Tuesday 3 February 2015

TEKAD SOKONG ISMAIL SABRI, MASA UNTUK BOIKOT PENIAGA HALOBA - Reezal Merican


DS Ismail Sabri Yaakob adalah Menteri KPDNKK sebelum beliau dilantik menjadi Menteri Pertanian.Sebagai bekas Menteri KPDNKK sudah tentu beliau cukup arif tentang perihal harga barangan, jumlah pemborong dan peniaga yang terlibat dengan perniagaan barangan keperluan harian rakyat. Majoritinya memang mewakili kaum tertentu.
Realiti ekonomi Malaysia tidak mungkin dapat lari daripada fakta itu. Pokoknya bukan kita mahu menjadi rasis. Kenyataan DS Ismail Sabri punya asas dan alasan kukuh.
Sebagai bekas Menteri yang menjaga Hal Ehwal Pengguna sudah tentu beliau juga sedar betapa pengguna Malaysia tidak menggunakan kuasa pengguna yang ada pada mereka untuk mengekang kenaikan harga barangan secara tidak berpatutan.
Rakyat tidak boleh hanya bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berwajib semata-mata dalam memerangi peniaga-peniaga yang mengambil keuntungan berlebihan. Kuasa pengguna lebih berpengaruh jika bertindak di atas semangat padu menolak peniaga haloba. - Reezal Merican

UMNO Selangor kalah PRU-13 disebabkan kesilapan Mohd Zin - Ismail Kijo


KUALA LUMPUR: Sikap Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed ‘terlalu berkuasa’ dan rasa ‘terlalu hebat’ menentukan sendiri calon wakil rakyat pada pilihan raya 2013 menjadi kesilapan besar yang tidak boleh dimaafkan oleh ahli-ahli UMNO.
Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, kesilapan Mohd. Zin yang ketika itu menjadi Timbalan Pengarah Pilihanraya Barisan Nasional (BN) Selangor telah mengagalkan hasrat ‘merampas’ semula kerajaan negeri.
“Sehingga meletakkan calon dia (Mohd. Zin) tidak bergantung kepada (bantuan) agensi-agensi seperti yang menjadi amalan biasa seperti MIO, Jasa, KEMAS dan sebagainya. Datuk Mohd. Zin rancang ikut andaian dia dan dia mempengaruhi Presiden. Dia yakin dan cakap kepada PM kita akan menang besar tetapi dalam masa yang sama tidak meletakkan calon yang sebenar,” jelasnya, lapor MalaysiaGazette.
Ismail juga mendakwa, Mohd. Zin hanya meletakkan calon-calon kegemarannya yang akan menyokong beliau sekiranya BN menang pilihan raya 2013.
Beliau berkata, “Dia (Mohd. Zin) tidak berpijak di bumi nyata. (ambil calon) Tidak berdasarkan maklumat agensi dan maklumat sebenar sehingga menjadikan apa yang dibuat Mohd. Zin meleset.”
“Selangor bukan sahaja tidak dapat mengekalkan 20 kerusi seperti sebelum itu tetapi tetapi kecundang lebih banyak bila kerusi tinggal 12 sahaja (di DUN Selangor). Lebih teruk, daripada 12 kerusi itu tidak seorang pun calon wakil rakyat daripada parti komponen BN yang menang,” tambah beliau.
Malah Mohd. Zin juga kalah di tempat sendiri walaupun mendakwa mendapat undi majoriti paling tinggi dalam sejarah BN semasa memenangi Parlimen Sepang pada pilihan raya sebelum itu.
Ismail yang juga Pengerusi BN Bahagian Ampang dan Penyelaras Parlimen yang sama mendapati, di tangan Mohd. Zin, kira-kira 70 peratus wakil rakyat ditukar semasa PRU-13 lalu dan seakan-akan mengenepikan terus orang lama yang digemari pengundi.
“Hampir 70 peratus pertukaran dibuat Mohd. Zin, akhirnya apa yang kita (BN dan UMNO Selangor) dapat,” ujarnya yang percaya gabungan muka baharu dan lama oleh BN sejak pilihan raya tahun 1955 masih relevan.
Beliau juga menafikan dirinya kecewa kerana tidak dipilih Mohd. Zin kerana pada tahun 2013 dia sudah tidak lagi berhasrat menjadi menjadi wakil rakyat.

Sumber: FreeMalaysiaToday

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sumbang RM158,000 Bantu Kakitangan Terlibat Banjir di Kelantan


KOTA BAHRU, 2 FEBRUARI-Sumbangan bencana banjir kepada warga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang terlibat dalam bencana tersebut telah diserahkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato' Sri Rohani Abdul Karim di sini.

"Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua warga KPWKM yang telah bersama-sama berganding bahu dalam menjalani tugas ketika berhadapan dengan banjir walaupun tanpa disedari petugas kita juga merupakan antara mangsa tersebut," kata Rohani ketika menyampaikan sumbangan berupa cek kepada kakitangan KPWKM yang terlibat dengan bencana banjir.

Dalam majlis berkenaan, Rohani telah menyerahkan ‘mock cheque' sebanyak RM 158,000 kepada seramai 158 orang kakitangan yang terkesan akibat bencana banjir  yang diwakili terdiri daripada Pengarah Negeri bagi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN) dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

"Dengan cara ini, saya berharap agar sumbangan yang dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan mereka sekurang-kurangnya untuk membeli keperluan asas," kata Rohani.

Rohani bersama rombongan juga turut akan mengadakan lawatan ke penempatan sementara yang didirikan untuk mangsa banjir oleh sukarelawan dari Persatuan Tzu-Chi Merit Malaysia. Sukarelawan persatuan tersebut telah bergotong-royong membersihkan beberapa kawasan yang teruk terjejas antaranya di Kota Bharu, Tanah Merah dan Manek Urai di Kuala Krai.

"Saya ingin berterima kasih kepada Tzu Chi di atas khidmat sosial yang disumbangkan kepada mereka yang menjadi mangsa bencana ini. Difahamkan bahawa para sukarelawan Tzu Chi telah berkampung sejak banjir besar mula melanda negeri ini," tambah Rohani lagi.

Beliau juga akan menziarahi beberapa buah rumah  warga KPWKM yang terlibat dengan banjir baru-baru ini di Tanah Merah.

Menurut Rohani lagi, bencana alam yang terjadi baru-baru ini adalah tragedi yang amat dasyat dan kita semua bertanggungjawab untuk bersama-sama membantu memulihkan kehidupan mangsa yang terjejas tanpa mengira bangsa dan agama.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut ialah YBhg. Dato' Sabariah Hassan, Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Encik Wee Beng Ee, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), YBhg. Dato' Dr. Siti Norlasiah Ismail, Ketua Pengarah LPPKN, pengarah-pengarah Jabatan dan agensi di bawah KPWKM dan kakitangan-kakitangan Jabatan dan agensi di bawah KPWKM.

Rohani Karim Lawat Nik Aziz di HUSM


Kota Bharu, 3 Feb - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Sri Rohani Abdul Karim yang sedang mengadakan lawatan kerja ke Terengganu dan Kelantan bagi menyampaikan sumbangan bantuan banjir kepada warga Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, hari ini melawat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Azizi Nik Mat yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Beliau yang tiba kira-kira jam 3.30 petang tadi disambut isteri Nik Aziz, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan kakitangan hospital, meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk melihat serta bertanyakan perkembangan kesihatan bekas Menteri Besar Kelantan itu. 

“Alhamdulillah..kesihatan Datuk Nik Abdul Aziz semakin baik, Marilah kita semua berdoa kepada Allah SWT semoga beliau cepat pulih,” kata beliau.

Mursyidul Am PAS itu dimasukkan ke hospital pada 19 Januari lalu. Beliau dikatakan menghidap sejenis penyakit barah yang kini merebak ke organ dalaman.


Rohani Kunjung Mangsa Banjir Warga JKM Negeri Kelantan


Tanah Merah: Tiada apa yang lebih mengembirakan bagi Puan Sharifah Nurul Shihar, wargakerja Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan bila menerima kunjungan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Sri Rohani Abdul Karim yang melawat rumah beliau yang menjadi mangsa banjir di Taman Keltra Tanah Merah Kelantan. 

Kehadiran Rohani bagai satu kejutan yang tidak disangka kepada keluarga mangsa dan terharu dengan keprihatinan yang telah diberikan. Sempat bertanyakan khabar, beliau juga telah menghulurkan sumbangan bagi meringankan sedikit beban yang dialami.

"TETAP PIKUL TUGAS WALAUPUN JADI MANGSA BENCANA" - Rohani Karim


KUALA TERENGGANU, 2 Feb - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato' Sri Rohani Abdul Karim tiba di sini hari ini untuk menyampaikan sumbangan bencana banjir kepada warga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang terlibat.

"Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua warga KPWKM yang telah bersama-sama berganding bahu dalam menjalani tugas ketika berhadapan dengan banjir walaupun tanpa disedari petugas kita juga merupakan antara mangsa tersebut," kata Rohani ketika merasmikan Majlis Penghargaan Penyampaian Warga Kementerian dan Agensi di bawah KPWKM yang Terlibat Mangsa Banjir di Negeri Terengganu dan Kelantan.

