Tuesday 3 February 2015

Saya kasihan pada mereka pamer kain rentang wajah anjing - Tengku Abdul Rahman


Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata beliau berasa kasihan dengan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) yang terlibat mempamerkan kain rentang manusia berwajah anjing pada perlawanan Piala Sumbangsih 2015, Sabtu lalu.
Beliau berkata, individu terbabit seharusnya melihat perlawanan bola sepak daripada sudut positif dan tahu membezakan perkara yang elok atau tidak elok serta sedar bahawa perbuatan menghina tidak dibenarkan agama.
"Saya tidak kesal (dengan insiden itu) tetapi saya kasihan pada mereka yang terlibat dan juga keluarga mereka. Saya tidak faham cara (mereka) berfikir. Kita orang Malaysia bukan begitu cara berfikirnya.
"Kita hendak perkembangan sihat dari semua sudut dan jika masih berfikir seperti budak-budak, berkelakuan seperti anak kecil ... bagaimana hendak membina negara?," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan banjir dan sumbangan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Ulu Tembeling, Kampung Bantal di sini, semalam.
Tengku Abdul Rahman berkata, beliau percaya ibu bapa dan guru-guru juga sudah pasti telah cuba memberi didikan terbaik kepada individu yang terbabit dalam insiden itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas tindakan penyokong JDT membawa kain rentang seorang manusia berwajah anjing sedang mendukung seekor anak anjing dipercayai bertujuan mengaibkan pemimpin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada perlawanan Piala Sumbangsih 2015 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Baharu, Sabtu lalu.
Semasa ditanya jika beliau mengharapkan tindakan lebih tegas daripada FAM, Tengku Abdul Rahman berkata: "Tindakan hukuman merupakan satu daripada jalan untuk menyelesaikan perkara ini, tetapi jika dilihat betul-betul, hukuman mana paling wajar? Pada saya yang paling mujarab ialah kesedaran diri sendiri."
Beliau berharap penyokong Pahang tidak akan mencetuskan perkara provokasi seperti itu di Stadium Darul Makmur di Kuantan kerana ia akan memberi imej negatif kepada persatuan, negeri, diri sendiri dan sukan bola sepak.
Selain itu, Tengku Abdul Rahman turut mengucapkan tahniah kepada JDT yang muncul juara Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2015 selepas mengalahkan Pahang 2-0.
"Saya yakin pasukan Pahang akan bangkit dan memberi permainan yang lebih teratur apabila mereka bermain di Kuantan nanti," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment