1. Anwar Ibrahim menuduh saya, sebagai penasihat Petronas
telah terlibat dalam pemberian kontrak Petronas kepada anak saya.
2. Bagi Anwar inilah yang biasa dilakukan olehnya jika ia
berkuasa. Semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan memang
pun banyak kontrak diberi olehnya kepada penyokong politiknya dan keluarganya.
3. Kementerian telah pamerkan semasa mesyuarat agong UMNO
senarai orang yang mendapat kontrak semasa ia berkuasa. Terdapat dalam senarai
nama-nama penyokongnya dan keluarganya. Tidak ada satupun dari anak saya yang
tersenarai.
4. Semasa saya menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan
tidak ada satu pun daripada anak saya yang mendapat tempat dalam Kerajaan atau
dalam parti. Beberapa kali nama mereka di calon tapi saya tidak benar sehingga
saya bersara. Juga tidak ada kontrak Kerajaan yang terdapat oleh mereka.
5. Jika mereka berjaya samada dalam perniagaan atau politik,
ini adalah atas usaha mereka sendiri. Dan ini semua berlaku selepas saya letak
jawatan Perdana Menteri.
6. Petronas tidak memberi peluang kepada anak saya sahaja
apabila saya menjadi penasihatnya. Orang lain juga mendapat peluang jika mereka
ada kemampuan.
7. Sebenarnya tidak ada kontrak yang diberi Petronas kepada
anak saya sehinggalah perusahaannya maju kerana kerja-kerja yang diberi oleh
pihak lain.
8. Walaupun saya digelar sebagai penasihat Petronas, saya
tidak memberi apa-apa nasihat. Petronas diletak di bawah Perdana Menteri dan
P.M.lah yang memberi arahan kepada Petronas. Semasa saya jadi Perdana Menteri
pun saya tidak memberi apa-apa bantuan kepada anak-anak saya.
9. Berkenaan dengan kontrak yang baru yang diberi kepada
anak saya, Presiden Petronas cuma memberitahu saya selepas kontrak diberi. Saya
tidak sama sekali terlibat dengan keputusan yang dibuat. Saya sanggup bersumpah
di dalam masjid dengan menjunjung Quran bahawa saya tidak ambil bahagian sama
sekali dengan pemberian kontrak kepada anak saya.
10. Sebaliknya Anwar, apabila menubuh partinya melantik
isterinya sebagai Presiden. Kemudian dia juga yang pilih isterinya sebagai
calon di Permatang Pauh. Kemudian dia sendiri yang menyuruh isterinya lepas
kawasan untuk ditandingi olehnya.
11. Tidak ada bukti adanya pertandingan untuk jawatan
penasihat parti yang disandang olehnya. Dia juga yang memilih anaknya untuk
menjadi calon dalam pilihanraya. Sekarang isterinya jadi presiden parti dan
anaknya jadi naib presiden parti. Kawannya juga jadi timbalan.
12. Parti Keadilan adalah milik Anwar Ibrahim.
13. Jika ia jadi Perdana Menteri sudah tentu Kabinet akan
diisi dengan keluarga dan kawannya sebagai Menteri. Mudahlah nak buat apa pun.
14. Anak saya Mirzan juga dijadikan sasaran fitnah Anwar.
Benar dahulu dia menjadi pengarah San Miguel. Tetapi San Miguel Filipina bukan
syarikat bir sahaja tetapi semakin banyak terlibat dalam industri makanan dan petroliam.
15. Setelah fitnah dilempar kepadanya, anak saya letak
jawatan. Sekarang dia hanya menjadi pengarah dalam syarikat minyak Petron.
Dahulu syarikat ini dikenali sebagai Exxon Mobil dan telah menjadi pembekal
minyak ke pesawat terbang di KLIA.
16. Apabila Exxon Mobil diambil alih oleh San Miguel, ia
diletak dibawah Petron. Anak saya dilantik sebagai pengarah Petron. Kontrak
membekal minyak Exxon Mobil di KLIA diwarisi oleh Petron.
17. Jika anak dan isteri Anwar boleh menjadi politikus,
apakah anak saya tak boleh berniaga sendiri tanpa difitnah oleh Anwar? Dah tak
ada modal politik dah ke?
18. Kenapa begitu takut bersumpah jika jenayah liwat tidak
dilakukan. Berani kerana benar, takut kerana salah – demikian pepatah Melayu.
chedet.cc
No comments:
Post a Comment