Sunday 21 April 2013

Kamilia berhadapan tindakan-Zambry


zambry

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, akan merujuk terlebih dahulu kepada pihak pucuk pimpinan sebelum tindakan sewajarnya diambil terhadap Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar.
Menurutnya, Kamilia telah membuat keputusan beliau, maka kita menganggap dia bukan calon BN.

“Itu hak dia dan kita akan mengambil tindakan selanjutnya selaras dengan kedudukan beliau sebelum ini.
“Kita akan merujuk kepada pucuk pimpinan terlebih dahulu. Kita telah membuat apa yang terbaik dan alasan terbaik tetapi beliau tetap juga dengan pendirian beliau.
“Jadi dalam proses demokrasi ini kita tidak boleh menghalang beliau dan beliau berhadapan dengan satu kemungkinan sama ada ianya akan diambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan kepada peraturan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penamaan Calon di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Seri Manjung, dekat Lumut pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Zambry yang bakal mempertahankan DUN Pangkor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berkata, beliau tidak bimbang sangat tentang soal tersebut memandangkan setiap pemilihan calon dibuat berdasarkan kepada maklum balas dari akar umbi.
“Oleh kerana pihak kepimpinan telah membuat keputusan bahawa beliau (Kamilia) ditawarkan untuk bertanding di peringkat DUN maka sewajarnya beliau menerima.
“Dalam sejarah BN kita tahu bahawa, pernah Presiden Gerakan Tun Dr. Lim Keng Yeik bertanding peringkat DUN dan beliau membuat keputusan untuk bertanding.
“Begitu juga, Presiden Parti PPP, Datuk M. Kayveas, beliau dengan rendah hati menerima amanah daripada BN untuk bertanding di Pasir Bedamar di peringkat DUN.
“Jadi saya tidak fahamlah kalau ini yang berlaku. Kita telah membuat keputusan jadi, tak apalah.. kita terimalah,” katanya.
Beliau sepatutnya menjadi orang yang mempunyai prinsip dan beliau tahu amanah kepimpinan yang saya bawa dan sampaikan kepada beliau dan beliau tidak dapat menerima bertanding pada peringkat DUN.
Kamilia akan menentang calon BN, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Dr. Khalil Idham Lim daripada PAS.
Sebelum ini, Kamilia pernah menyuarakan kekecewaannya kerana BN tidak meletakkan pemimpin tertinggi Wanita Umno dan BN sebagai calon dalam PRU13.

No comments:

Post a Comment