Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tiada penipuan yang
dilakukan oleh UMNO berhubung dakwaan bahawa Pas telah ditipu oleh UMNO semasa
parti itu berada dalam Barisan Nasional (BN).
Bekas perdana menteri itu berkata Mursyidul Am Pas Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan telah menjelaskan kenapa Pas tidak boleh bersama
UMNO dalam usaha untuk menyatupadukan orang Melayu.
"Katanya Pas telah ditipu oleh UMNO semasa Pas berada
dalam BN. Bagaimana UMNO menipu Pas tidak dijelaskan dengan terang,"
katanya dalam entri terbaharu dalam blog beliau di www.chedet.cc hari ini.
Katanya perpecahan dalam Pas bukan kerana UMNO dan kekalahan
parti itu pada pilihan raya negeri Kelantan pada Mac 1978 menyebabkan ia keluar
daripada BN.
"Perpecahan dalam Pas bukan kerana UMNO tetapi kerana
Datuk Mohd Nasir (Menteri Besar Kelantan ketika itu) mencabar kepimpinan Datuk
Asri Muda (Presiden Pas ketika itu). Kekalahan Pas menyebabkan Pas keluar dari
BN. Tidak ada penipuan oleh UMNO," katanya.
Dr Mahathir memberitahu bahawa beliau adalah menteri dalam
kabinet Tun Hussein Onn ketika Pas keluar dari BN, begitu juga berada dalam
kabinet Tun Abdul Razak Hussein bersama Datuk Asri Muda dan Hassan Adli
(Timbalan Yang Dipertua Agung Pas ketika itu) semasa Pas menyertai BN.
"Datuk Asri diberi jawatan Menteri Tanah dan Galian.
Ini bermakna beliau bertanggungjawab terhadap Felda.
"Selepas beberapa bulan Pas menyertai BN, anggota UMNO
Johor mengadu kepada Tun Razak bahawa Datuk Asri giat mempromosikan Pas di
kalangan peserta Felda.
Saya berada di sisi Tun pada ketika itu," katanya.
Katanya secara kebetulan hampir semua peserta Felda terdiri
daripada penyokong kuat UMNO dan selepas Asri bertanggungjawab ke atas Felda,
hampir semua peserta Felda menjadi penyokong kuat Pas dan menolak UMNO.
"Pada waktu itu timbul sengketa antara Asri sebagai
ketua Pas dengan Mohd Nasir yang sebagai Menteri Besar untuk menggantikan Asri.
Mohd Nasir mendakwa beliau telah mengesan banyak penyelewengan yang dilakukan
oleh Asri semasa menjadi Menteri Besar Kelantan," katanya.
Dr Mahathir berkata Asri cuba menyingkirkan Mohd Nasir
melalui undi tidak percaya dan Mohd Nasir enggan meletak jawatan walaupun
kalah.
Katanya ramai anggota Pas memihak kepada Mohd Nasir dan
mereka mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran menentang Asri.
"Kerana Pas berpecah, kerajaan BN Kelantan tidak dapat
berfungsi. Darurat terpaksa diisytihar dan seorang pegawai kanan dilantik untuk
memangku jawatan Ketua Pentadbir Kelantan.
"Pada Mac 1978 pilihan raya peringkat negeri diadakan di
Kelantan. Mohd Nasir menubuhkan parti Berjasa yang bertanding melawan Pas.
Sokongan kepada Berjasa begitu kuat sehingga ia memenangi 11 kerusi. Pas
memenangi hanya dua kerusi," katanya.
Katanya walau apapun yang terjadi dahulu, umat Islam disuruh
oleh agama supaya menyambut seruan kedamaian daripada musuh jika seruan dibuat
supaya berdamai.
Katanya umat Islam disuruh bersatu padu dan menganggap semua
umat Islam sebagai saudara.
"Penolakan perpaduan sesama orang Islam tidak menepati
ajaran Islam. Janganlah orang Islam menolak usaha menyatu padu untuk
memperkuatkan orang Islam dengan membuat tuduhan yang tidak berasas,"
katanya.
Mengapa PAS disingkirkan, baca di sini.
Punca PAS disingkirkan, baca di sini.
Suara Politik
Belantan
No comments:
Post a Comment