Benarkah hipotesis bahawa Pilihan Raya Umum Ke-12 telah
mengubah landskap politik Malaysia secara monumental dengan menjadikan
parti-parti politik yang berasaskan kaum seperti UMNO, MCA dan MIC tidak lagi
relevan?
Untuk mengesahkan kebenaran atau kepalsuan hipotesis itu,
maka rakyat Malaysia perlu mengkaji sama ada parti-parti yang hari ini mendakwa
mereka bersifat pelbagai kaum adalah tulen dakwaannya dan bukan semata-mata
bersifat pelbagai kaum secara kosmetik.
Oleh itu mari kita meletakkan sebuah parti politik tempatan
yang amat gah mendakwa bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi juga kepada
masyarakat antarabangsa bahawa ia adalah parti politik untuk semua kaum di
Malaysia di bawah mikroskop sebagai bahan kajian. Parti yang dimaksudkan adalah
Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Slogan Malaysia untuk orang Malaysia atau Malaysian Malaysia
adalah asas perjuangan DAP. Di bawah konsep ini DAP menentang hak istimewa yang
berasaskan kaum dan memperjuangkan sistem meritokrasi di mana pembahagian
sumber hendaklah kepada individu yang terbaik, paling berkebolehan, rajin dan
yang tercekap.
Sekali pandang amat muluk matlamat perjuangan DAP, namun
kita harus mengkaji sama ada kemulukan slogan memperjuangkan kepentingan semua
kaum diikuti dengan pelaksanaanya. Pertama mari kita lihat sama ada dilihat
dari segi keahliannya DAP memenuhi kriteria pelbagai kaum atau hanya beretorik.
Statistik menunjukkan bahawa pecahan penduduk Malaysia
mengikut kaum adalah 65.1 peratus daripada etnik Melayu dan bumiputera, 26
peratus etnik Cina dan 7.7 peratus etnik India. Maka untuk sesebuah parti
mengaku bersifat pelbagai kaum parti berkenaan haruslah tidak mempunyai
keanggotaan satu kaum melebihi 50 peratus dari keseluruhan keahlian parti
tersebut. Oleh kerana tidak ada sebarang statistik pecahan keahlian DAP
mengikut kaum, maka kita boleh membuat ujian terhadap sifat kepelbagaian DAP
dengan meninjau barisan kepemimpinannya.
Kajian yang dibuat berdasarkan maklumat yang terkandung di
laman web DAP menyaksikan dari 30 orang ahli jawatankuasa pusatnya, 22 (73
peratus) adalah terdiri daripada kaum Cina, 6 (20 peratus) adalah kaum India
dan hanya 2 (7 peratus) adalah orang Melayu. Jelas barisan kepemimpinan DAP
tidak membuktikan ia sebuah parti yang bersifat pelbagai kaum.
Untuk berlaku adil kepada DAP oleh kerana dari segi
statistik kepemimpinannya DAP tidak membayangkan ia sebuah parti politik untuk
semua kaum di Malaysia, maka marilah kita melihat pula kepada corak perjuangan
parti berkenaan manalah tahu jikalau perjuangannya membuktikan ia sebuah parti
untuk semua kaum sepertimana slogannya Malaysia untuk orang Malaysia. Sudah
tentu semua rakyat Malaysia bermaksud untuk orang Melayu, kaum bumiputera,
Cina, India dan kaum-kaum lain di Malaysia.
Persepsi
Tetapi apabila melihat isu-isu yang diperjuangkan parti DAP
akan semakin terbukti bahawa bagi DAP slogan Malaysia untuk orang Malaysia
tidak termasuk untuk orang Melayu. Persepsi ini timbul kerana apa yang dilihat
sebagai penentangan DAP terhadap segala simbol kemelayuan yang terdapat
kehidupan bernegara kita.
Contohnya keputusan memakai atau tidak memakai songkok telah
dijadikan polemik oleh DAP. Perkara ini berlaku walaupun memakai songkok telah
menjadi sebahagian pakaian formal bagi majlis yang melibatkan raja-raja Melayu
sebagai tanda kesopanan. Persepsinya DAP melihat songkok sebagai tanda dominasi
orang Melayu.
Walaupun setelah menjadi sebahagian daripada anggota
pentadbiran di Selangor dan Perak ( negeri beraja ) di mana anggota DAP yang
menjadi anggota pentadbiran terpaksa memakai songkok namun masih terdapat
penentangan seperti yang berlaku di Johor.