Dalam majlis berkenaan, Rohani telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM25,000 kepada warga kakitangan agensi di bawah KPWKM yang terlibat dengan bencana banjir yang diwakili oleh Timbalan Pengarah JKM Negeri Terengganu.

"Dengan cara ini, saya berharap agar sumbangan yang dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan mereka sekurang-kurangnya untuk membeli keperluan asas," kata Rohani.

Dalam majlis tersebut juga, satu sesi perkongsian ilmu berkenaan dengan pengurusan banjir di Kemaman yang disifatkan berada pada tahap terbaik merangkumi pelbagai aspek bantuan terutamanya dari segi prosedur operasi standard yang diselaraskan dengan baik. 

Antara penambahbaikkan yang dilaksanakan di Kemaman ialah memulakan mesyuarat pengurusan bencana daerah seawal April serta simulasi pada bulan November, pembinaan tiga tempat pendaratan helikopter di kawasan yang terputus hubungan darat dan persediaan penduduk Kemaman sendiri yang tahu mengenai tindakan yang perlu dilakukan saebaik daerah itu dilanda banjir. Kerajaan negeri juga akan mendapatkan peruntukan daripada kerajaan pusat untuk meneruskan projek tebatan banjir dan pada masa sama menambah baik pelan pengurusan banjir di Kemaman.

"Kita mahu pengurusan banjir di bawah KPWKM juga sentiasa berada pada tahap terbaik, malah turut bersedia dengan apa jua bencana," tambah Rohani lagi.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut ialah YBhg. Dato’ Sabariah Hassan, Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Dato’ Munirah Binti Abdullah Bajanuddin, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita dan YBrs. Encik Shaballah Zainal Abidin, Timbalan Pengarah JKM

Rohani Karim Sampaikan Bantuan Mangsa Banjir JKM Negeri Kelantan


Manek Urai : Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Dato' Sri Rohani Abdul Karim bersama rombongannya turun ke Manek Urai Lama kawasan yang turut terjejas dengan bencana banjir yang melanda.

Dalam lawatan ini, beliau telah menyampaikan sumbangan kepada warga Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan yang terjejas akibat banjir. Warga JKM Kelantan amat terharu dengan kehadiran beliau dan keprihatinan yang sudi turun padang melihat keadaan mereka di sana.

Sumbangan yang diberikan sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit beban yang mereka alamai.





Saya kasihan pada mereka pamer kain rentang wajah anjing - Tengku Abdul Rahman


Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata beliau berasa kasihan dengan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) yang terlibat mempamerkan kain rentang manusia berwajah anjing pada perlawanan Piala Sumbangsih 2015, Sabtu lalu.
Beliau berkata, individu terbabit seharusnya melihat perlawanan bola sepak daripada sudut positif dan tahu membezakan perkara yang elok atau tidak elok serta sedar bahawa perbuatan menghina tidak dibenarkan agama.
"Saya tidak kesal (dengan insiden itu) tetapi saya kasihan pada mereka yang terlibat dan juga keluarga mereka. Saya tidak faham cara (mereka) berfikir. Kita orang Malaysia bukan begitu cara berfikirnya.
"Kita hendak perkembangan sihat dari semua sudut dan jika masih berfikir seperti budak-budak, berkelakuan seperti anak kecil ... bagaimana hendak membina negara?," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan banjir dan sumbangan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Ulu Tembeling, Kampung Bantal di sini, semalam.
Tengku Abdul Rahman berkata, beliau percaya ibu bapa dan guru-guru juga sudah pasti telah cuba memberi didikan terbaik kepada individu yang terbabit dalam insiden itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas tindakan penyokong JDT membawa kain rentang seorang manusia berwajah anjing sedang mendukung seekor anak anjing dipercayai bertujuan mengaibkan pemimpin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada perlawanan Piala Sumbangsih 2015 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Baharu, Sabtu lalu.
Semasa ditanya jika beliau mengharapkan tindakan lebih tegas daripada FAM, Tengku Abdul Rahman berkata: "Tindakan hukuman merupakan satu daripada jalan untuk menyelesaikan perkara ini, tetapi jika dilihat betul-betul, hukuman mana paling wajar? Pada saya yang paling mujarab ialah kesedaran diri sendiri."
Beliau berharap penyokong Pahang tidak akan mencetuskan perkara provokasi seperti itu di Stadium Darul Makmur di Kuantan kerana ia akan memberi imej negatif kepada persatuan, negeri, diri sendiri dan sukan bola sepak.
Selain itu, Tengku Abdul Rahman turut mengucapkan tahniah kepada JDT yang muncul juara Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2015 selepas mengalahkan Pahang 2-0.
"Saya yakin pasukan Pahang akan bangkit dan memberi permainan yang lebih teratur apabila mereka bermain di Kuantan nanti," katanya. - BERNAMA

Warga Emas Panik, Mata ditutup, tangan diikat tuala


Seorang wanita warga emas panik selepas mata dan mukanya ditutup serta kedua tangannya diikat menggunakan tuala ketika dia sedang nyenyak tidur di rumahnya dalam kejadian samun yang berlaku di Kampung Bercham, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, mangsa Jin Lian Yu, 68, warganegara China yang bekerja sebagai pembantu kedai di sini, turut dipukul di bahagian muka dan paha sebelah kanan oleh dua lelaki yang dipercayai bertindak menyamun rumah warga emas terbabit.

