TAMPIN - DAP Negeri Sembilan mendapat tamparan hebat apabila
tujuh pemimpin kanan peringkat cawangan parti itu malam tadi mengisytiharkan
sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Kumpulan terbabit yang diketuai oleh Naib Pengerusi DAP
Cawangan Ladang Paroi, David Dass Aseerpatham merupakan individu terawal yang
membantah dan membuat laporan berhubung pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat
(CEC) parti itu hujung tahun lalu.
Selain David, enam lagi yang menyatakan pendirian mereka
ialah Setiausaha DAP Cawangan Ladang Paroi, Mahendran Krishnan; Pengerusi DAP
Cawangan Desa Dahlia Senawang, Richard Francis dan Naib Pengerusinya, Jesu
Dason; Setiausaha DAP Cawangan Ladang Regent, Tampin, Chelvam Kathan; Naib
Pengerusi DAP Cawangan Ladang Regent, M. Subramaniam dan Setiausaha DAP
Cawangan Desa Dahlia, Senawang, S. Karthiyaini.
Kesemua mereka yang mengaku masih menjadi ahli DAP, sebelum
ini telah membuat laporan ke pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung
penipuan dalam isu CEC tersebut.
Sementara itu David berkata, sebab utama beliau dan rakannya
menyokong BN kerana manifesto BN yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak.
"Kami semua sokong BN pada PRU-13 ini selepas melihat
manifesto BN adalah aku janji tulen, yang nyata membela kaum India berbanding
pembangkang yang tidak mengiktiraf itu sebagai aku janji," katanya pada
sidang akhbar di Ladang Regent, Gemencheh, dekat sini malam tadi.
Katanya, mereka telah lebih 24 tahun bersama DAP namun
hasilnya tidak memihak kepada kaum India.
"DAP membisu dalam isu CEC dan bercakap soal salah
taip. Hari ini, isu salah taip dan silap kira timbul lagi dalam pembikinan
projek mega DAP termasuk terowong yang menelan belanja berbilion ringgit itu.
"Ketua Menteri, Lim Guan Eng macam budak sekolah, kamu
mentadbir negeri, takkanlah asyik silap kira dan silap taip,'' katanya.
Tambah David lagi, Guan Eng juga sering 'diselamatkan' oleh
bapanya, Lim Kit Siang dan sebab itulah ahli akar umbi menggelarkan DAP pada
hari ini parti penuh dengan sandiwara kerana di dalamnya terdapat bintang
"Bollywood" dan "Hong Kong".
David berkata, beliau dan rakan-rakannya akan menjelajah ke
seluruh negeri untuk mendekati kaum India dan menjelaskan mengapa mereka
menyokong BN dan menceritakan pengalaman 'ngeri' berada dalam DAP, sehingga
kaum India dipermain-mainkan.
"Saya percaya, lambat laun kami akan dipecat sebagai
ahli DAP. Tunggulah masa yang sesuai untuk kami keluar beramai-ramai daripada
DAP ini. Ahli kami di peringkat cawangan juga akan turut sama dibawa menyokong
BN dalam PRU-13 ini,'' katanya.
Pada majlis itu juga, beliau turut menerima borang keahlian
Persatuan Penyokong BN kaum India Negeri Sembilan daripada penasihatnya,
Mohamad Hafidz Jafelis. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment