Lebih 100 orang ibu tunggal mengadakan bantahan menuntut
elaun gaji yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Selangor di Kampung Kenanga
Kalau janji bukan manifesto dan ia tidak wajib dipenuhi maka
apakah ertinya berkempen di pentas politik dan menampilkan buku berwarna jingga
sebagai satu modal untuk menarik sokongan rakyat.
Kerajaan negeri Selangor difahamkan mahu membubarkan Dewan
Undangan Negeri (DUN) selepas sambutan Tahun Baru Cina dan Chap Goh Mei.
Langkah ini walaupun tidak menghairankan rakyatnya sekurang-kurangnya
membuatkan mereka tidak sabar untuk mendengar manifesto terbaru Pakatan Rakyat
sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang akan diadakan selewatnya hujung Mac
atau awal April tahun ini.
Kata pujangga, jangan suka mengungkit nanti ada hati yang
sakit. Namun jika ditelusuri pentadbiran kerajaan negeri Selangor selama lima
tahun kebelakangan ini, tidak banyak yang boleh dibanggakan dengan manifesto
berwarna-warni yang diedarkan sempena PRU ke-12 lepas.
Satu demi satu butiran manifesto dipersoal dan diungkit oleh
rakyat, yang menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan dokumen
tersebut.
Bukan setakat mempersoalkan kandungan manifesto pakatan
rakyat yang dianggotai parti DAP, PKR dan Pas malahan tindakan undang-undang
turut diambil oleh rakyat Selangor bagi menuntut janji-janji yang terkandung
dalam manifesto berkenaan.
Rakyat Selangor seramai hampir 6,000 orang menuntut rebat
air percuma dari kerajaan negeri Selangor sebagaimana yang diberikan kepada
jutaan rakyat negeri tersebut. Alasan rebat air percuma hanya diberikan kepada
meter individu dan bukan pengguna meter pukal amat menghiris hati rakyat yang
terlibat. Tindakan belah buluh atau berbahagi kasih sayang menunjukkan di mana adilnya
parti yang menggelarkan diri mereka PKR.
Selain kes tersebut, kes tuntutan elaun yang dijanjikan di
dalam manifesto oleh ibu tunggal menunjukkan rakyat telah muak dengan
janji-janji yang tidak ditepati oleh kerajaan PKR. Selama lima tahun ibu tunggal
menanti elaun yang dijanjikan, namun sehingga artikel ini ditulis kes tuntutan
tersebut masih belum dibicarakan secara penuh di mahkamah.
Namun kemenangan awal terserlah apabila kerajaan negeri
Selangor gagal mengetepikan saman yang difailkan oleh 2,020 ibu tunggal
baru-baru ini. Kegagalan membatalkan saman tersebut menunjukkan bahawa
manifesto adalah satu harapan yang diberikan oleh pihak parti yang bertanding
dalam pilihan raya kepada rakyat.
Bagi rakyat Selangor mereka telah membaca, meneliti, membincangkan,
mengulas malah menyimpan manifesto tersebut dan menganggap ia sebagai janji
yang perlu dipenuhi apabila pihak yang membuat janji mendapat mandat mentadbir
Selangor.
Sokongan telah diberi dan mandat telah diterima, namun apa
yang mereka dapat hanyalah alasan demi alasan oleh pihak terbabit hingga mereka
menjadi bosan. Ibu-ibu tunggal yang menyaman turut kecewa apabila Menteri Besar
Selangor yang juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Abdul Razak, Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim meminta bukti kukuh bahawa kesemua ibu tunggal tersebut
memberi bukti mereka memangkah Pakatan Rakyat semasa Pilihan Raya Umum 2008.
Soalnya, di manakah kewajaran dan keadilan permintaan itu,
bukankah undi itu rahsia dan atas sebab kerahsiaan itu juga maka ada pihak yang
sanggup menyarung baju kuning menuntut pilihan raya lebih telus dan adil.
Seorang pemimpin pembangkang mahu undi didedahkan kemudian hari manakala satu
pihak lagi mahu jari pengundi dicelup dakwat hitam supaya tiada penipuan
berlaku.
Inikah dinamakan perjuangan demi menegakkan keadilan? Rakyat
dijadikan sepak raga disepak ke sana sini dengan isu dan helah politik atas
nama kebebasan bersuara.
Justeru, kepada pemimpin pembangkang yang mengatakan janji
manifesto bukan satu kemestian untuk dipenuhi, perlulah menarik kembali
kenyataan tersebut. Rakyat Selangor sudah bijak menilai dan mampu menghakimi
setiap dokumen yang disajikan kepada mereka setiap kali pilihan raya yang sudah
masuk edisi ke 13 pada tahun 2013 ini.
Sekilas ikan di air di Langat 2 yang semakin kering, sudah
tahu sama ada ia jantan mahupun betina. Begitu juga dengan manifesto pilihan
raya, buku jingga mahupun dasar Kerajaan Pusat kesemuanya adalah menjurus
kepada janji.
Ibarat seorang pengantin dan tok kadi. Apabila tok kadi
menjalankan upacara akad nikah akan ada ijab dan kabul. Sebelum dinikahkan
pengantin lelaki akan bertaklik. Iaitu janji untuk melayani isteri dengan penuh
kasih sayang dan tidak akan mencederakannya.
Dalam soal pilihan raya, manifesto adalah taklik dari parti
yang bertanding dan ijab dan kabul adalah proses menyetujui kandungan manifesto
yang mana pengundi seumpama pengantin perempuan setuju dengan taklik tersebut.
Namun hari ini pengundi di Selangor membantah taklik yang dibuat maka jatuhlah
talak ke atas kerajaan negeri.
Jika sudah jatuh talak atau taklik di bawa ke mahkamah maka
layakkah lagi kerajaan negeri hendak bertaklik sekali lagi sedang pengantin
perempuan sudah merajuk?
Jadi begitu keadaannya apakah patut kerajaan yang sama
mengeluarkan manifesto sekali lagi?
Suara Politik
Belantan
No comments:
Post a Comment