“Ketika kejadian saya terdengar perbualan dua lelaki terbabit namun tidak dapat melihat wajah mereka memandangkan muka saya telah ditutup.

“Saya hanya merasa sakit di bahagian mata sebelah kiri dan paha sebelah kanan akibat dipukul oleh dua lelaki terbabit.

“Malah, mereka turut melarikan beberapa barangan berharga saya antaranya sebentuk cincin emas dan wang tunai RM400.

“Saya mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM1,000,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Lian Yu berkata, kedua-dua lelaki terbabit dipercayai mengumpil pintu pagar belakang rumah dan mematahkan besi tingkap sebelum masuk.

“Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana tidak dicederakan dengan teruk oleh mereka,” katanya yang hanya tinggal bersendirian ketika kejadian itu berlaku.

Dia kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Bercham dengan bantuan Adun Bercham, Cheong Chee Khing, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes tersebut dan ia akan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun berkawan.

Sumber: SinarOnline

Askar Jepun bersembunyi selama tiga dekad


BELIAU dikenali kerana sifat taat setianya berjuang untuk maharaja Jepun dan menjadi tentera terakhir yang bersembunyi di dalam sebuah hutan di Filipina walaupun Perang Dunia Kedua telah tamat. Hiroo Onoda bersama tiga lagi rakan seperjuangannya tetap mematuhi arahan pegawai atasannya selama hampir tiga dekad selepas dikerah ke Lubang pada 1944.
  
Kehidupan Awal

Onoda dilahirkan pada 19 Mac 1922 di perkampungan Kamekawa, daerah Kaiso di wilayah Wakayama, Jepun.

Beliau berasal daripada keturunan samurai dan bapanya pernah berkhidmat dalam unit tentera berkuda, namun terkorban dalam pertempuran di China pada 1943.

Ketika berusia 17 tahun, Onoda bekerja dengan syarikat perdagangan Tajima Yoko di Wuhan, China sebelum menyertai Tentera Infantri Imperial Jepun setahun kemudian.   

Dikerah ke Filipina

Onoda dilatih sebagai pegawai risikan di kelas komando Futamata sebelum dikerah ke Pulau Lubang di Filipina pada  26 Disember 1944.

Beliau diarahkan supaya menangkis serangan musuh termasuk memusnahkan landasan pesawat dan dermaga di pelabuhan di pulau tersebut.

Selain itu, beliau juga tidak dibenarkan menyerah diri dalam apa jua keadaan sekalipun.

Ketika tiba di pulau tersebut, Onoda menyertai sekumpulan tentera Jepun lain, namun beberapa pegawai dalam pasukan terbabit bertindak menghalang beliau daripada melaksanakan tugasnya.

Tindakan itu, bagaimanapun telah memudahkan misi Amerika Syarikat dan pasukan Komanwel Filipina untuk menawan pulau tersebut selepas mereka mendarat pada 28 Februari 1945.

Onoda yang telah dinaikkan pangkat sebagai leftenan bertindak mengarahkan anggotanya supaya lari bersembunyi.
 
 
Terus bersembunyi

Onoda bersama tiga anggotanya terus bersembunyi di kawasan hutan terbabit dan mereka melancarkan perang gerila selama beberapa tahun kerana masih tidak percaya peperangan telah tamat.

Kesemua mereka enggan menyerah diri walaupun telah diarahkan berbuat demikian menerusi beberapa risalah yang turut mengesahkan kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua pada 1945.

Pada Disember 1959, Tokyo akhirnya mengisytiharkan kesemua mereka sudah meninggal dunia selepas gagal mengesan Onoda bersama tiga anggotanya.

Bagaimanapun, pada 1972, beliau terlibat dalam insiden berbalas tembakan dengan tentera Filipina hingga menyebabkan rakan seperjuangannya maut, namun Onoda sekali lagi berjaya melarikan diri.
 
Serah diri selepas tiga dekad

Selepas bersembunyi selama tiga dekad, Onoda telah bertemu dengan seorang warga Jepun, Norio Suzuki yang berhasrat untuk menjejakinya pada Februari 1974.

