Bekas Timbalan Pengerusi 3 PKR negeri itu juga mendakwa,
tindakannya bertanding turut didorong oleh permintaan sebahagian ahli parti
yang tidak bersetuju Fauzi dinamakan sebagai calon menggantikan Azan Ismail di
kerusi itu.
"Saya akan bertanding di Indera Mahkota sebagai calon
Bebas kerana saya mahu pengundi di Parlimen itu menolak Fauzi agar tidak
terpedaya dengan tipu helahnya selama ini.
"Rakyat dan sebahagian ahli PKR mahukan calon yang
benar-benar bersih untuk membela nasib mereka dan Fauzi bukanlah calon yang
layak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sebelum ini, sekumpulan penyokong pembangkang menyatakan
bantahan terbuka ketika Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan
Fauzi sebagai calon parti itu di Parlimen Indera Mahkota dalam program ceramah
di Balok Makmur Ahad lalu.
Fauzi yang kali terakhir bertanding pilihan raya umum pada
1999 atas tiket Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Berserah,
hanya menyertai PKR pada Julai 2008 iaitu selepas PRU-12.
Sementara itu, menurut Ramponusamy yang juga bekas calon PKR
Parlimen Bentong, pada pilihan raya lalu, beliau tidak akan menawarkan diri
untuk bertanding sekiranya PKR tidak menamakan Fauzi sebagai calon.
"Saya bertanding bukan kerana saya benci atau bermusuh
dengan UMNO. Saya menganggap UMNO sebagai kawan tetapi semua yang dilakukan
adalah untuk menolak Fauzi.
"Fauzi yang suka buat musuh. Malah, saya meletak
jawatan sebagai Timbalan Pengerusi 3 PKR negeri juga adalah kerana Fauzi
walaupun saya telah berjuang bermati-matian bersama PKR sejak 15 tahun
lalu," jelasnya yang melepaskan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi 3
setahun selepas Fauzi dilantik mengetuai parti itu di Pahang.
Sementara itu, bekas calon PKR di Dewan Undangan Negeri
(DUN) Kemayan, Mohd. Shukri Mohd. Ramli, 42, turut menempelak kepimpinan parti
itu kerana memilih Fauzi bertanding di Indera Mahkota sedangkan beliau adalah
pemimpin yang sudah ditolak UMNO sendiri.
"Patut orang lama bersara, berehat bagi peluang kepada
muka baharu. Beliau mungkin lupa dengan janjinya yang masuk PKR bukan untuk
jawatan tetapi untuk memperjuangkan rakyat.
"Beliau sudah tidak ada kekuatan UMNO, kemudian lompat
masuk PKR selepas PRU-12 bila pembangkang menang besar. Patutnya tunjuk dulu
apa yang dia boleh lakukan untuk bantu PKR, bukan jadi calon,'' tegasnya.
Sementara itu, Mohd. Shukri yang juga penulis blog Cucu Mat
Kilau turut mengumumkan akan bertanding calon Bebas di Dewan Undangan Negeri
(DUN) Teruntum dalam PRU-13 ini.
Kata Mohd. Shukri, pergeseran dalam kalangan PKR dan DAP
yang semakin kuat ekoran perebutan kerusi di DUN berkenaan mendorong beliau
menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Bebas prorakyat.
"Saya melihat senario itu turut berlaku dalam parti
lain tetapi tidak terlalu 'hebat' jika dibandingkan dengan DAP dan PKR.
"Sebagai alternatif kepada rakyat, saya mahu memecah
undi dan menawan hati pengundi atas pagar iaitu kira-kira 20 peratus,"
katanya dalam sidang akhbar di sini. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment