, kedai mamak atau di mana-mana lokasi disukai asalkan dikembalikan kepada Pegawai Pengurus yang bekenaan sebelum jam 5.00 petang 5 Mei 2013.


Keempat,

3)Kertas undi ada no siri

Hakikatnya, kertas undi memang ada nombor siri. PRU-PRU sebelum ini pun memang sudah ada nombor siri. Kenapa perlu ada nombor siri? Tujuannya bagi memastikan jumlah kertas undi yang berada di dalam peti undi adalah tidak lebih dari kertas undi yang dikeluarkan. Baca di portal PRU13 untuk faham dengan lebih lanjut.


Kelima,

4)Sebelum pangkah undi,terdapat borang yg sudah tertera nama pengundi beserta no ic dan no siri yg sama dgn kertas undi

Hakikatnya, borang yang tertera nama pengundi berserta nombor IC itu adalah Borang 2 yakni Borang Pengisytiharan Identiti. Borang ini bukan baru dipakai pada tahun ini. Penggunaannya dalam pengundian pos dipersetujui oleh wakil-wakil parti politik termasuk PAS, PKR dan DAP yang berada dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC). Azmin Ali (PKR), Hatta Ramli (PAS) dan Loke Siew Fook (DAP) adalah anggotanya.


Keenam,

5)Borang tersebut dimasukkan bersama kertas undi ke dalam sampul sebelum digam dan dimasukkn ke kantung undi

Hakikatnya, pengundi pos perlu mengambil tindakan berikut terhadap borang-borang yang diterimanya:

Memasukkan kertas undi ke dalam Sampul A.
Memasukkan Borang Pengisytiharan Identiti ke dalam Sampul B.
Memasukkan Sampul A yang mengandungi kertas undi ke dalam Sampul B.

Oleh itu, secara teknikalnya borang berkenaan sebenarnya terasing dari kertas undi.

Pada hari pengiraan undi pos di hadapan wakil-wakil calon parti bertanding, Pegawai Pengurus akan:

Membuka Sampul B dan menyemak sama ada butiran pada Borang Pengistiharaan Identiti di dalamnya diisi dengan lengkap. Ia bagi memastikan maklumat orang yang mengisi borang berkenaan yakni pengundi pos adalah sama dengan data yang dimiliki SPR.
Memastikan nombor siri kertas undi pada Borang Pengistiharan Identiti adalah sama pada Sampul A yang mengandungi kertas undi dan belum dibuka.
Memasukkan Sampul A yang belum dibuka ke dalam dulang Sampul A bagi menyelesaikan proses semakan terhadap semua sampul undi pos yang diterima sebelum pengiraan bermula.

Proses-proses pengiraan pengundian pos boleh dibaca dengan jelas pada Portal PRU13.


Ketujuh,

6)Undi tak rahsia langsung,siap ada no siri,kwn2 ada kiri kanan,bersepah2 undi..tiada tmpat khas utk mengundi!!

Hakikatnya, nombor siri sememangnya ada pada kertas undi sama ada kertas undi biasa, undi pos atau undi awal bagi tujuan perbandingan jumlah kertas undi yang dikeluarkan dengan kertas undi yang berada di dalam peti undi.

Jika pengundi pos tidak selesa disebabkan ada rakan-rakan di kiri dan kanan serta bersepah-sepah mengundi, beliau boleh memilih untuk membawa balik borang berkenaan dan memangkah apabila mahu. Sebagaimana yang dijelaskan, beliau boleh mengundi pada bila-bila masa dan di mana-mana saja mengikut keselesaan asalkan kertas undi lengkap dikembalikan kepada Pegawai Pengurus sebelum jam 5.00 petang 5 Mei 2013.

Itu jawapan saya terhadap kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh Admin page Janji Dicapati.

Sangat malang di pihak SPR, mereka tidak mewujudkan satu pasukan khas bagi menangkis serangan-serangan sebegini di musim pilihan raya. Sepatutnya SPR mempunyai satu pasukan maya yang bertugas 24 jam sehingga selesai pilihan raya bagi memastikan tohmahan dapat dijawab on-the-spot, tanpa perlu menunggu untuk mengadakan sidang akhbar selepas beberapa hari isu dimainkan PAS, PKR dan DAP.

Walaupun jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan ada di portal khas yang diwujudkan sempena PRU13, SPR tidak boleh sekadar mengharapkan orang awam akan mengunjunginya bagi mendapatkan maklumat.

Kita para pengundi harus berhati-hati dengan pelbagai tindakan gerak saraf yang cuba ditimbulkan sepanjang tempoh berkempen ini.

Semoga kebenaran akan menenggelamkan yang bathil dalam PRU13.

Wassalam.
~STOPA~

No comments:

Post a Comment