Onoda masih enggan menyerah diri walaupun Suzuki sudah memujuknya dan menjelaskan bahawa peperangan sudah berakhir.

Beliau menegaskan hanya akan berbuat demikian jika menerima arahan daripada pegawai atasannya.

Suzuki kembali semula ke Jepun bersama beberapa keping gambar sebagai bukti dan kerajaan segera menjejaki bekas pegawainya, Mejar Yoshimi Taniguchi yang telah bersara dan menjadi penjual buku.

Taniguchi diterbangkan ke Lubang pada 9 Mac dan bertemu dengan Onoda untuk memenuhi janji yang telah dibuat pada 1944, ‘Walau apa jua berlaku, kami akan kembali mencari kamu’.

Onoda akhirnya menyerah diri dan beliau turut mendapat pengampunan daripada Presiden Filipina, Ferdinand Marcos.
 
Berhijrah ke Brazil

Beliau mendapat tumpuan banyak pihak dan namanya terus menjadi sebutan selepas Onoda kembali ke Jepun.

Pada April 1975, beliau memutuskan untuk mengikut jejak langkah abangnya yang berhijrah ke Brazil.

Onoda melangsungkan perkahwinan kira-kira setahun selepas itu dan menjadi pemimpin masyarakat Jepun di Terenos, Mato Grosso do Sul.

Bagaimanapun, beliau kembali semula ke Jepun pada 1984 susulan kes seorang remaja yang bertindak membunuh ibu bapanya dengan kejam pada 1980.

Susulan daripada kejadian menggemparkan itu, Onodoa menubuhkan kem pendidikan Onoda Shizen Juku yang dikhaskan untuk golongan remaja di beberapa lokasi di seluruh negara.

Sumber: SinarOnline

Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan - Guan Eng Membisu


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sekali lagi enggan mengulas mengenai cabaran Pas untuk berdebat dengannya berhubung isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau sekali lagi enggan mengulas ketika mengadakan sidang media di pejabatnya, Komtar di sini semalam.

"Saya tidak akan mengulas perkara itu," katanya ketika ditanya beberapa wartawan yang hadir.

Apabila terus diasak dengan soalan berkaitan isu yang sama, beliau hanya menggelengkan kepala.

Guan Eng kemudian menjawab "ya" apabila salah seorang wartawan bertanya sama ada jawapannya (terhadap isu pilihan raya PBT) ialah "no komen".

Sebelum ini Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke sudah mengeluarkan kenyataan bagi pihak Guan Eng bahawa DAP menolak cabaran itu, namun sehingga kini, tiada respon dari Guan Eng sendiri.

Dalam kenyataan itu, Anthony berkata, tindakan Pas itu dilihat seperti membakar jambatan ikatan kedua-dua parti itu dalam PR.

Menurutnya, tindakan itu juga seolah-olah menunjukkan Pas menganggap DAP sebagai musuh politik dan bukan rakan sekutu dalam pakatan itu.

Guan Eng sebelum ini dilaporkan menamatkan sidang media serta merta selepas melancarkan Café Sains Pulau Pinang di Butterworth apabila media mendesaknya mengulas terhadap cabaran Pas itu.

Kemelut kedua-dua parti itu bermula apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mencabar Guan Eng sebagai Setiausaha Agung DAP selepas menyerang Pas berhubung isu pilihan raya PBT.

Bagaimanapun, Mustafa meletakkan syarat pertemuan empat mata itu mestilah dilakukan secara terbuka dan disaksikan secara umum supaya orang ramai dapat menilai kejujuran kedua-dua pemimpin politik itu.

'Saya tidak akan larikan diri' - Anwar


“Saya tidak takut sebab saya dalam penjara lapan tahun masih steady. Sebab itu saya buat keputusan akan tetap hadapi 10 hari bulan ini di mahkamah.

Demikian kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di hadapan kira-kira 400 penyokong Pakatan Rakyat (PR) yang hadir pada ‘Ceramah Rakyat Hakim Negara’ di padang Taman Desa Rhu, Sikamat di sini, kelmarin.

Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Naib Presiden PKR Tian Chua.

Menurutnya, dia sesekali tidak akan melarikan diri seperti yang didakwa sesetengah pihak dan menyerahkan kepada ALLAH SWT tentang nasibnya berhubung keputusan penghakiman kes Liwat II yang akan dihadapinya pada 10 Februari ini.

“Saya bertawakal sesungguhnya ALLAH kasih kepada mereka yang bertawakal kepadanya.

"Saya tidak akan lari dan tak takut. Apa-apa pun saya akan teruskan perjuangan, jika bebas Alhamdulillah dan jika masuk penjara, saya akan terus lawan kerana ini bukan hanya soal Anwar.

