Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini yang
dianggotai para ulama, tok guru pondok, imam dan ustaz muda membuat
pengisytiharan bahawa memberi undi kepada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13) adalah haram.
Pertubuhan itu iaitu Minda Pondok, Ustaz Muda Membela Agama
dan Tanah Air (Ummati), Ikatan Cendekiawan Islam Kelantan (ICIK) dan Pendita
turut menegaskan bahawa perjuangan menentang Pas adalah jihad kerana mengundi
parti itu bermaksud menyokong DAP yang merupakan parti cauvinis yang menolak
Islam dan memperjuangkan sekularisme.
Sehubungan itu, kesemua NGO berkenaan yang diwakili pemimpin
masing-masing berjanji akan menyediakan satu dokumen lengkap berhubung
pengisytiharan tersebut untuk diberikan kepada raja-raja Melayu dan Majlis
Fatwa Kebangsaan agar dapat dibincangkan dan menyelesaikan kekeliruan yang
ditimbulkan oleh Pas selama ini.
Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa'amah yang juga Penasihat
Minda Pondok berkata, kegagalan Pas mempertahankan Islam terutama penggunaan
kalimah Allah oleh orang bukan Islam tidak boleh dimaafkan sama sekali, malah
demi politik para pemimpin Pas seolah-olah jahil agama.
"Membiarkan kalimah Allah digunakan seperti itu berdosa
dalam hukum. Maknanya kita mesti mempertahankan kalimah Allah dan akidah orang
Islam, dalam pilihan raya umum kita mahu perdana menteri dan timbalannya orang
Islam maka di sinilah kita berjihad, kita jangan undi Pas.
"Saya bercakap mempertahankan kalimah Allah, saya rujuk
empat kitab mazhab, kitab tafsir, kitab fekah dan banyak lagi rujukan. Boleh
dikatakan menyeluruh kitab saya rujuk tetapi mereka tuduh saya jahil.
"Kesemua kitab ini menyebut bahawa kalimah Allah tidak
boleh disekutukan, tidak boleh digunakan selain untuk agama Islam dan untuk
mendaulatkan Islam. Ia adalah kalimah suci jadi kenapa kata saya jahil,"
katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
INIKAH PEWARIS NABI??
Menurut Abdullah, Pas juga perlu ditolak kerana menyatakan
sokongan padu kepada Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang turut menyokong
hasrat DAP meskipun bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas.
"Orang seperti Anwar ini kami orang pondok tidak boleh
terima kerana terlalu nyata kepada kami satu daripada itu (perjuangan Anwar)
adalah membenarkan kalimah Allah (digunakan oleh bukan Islam)," katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Minda Pondok, Mohd. Syamsul
Mohd. Yusoff al-Hafiz berkata, kerjasama Pas dalam pakatan pembangkang yang
kononnya atas nama tahaluf siyasi sebenarnya pada nama semata-mata, sebaliknya
apa yang berlaku adalah Pas hanya kuda tunggangan DAP.
"Tahaluf siyasi Pas adalah haram maka wajib kita
menolak mereka atas beberapa fakta antaranya Pas bukan parti dominan dalam
pakatan dan kerajasama itu dibuat dengan parti DAP yang kita tahu menolak
penubuhan kerajaan Islam.
"Sebelum bertahaluf siyasi, perjuangan Pas adalah
menubuhkan negara Islam, ingin melaksanakan hudud, persaudaraan sesama Islam
tetapi selepas itu matlamat mereka berubah iaitu mahu kerajaan berkebajikan,
hudud bukan lagi agenda utama dan mendoakan kemusnahan sesama Islam.
"Tahaluf siyasi yang sebenar telah jelas kita lihat
dalam Barisan Nasional (BN) iaitu UMNO adalah 'imam' manakala MIC dan MCA
adalah 'makmum' yang akan bersama-sama berjuang atas arahan imam,"
tegasnya.
Ahli Jawatankuasa Ikatan Cendekiawan Islam Kelantan (ICIK),
Mohd. Zawawi Awang pula berkata, permintaan DAP supaya kalimah Allah digunakan
oleh orang bukan Islam sama seperti yang berlaku di Indonesia apabila ramai
masyarakat Islam negara itu menyokong pemikiran sekular.
Beliau memberikan contoh sebuah video yang dimasukkan ke
dalam laman Youtube bertajuk 'Bible dalam bahasa Arab' yang dirakam di Institut
Teologi Kalimatullah di Jakarta tentang bagaimana seorang pelajar Kristian
membaca Bible dalam bahasa Arab di sebuah gereja.
"Gerakan ini sebenarnya sudah bermula berpuluh tahun
dulu dan perkara sama kini cuba dibawa masuk ke Malaysia secara senyap-senyap
tanpa kita sedari.
"Gerakan ini berjaya di Indonesia yang rakyatnya
kira-kira 300 juta orang, jadi bayangkanlah jika kita membiarkan mereka
bergerak di Malaysia pasti lebih mudah kerana rakyat kita cuma kira-kira 28
juta," tambahnya.
Suara Politik
Belantan
No comments:
Post a Comment