Soalan cepu emas yang perlu ditanya oleh orang Melayu dan
perlu dijawab secara jujur oleh DAP ialah adakah pernah pada sebarang masa
badan pembuat dasar tertinggi DAP iaitu Jawatankuasa Pusatnya mengeluarkan
arahan melarang pemakaian songkok, adakah larangan ini masih berkuat kuasa dan
kenapa ia berlaku. Begitu juga tindakan DAP yang lantang menentang sebarang
usaha untuk mengkelaskan Malaysia sebagai negara Islam walaupun Perkara 3 (1)
Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi bagi
Malaysia.
Kenapa terdapat kedegilan di pihak DAP untuk terus
mempertahankan status Malaysia sebagai negara sekular? Selain usaha untuk
menyempitkan signifikan peruntukan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan DAP
juga menentang peruntukan Perkara 121 (1A) yang tidak membenarkan campur tangan
mahkamah sivil di dalam apa yang menjadi bidang kuasa mahkamah syariah.
Kedua-dua peruntukan perlembagaan ini menjadi teras kepada status Malaysia
sebagai sebuah negara Islam.
Walaupun bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara dan
sekolah kebangsaan adalah sekolah untuk semua kaum DAP dikenali sebagai parti
yang paling lantang memperjuangkan bahasa dan sekolah Cina. Begitu kerasnya
pendirian DAP di dalam persoalan bahasa dan pendidikan ini sehingga mereka
menentang pengajaran matapelajaran sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris
di sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan penubuhan sekolah wawasan yang pernah
dicadangkan kerajaan satu ketika dahulu.
Bukan sahaja kepentingan agama, bahasa dan pendidikan orang
Melayu tidak diperjuangkan oleh DAP malah ia ditentang hebat oleh parti
berkenaan. Begitu juga hak-hak istimewa orang Melayu juga ditentang oleh DAP
kerana hak istimewa orang Melayu ini disifatkan sebagai antimeritokrasi.
Penentangan ini berlaku walaupun hak-hak istimewa ini telah
terbukti berjaya membantu orang Melayu dan bumiputera untuk memperoleh sedikit
keadilan sosial. Begitu antiDAP kepada hak-hak istimewa orang Melayu
sehinggakan walaupun hanya 30 peratus pemilikan ekuiti negara disasarkan untuk
orang Melayu, telah diasak dengan begitu hebat oleh DAP.
Hakikatnya hari ini majoriti 65.1 peratus (orang Melayu)
penduduk Malaysia hanya menguasai 19.4 peratus kekayaan negara berbanding
minoriti 26 peratus rakyat Malaysia (kaum Cina) yang menguasai 42.4 peratus.
Nampaknya kejayaan yang sedikit ini pun hendak dicemburui dan mahu dihapuskan.
Bagi DAP sebarang kejayaan orang Melayu akan dikaitkan dengan faktor rasuah
atau pilih kasih bukannya usaha kaum tersebut.
Terbukti dari semua segi sama ada statistik kepemimpinan
mahukan corak perjuangannya DAP bukanlah parti untuk semua kaum apatah lagi
untuk orang Melayu. DAP adalah sebenarnya sebuah parti untuk orang Cina.
Tanggapan terhadap DAP juga sebagai parti yang secara agresif memperjuangkan
kepentingan untuk semua ras sebenarnya hanyalah ilusi.
Menggunakan kriteria ujian yang sama terhadap parti-parti
politik lain di Malaysia yang juga mendakwa mereka bersifat pelbagai kaum
sepertimana ujian kriteria yang digunakan terhadap DAP maka kita boleh
menyimpulkan bahawa dakwaan landskap politik berhubung peranan ras yang
dikatakan berubah pasca-Pilihan Raya Umum Ke-12 adalah sebenarnya lebih
bersifat indah khabar dari rupa.
Amat perlu bagi parti-parti politik Malaysia duduk semeja
dan merangka satu tata etika agar mereka tidak terlibat sama ada secara
langsung mahupun tidak langsung untuk menipu rakyat dalam konteks sifat
kepelbagaian kaum.
Salah satu tataetika utama yang harus di persetujui semua
adalah mana-mana parti politik yang ingin mendakwa bahawa mereka bersifat
pelbagai kaum tidak boleh mempunyai dominasi keahlian sesuatu kaum melebihi 50
peratus sama ada dari segi ahli mahupun barisan kepemimpinannya, parti yang
mendakwa bersifat pelbagai kaum juga perlu melambangkan komitmen berkenaan di
dalam platform dasar mereka. Jika tidak dapat memenuhi syarat-syarat ini maka
sebarang parti politik hendaklah dilarang daripada menggunakan label pelbagai
kaum.
Suara Politik
Belantan
No comments:
Post a Comment