“Saya tidak mahu cerita secara lanjut kerana semua tahu. Sebab itu bila orang tanya sama ada saya yakin bebas? Saya cakap boleh, jika ikut undang-undang, tapi kalau sebaliknya itu di luar pertimbangan saya,” katanya.

Sumber: SinarOnline

Guan Eng bersikap 'tak manis' - Dr. Azman


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bersikap ‘tidak manis’ terhadap Kerajaan Pas Kelantan berhubung dakwaannya yang disifatkan merendah-rendahkan kredibiliti kerajaan negeri itu dalam isu pengurusan bencana banjir yang melanda negeri yang digelar Serambi Makkah itu baru-baru ini.

Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, bukan itu sahaja, dakwaan Guan Eng bahawa Kerajaan Kelantan tidak pandai buat kerja boleh dipersoalkan kerana tiada sebarang pertemuan atau perbincangan dibuat antara beliau dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berhubung isu banjir tersebut.

“Setakat dimaklumkan, dia tidak jumpa menteri besar tetapi jumpa NGO. Sepatutnya untuk dapatkan maklumat secara terperinci dia perlu berjumpa dengan rakan sejawat. Kalau ada cadangan kukuh, terus kepada Kelantan.

“Bagi saya tidak manis ketua kerajaan merendah-rendahkan kerajaan yang lain. Sepatutnya dapatkan maklumat terperinci lagipun kedua-dua kerajaan itu sama-sama PR,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Dalam laporan sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menganggap kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadapnya yang dianggap tidak pandai buat kerja dalam menangani krisis banjir baru-baru ini sebagai tuduhan berat.

Sumber: SinarOnline

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat : Sokongan Psikologikal Bukan Mempamerkan Kemurungan



KENYATAAN MEDIA:

SOKONGAN PSIKOLOGIKAL BUKAN MEMPAMERKAN KEMURUNGAN

Berikutan kekeliruan di media berkenaan kemurungan akibat bencana banjir, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ingin menjelaskan bahawan statistik yang dilaporkan oleh kebanyakkan media adalah merujuk kepada sesi psikoterapi.

Sehingga 28 Januari 2015, sebanyak 576 sesi psikoterapi (melibatkan aktiviti psikologi) telah dijalankan melibatkan 14,995 orang kanak-kanak, 289 orang dewasa, 91 sesi intervensi krisis dan sejumlah 2357 sesi sokongan psikologikal telah dibuat di kalangan mangsa-mangsa banjir.

Sokongan psikologikal yang dilaksanakan oleh Pegawai Psikologi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah bertujuan memberikan sokongan psikologi emosi, intelektual, moral dan spiritual. Oleh itu pelbagai kaedah intervensi telah dijalankan sepanjang misi bantuan sokongan psikologikal kpd mangsa banjir; iaitu intervensi krisis, aktivti psikoterapi dan sokongan psikologikal lain seperti bimbingan dan psikopendidikan.

Sehingga tarikh tersebut, seramai 101 orang Pegawai Psikologi telah terlibat dalam pengendalian intervensi krisis dan sokongan psikologikal (sokongan bagi kesejahteraan dimensi psikologi meliputi fizikal, mental, intelektual, sosial, spiritual dan persekitaran) kepada mangsa banjir dewasa dan kanak-kanak. Pegawai yang masih bertugas sehingga kini adalah 82 orang.

Misi bantuan sokongan psikologikal ini dilaksanakan semasa bencana banjir dan pasca banjir. Sesi sokongan psikologikal ini meliputi sesi yang dilakukan secara individu dan berkumpulan.
Selain memberi fokus kepada mewujudkan kesejahteraan psikologi dan pengisian aktiviti yang sihat, sokongan seumpama ini dapat membantu mengelakkan berlakunya kemurungan, kecelaruan kebimbangan dan trauma yang melampau.

Sehingga 3 Feb 2015, bilangan intervensi kaunseling yg dijalankan oleh Pegawai Psikologi JKM adalah merangkumi 577 sesi psikoterapi, 91 sesi intervensi krisis dan 2358 sesi sokongan psikologikal yang melibatkan seramai 15 000 orang kanak-kanak dan 299 orang dewasa di kalangan mangsa-mangsa banjir.


