Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk
Mokhtar Samad menggesa kerajaan negeri untuk membayar pampasan kepada syarikat
Dolomite Properties Sdn Bhd dan pembeli kondominium berhampiran kuil Batu Caves
itu ekoran projek tersebut dibatalkan.
Menurut beliau, pembatalan projek kondominium 29 tingkat itu
telah mendatangkan kerugian, bukan sahaja kepada pemaju tetapi juga kepada
pembeli.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini
berkata kerajaan Selangor tidak akan membayar sebarang pampasan kepada pemaju
mahupun pembeli.
Menurut beliau, Dolomite telah melanggar beberapa syarat
pembangunan.
"Kalau projek itu dibatalkan oleh kerajaan terkini
kerana berlaku kesilapan dari segi keselamatan, ketenteraman awam, masyarakat
sekitar. Bukan berkait dengan politik, ini adalah satu perkara yang perlu
diakui telah berlaku kesilapan.
"Pihak kerajaan (negeri) mesti membayar ganti rugi
kepada pemaju dan mana-mana pihak yang terlibat (seperti) pembeli dan
sebagainya," ujar Mohktar.
Khalid dalam satu kenyataan minggu lalu memberitahu projek
kondominium Dolomite Park Avenue berhampiran kuil Batu Caves dibatalkan ekoran
faktor "keselamatan orang ramai dan memelihara alam sekitar."
Khalid membuat keputusan itu setelah mengambil kira siasatan
jawatankuasa khas yang ditugaskan oleh beliau untuk menilai kesesuaian projek
berkenaan.
Pembinaan kondominium yang dirancang sejak 2007 itu
berhadapan tekanan terutamanya daripada pihak jawatankuasa kuil mendakwa projek
tersebut bakal merosakkan struktur kuil berhampiran dan menghalang pemandangan
Batu Caves.
No comments:
Post a Comment