Bo la weii (cukuplah)! Demikian laung Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak yang disambut kira-kira 15,000 anak Kelantan di perantauan
dalam pertemuan anak-anak Kelantan di sekitar Lembah Klang bersama pemimpin itu
petang semalam
Mesej bo la weii itu ditujukan khas kepada Pas yang
mentadbir Kelantan sejak 1990.
"Kita tahu sudah banyak angkara berlaku. Sudah banyak
dosa kepada rakyat Kelantan ini. Betul tuan-tuan?" soal Najib di program
yang dinamakan Himpunan Perdana Anok-Anok Kelate 2013 di Stadium Putra Bukit
Jalil.
"Apa dosanya? Tanah dalam tangan dia hal siapa? Hak
siapa?" soal Najib lagi di sambut dengan jawapan "rakyat."
Berdasarkan sambutan yang ditunjukkan dan juga kematangan
rakyat menilai kepimpinan kerajaan di bawah pembangkang, Najib yakin gelombang
merah akan berjaya menakluk Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang
akan diadakan tidak lama lagi.
"Ini menunjukkan bahawa orang Kelantan sudah
bersedia," ujar Najib penuh semangat.
Barisan Nasional (BN), kata beliau, akan memastikan nasib
rakyat Kelantan akan berubah jika gagasan itu diberi peluang untuk kembali
berkuasa di negeri pantai timur itu.
"Kita akan betulkan semuanya ini. Jika kerajaan Barisan
Nasional diberi mandat, kita akan pastikan setiap isi tanah Kelantan ini hak
rakyat Kelantan.
"Sebagai perdana menteri, saya akan pastikan bahawa apa
yang kita janji adalah janji yang ditepati," ujar Presiden Umno ini.
Sehubungan itu katanya, beliau bersetuju untuk memasukkan
tujuh projek besar yang diumum kepada rakyat Kelantan baru-baru ini ke dalam
manifesto pilihan raya BN.
Ia kata Najib, sebagai bukti kesungguhan BN untuk menjadikan
Kelantan sebuah negeri berteraskan Islam yang selari dengan kemajuannya.
"Malah antara perkara itu yang boleh dilaksanakan lebih
awal lagi, laksanakannya untuk kita memberi keyakinan kepada rakyat Kelantan
bahawa (sekarang) masa untuk tukar," tegas Najib yang juga Pengerusi BN.
Tujuh projek yang diumum Najib baru-baru ini merangkumi
pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu, stadium baharu, masjid terbesar dan
perumahan rakyat dengan peringkat permulaan melibatkan 3,000 unit.
Projek lain adalah mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota
Bharu, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang boleh
memuatkan 5,000 pelajar dan projek menyelesaikan masalah air.
Dalam pada itu, Najib yang juga Pengerusi BN berkata, beliau
tidak mahu lagi melihat rakyat Kelantan terpaksa berhijrah keluar dari negeri
mereka demi mengecap kehidupan lebih baik, yang tidak mampu diberi kerajaan
negeri pimpinan Pas sekarang.
"Saya sedih dengar setengah juta orang Kelantan
terpaksa berhijrah keluar. Saya tidak mahu ada sejuta lagi orang Kelantan
berhijrah keluar. Orang Kelantan ini cekap, malah ramai tokoh di negara kita
orang Kelantan seperti Panglima Angkatan Tentera Malaysia (Jen Tan Sri
Zulkifeli Mohd Zin).
"Saya percaya barisan ini (tokoh) mampu bantu kerajaan
beri perubahan kepada Kelantan jika diberi mandat (memerintah Kelantan),"
katanya dipetik Bernama.
Najib berkata, dalam memberi perubahan besar 'gelombang
merah' kepada Kelantan, kerajaan BN berdiri teguh di atas dua prinsip penting
iaitu Islam dan kemajuan.
"Kita nak Islam dan kita nak juga kemajuan. Islam ini
agama kemajuan, maka prinsip inilah yang memastikan kejayaan kita memajukan
Kelantan nanti. Kejayaan inilah yang akan dibawa 'gelombang merah' nanti.
"Kita tak mahu macam mana dia janji bulan, bintang,
syurga dan nak pertahan Islam. Tetapi bila kalimah Allah dipersoal, di mana
mereka? Sudah cukup, kita tukar, bo la wei (sudah-sudah lah tu)," katanya.
No comments:
Post a Comment