Sumber  : Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Ustaz Kazim buat laporan polis isu ceramah didakwa berbaur perkauman


Pendakwah bebas, Datuk Mohamad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim hari ini membuat laporan di Balai Polis Manjoi di sini, berhubung penyebaran rakaman video ceramah beliau yang didakwa berbaur perkauman.
Ustaz Kazim yang membuat laporan polis pada kira-kira jam 9.40 pagi, bagaimanapun enggan memberi kenyataan kepada pemberita selepas membuat laporan itu dengan terus beredar meninggalkan pekarangan balai polis.
Anggota beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilihat menunggu di luar pekarangan balai polis berkenaan sebagai tanda sokongan mereka kepada Ustaz Kazim.
Semalam, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Jambu, Tumpat, Kelantan, Pui Tiong Lam membuat laporan polis di Balai Polis Wakaf Bharu, Tumpat dengan mendakwa rakaman video ceramah Ustaz Kazim yang berdurasi 2 minit 27 saat itu seolah-olah mahu mengaibkan kaum Cina. - BERNAMA

Isu boikot: Ismail Sabri sedia beri kerjasama kepada polis


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis berhubung isu kenyataannya berkaitan boikot peniaga yang menjadi viral di laman sosial.
Ismail Sabri sebelum ini telahpun menjelaskan bahawa kenyataannya itu bukan ditujukan kepada peniaga kaum Cina tetapi kepada semua pemborong dan peniaga yang masih tidak mahu menurunkan harga barang walaupun harga minyak telah diturunkan.
"Polis menjalankan tanggungjawab, saya sedia beri kerjasama, tiada masalah.
"Setakat ini polis belum hubungi saya, dan apabila tiba tarikh sesuai di pihak saya, saya akan beri 'statement' nanti," katanya kepada pemberita pada sidang media oleh bekas pemimpin dan pemimpin Pemuda Umno Malaysia bagi menyatakan solidariti dan sokongan kepada Ismail Sabri di sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengeluarkan kenyataan dalam akaun twitternya bahawa polis akan memanggil Ismail Sabri untuk mengambil keterangan berhubung isu tersebut.
Dalam kenyataannya semalam, Ismail Sabri berkata, pengguna perlu bersatu untuk memberi tekanan kepada peniaga dalam memastikan harga barangan diturunkan ekoran penurunan harga minyak.
Kenyataannya semalam itu meminta rakyat memboikot pemborong dan peniaga yang masih enggan menurunkan harga barang yang dilihat bukan sahaja memberi faedah kepada kaum Melayu tetapi juga pengguna berbangsa Cina.
Sementara itu, kira-kira 200 bekas pemimpin dan pemimpin Pemuda Umno hadir pada sidang media itu bagi menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri.
Wakilnya, Datuk Zulkifli Alwi yang merupakan bekas Setiausaha Kerja Pemuda Umno berkata beliau percaya menteri itu tidak berniat mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dan kenyataannya hanya dipolemikkan pihak tertentu.
"Ismail yang kami kenali ialah pemimpin yang mempertahankan rakyat kebanyakan dan marhaen yang tertindas," katanya. - BERNAMA

Muhyiddin Sedih Penerokaan Tanah Cameron Highlands Masih Berlaku



CAMERON HIGHLANDS, 3 Jan (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meluahkan rasa dukacita dengan pencerobohan di tanah tinggi Cameron Highlands yang terus berlaku meskipun operasi penguatkuasaan giat dijalankan.

Timbalan Perdana Menteri berkata lebih membimbangkan lagi apabila pihak berkenaan begitu berani sehingga mencabar pihak berkuasa dan jika keadaan ini berterusan beliau tidak pasti sehingga bila keadaan tanah yang masih ada di Cameron Highlands boleh bertahan.

"Saya agak dukacita... walaupun sudah tahu berkenaan pencerobohan ini tetapi apabila melihat secara dekat hampir sebahagian kawasan yang ditutup plastik merupakan kawasan pertanian yang diceroboh dan pencerobohan berlaku semasa proses penguatkuasaan terhadap penceroboh sedang berjalan.

"Sudah dua hari saya berada di sini dan dapat lihat Cameron Highlands sudah parah dan jika tidak ada satu tindakan tegas dan berkesan diambil, saya tak tahu berapa lama lagi kawaasan ini boleh bertahan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan mengejut ke Cameron Highlands untuk melihat perkembangan terkini usaha baik pulih dan pemantauan pihak berkuasa berikutan insiden banjir lumpur dan tanah runtuh di kawasan peranginan itu pada November tahun lepas.

Muhyiddin, yang juga pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Banjir Kilat di Cameron Highlands, berkata walaupun lebih 500 pegawai dan kakitangan daripada pelbagai jabatan dan agensi terlibat dalam operasi membersih dan membanteras penerokaan tanah, namun beliau mendapati ia belum memadai.

Ini, katanya, memandangkan akibat daripada aktiviti pencerobohan adalah teruk dan memberi kesan yang membimbangkan kepada alam sekitar.

