Belum pun reda isu
pembalakan berhampiran Tasik Pedu di Padang Terap dan Gunung Inas di Baling,
kini satu lagi kawasan seluas 925 hektar di Wang Perah dalam daerah Kubang Pasu
ditebang licin, kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kedah Datuk
Mohd Johari Baharom.
Beliau mendakwa operasi penebangan balak membabitkan seluas
145 hektar dalam kompartmen tujuh di Wang Perah dikesan bermula awal tahun ini
manakala penebangan seluas 780 hektar lagi dalam kompartmen lapan telah
diluluskan oleh kerajaan negeri.
Mohd Johari mendakwa tanah 145 hektar itu dipecah kepada 63
lot dan diberi kepada pegawai-pegawai tinggi kerajaan Kedah manakala 780 hektar
lagi hutan dalam kompartmen lapan telah diluluskan kepada pegawai-pegawai
tadbir negeri Kedah (KCS).
"Saya tidak pertikai kerajaan negeri hendak beri tanah
itu kepada siapapun asalkan ia di kawasan sesuai, tidak menjejaskan ekosistem
dan mencemarkan alam sekitar tetapi pemberian tanah ini nampak macam ada mainan
politik.
"Pemberian tanah adalah hak kerajaan negeri namun
kepentingan penduduk berhampiran mesti diambil kira walaupun ia bukan kawasan
tadahan air," kata Mohd Johari kepada pemberita semasa meninjau kawasan
pembalakan di Wang Perah, dekat sini, hari ini.
Beliau yang juga anggota Parlimen Kubang Pasu dan Timbalan
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyifatkan kerajaan PAS Kedah tidak
bertanggungjawab dalam meluluskan kawasan pembalakan.
Beliau berkata garis panduan Kementerian Sumber Asli dan
Alam Sekitar pembalakan membabitkan kawasan melebihi 50 hektar perlu mendapat
kelulusan kesan terhadap alam sekitar (EIA).
"Saya difahamkan kawasan yang telah ditebang licin ini
tidak langsung ada laporan EIA. Kalau dirujuk pun kepada kementerian pasti
laporan yang dikemukakan tidak betul.
"Bila musim hujan pasti akan berlaku hakisan tanah yang
teruk dan tanah yang dihakis memasuki Sungai Kecil dan Sungai Temin. Keadaan
ini akan menyebabkan sumber air kedua-dua sungai itu terjejas.
"Akibatnya loji air Bukit Temin dan Jeragan serta
bekalan air yang diperoleh dari kedua-dua sungai itu untuk pertanian kepada
lebih 10 kampung juga terjejas," katanya.
Mohd Johari berkata beliau akan membuat surat bantahan rasmi
kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak serta meminta
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar lebih efisien dalam mengambil
tindakan.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan
Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Wang Perah, Abu Bakar Saleh, 43, berkata
penduduk kampung sangat sedih kerana kerajaan negeri membelakangkan kepentingan
mereka.
"Kerajaan negeri sewajarnya menilai kerosakan akibat
penerokaan kawasan ini. Kebun dan dusun kami di sini tentu akan terjejas dalam
masa beberapa tahun sahaja," katanya dan memberitahu akan mendesak menteri
besar mengarahkan aktiviti pembalakan di Wang Perah dihentikan segera.
Che Tom Musa, 62, pula meminta kerajaan PAS Kedah tidak
terlalu rakus meneroka kawasan balak.
"Kami penduduk asal di sini tidak langsung dipandang.
Sepatutnya kalau nak bagi tanah bagilah kepada kami dan penduduk-penduduk
kampung yang tinggal di sini," katanya.
sumber : Brojinggo
Ni la dia, masa ceramah, tadah kotak. Di belakang tadah lori balak.
ReplyDelete