Beliau bagaimanapun yakin penguatkuasaan yang berkesan boleh dilaksanakan dengan menambah petugas penguatkuasa serta memperbanyakkan alatan yang boleh membantu dalam kerja-kerja penguatkuasaan.

Antara perkara yang boleh dilaksanakan adalah mewujudkan pos-pos kekal di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan pencerobohan dengan meletakkan pegawai penguatkuasa sehingga proses penguatkuasaan dan pembersihan yang sedang dilaksanakan selesai dijalankan, kata timbalan perdana menteri.

Beliau berkata perkara itu akan diputuskan selepas mendapat pandangan daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan kerajaan negeri Pahang pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Banjir Kilat di Cameron Highlands akan datang.

Muhyiddin berkata langkah itu bagi memastikan pemantauan lebih ketat dapat dilakukan kerana dikhuatiri pencerobohan boleh berulang walaupun tindakan telah diambil.

Bagi mengelak insiden ancaman terhadap pihak berkuasa terus berlaku, timbalan perdana menteri berkata beliau akan mencadangkan supaya kawasan-kawasan yang sering berlaku kejadian itu diwartakan sebagai kawasan keselamatan.

"Langkah ini perlu diperhalusi seperti keperluan membentuk pasukan khas bagi menjaga kawasan itu daripada dimasuki pihak luar sekali gus boleh menyekat penceroboh daripada memasuki kawasan tumpuan berkenaan," katanya.

Ditanya apakah hasrat mengembalikan Cameron Highlands sebagai kawasan pelancongan unggul dapat dicapai segera, Muhyiddin berkata beliau tidak optimis perkara itu dapat dilakukan sehinggalah kerja-kerja penguatkuasaan menghalang pencerobohan dapat dilakukan sepenuhnya.

Kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di Kampung Raja, Pekan Ringlet dan Lembah Bertam di Cameron Highlands pada 5 Nov lepas, mengakibatkan lima kematian dan lebih 90 mangsa daripada 28 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan, di Dewan Serbaguna Orang Ramai di Ringlet.

Penerokaan tanah secara haram dikatakan antara faktor berlaku banjir dan tanah runtuh di daerah tanah tinggi ini.

-- BERNAMA

Old Town White Coffee hidang Taufo Babi ?



Samada hendak percaya atau tidak, kita semua tersentak dengan tersebarnya
sekeping resti yang tertera dari restoran Old Town White Coffee yang status HALAL nya
masih diragui.

Resit terserbut menjadi viral apabila seorang pelanggan mendakwa menu TIDAK HALAL
telah disajikan oleh restoran tersebut seperti yang tertera perkataan "TAUFO PORK" di resti itu.

Namun begitu pihak Old Town White Coffe telah menafikan melalui laman facebook dan menjelaskan
ianya telah disalah tulis ejaannya oleh perkerja yang menulis secara manual.

Setahu aku, pelanggan akan sendiri menulis makanan atau minuman yang mereka akan minta,
maklum la aku sendiri pernah terjerebak ke restoran itu.

Kalau betul mereka kata ada kesilapan menulis, mengapa tak buat sidang media untuk menafikan?
JAKIM tak nak siasat ke ?

Teropong aku makin besar!!

Penurunan Harga Barang Oleh Pemborong dan Para Peniaga Tiada Kaitan Dengan Sentiman Perkauman - Rohani Karim

Kenyataan Media:



YB Dato' Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Berhubung isu desakan terhadap peniaga dan pemborong untuk turunkan harga barang.

Berikutan penurunan harga minyak berkuatkuasa 1 Februari 2015, sudah tiba masa suara pengguna diberi keutamaan, iaitu penurunan harga barang oleh para pemborong dan para peniaga.

Ini tidak ada kaitan dengan sentimen perkauman, oleh yang demikian, saya amat setuju dengan mesej dalam kenyataan Dato' Sri Ismail Sabri untuk memberikan tekanan kepada para pemborong dan peniaga yang enggan menurunkan harga barangan agar segera berbuat demikian.

Sebelum ini mereka memberi alasan kenaikan harga adalah akibat dari kenaikan harga minyak. Kini harga minyak turun, para peniaga harus mengambil pendekatan yang membantu pengguna dengan menurunkan harga pada kadar yang sepatutnya. 

Pada masa yang sama, pengguna juga harus bijak dalam menangani isu dengan cara 'bijak berbelanja' dan menggunakan kuasa atau hak sebagai pengguna.

Saya juga amat bersetuju dengan mesej beliau yang menyatakan seharusnya kita berpegang kepada prinsip, di mana apa sahaja isu yang melibatkan BN, kita patut bincang bersama-sama, dan bukannya bertelagah secara terbuka.

Sumber: UPP KPWKM