Thursday, 18 April 2013

MANIFESTO BN SELANGOR JAMIN AIR PERCUMA



Manifesto Barisan Nasional (BN) Selangor yang menggariskan tujuh intipati utama dibentangkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Selangor, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Manifesto BN Selangor atau lebih dikenali sebagai akujanji BN Selangor pada kali ini bertemakan "Keamanan, Kestabilan, Kemakmuran".

Tujuh teras yang digariskan dalam manifesto BN Selangor ialah Masa Depan Lebih Cerah, Masyarakat Lebih Prihatin, Kualiti Kehidupan Lebih Selamat dan Sejahtera, Perumahan Lebih Mampu Milik, dan Selangor Lebih Inovatif, Lebih Daya Saing.

Selain itu, manifesto BN juga menggariskan Selangor Lebih Progresif dan Selangor Lebih Mesra, Alam Lebih Bersih.

Antara janji BN dalam manifesto yang dibentangkan adalah meneruskan pemberian air percuma 20 meter padu sepertimana yang diberikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor.

BN Selangor juga akan membiayai kos menukar meter bekalan air pukal kepada meter individu secara percuma.

Selain itu BN Selangor akan memberi bantuan sara hidup minimum sebanyak RM250 kepada golongan miskin, ibu tunggal dan OKU.

BN juga jika kembali mentadbir Selangor akan menyemak dan menurunkan cukai pintu, tanah dan perniagaan yang membebankan pengguna.

Selain itu, BN akan memperkenalkan pusat jagaan harian kepada ibu bapa yang bekerja menempatkan anak-anak mereka yang berusia antara tiga bulan hingga tiga tahun di pusat-pusat jagaan yang telah ditetapkan.

Terletak di pusat-pusat bandar utama seperti Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya dan beberapa lokasi lagi, pusat jagaan ini juga boleh menjadi transit kepada anak-anak sekolah sementara menunggu ibu bapa selesai bekerja dan penjagaan untuk warga emas sewaktu anak bekerja di siang hari.

Malah turut disediakan ialah 'shuttle bus' percuma menghubungkan taman-taman perumahan dengan stesen pengangkutan awam KTM Komuter, LRT dan MRT.

BN dalam manifestonya turut berjanji untuk melakukan penstrukturan semula tol Lebuhraya Plus Batu Tiga, Shapadu dan LDP Sunway.

Selain itu, BN turut melakukan penyelarasan harga bayaran tempat kereta awam di seluruh Selangor.

Menerusi teras Perumahan Lebih Mampu Milik, BN Selangor berjanji untuk mengembalikan peranan utama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS dan Permodalan Negeri Selangor (PNSB) dalam menyediakan rumah yang mampu dimiliki rakyat Selangor.

Sebanyak 25,000 unit Rumah Mesra Rakyat dan PPRT untuk penduduk pinggiran atau luar bandar bernilai RM50,000 akan dibina.

Selain itu, BN Selangor juga berhasrat untuk mengembalikan peranan Yayasan Selangor selain Unisel untuk kecemerlangan pendidikan di negeri ini.

RM500 peruntukan pembayaran sekali gus bagi setiap kelahiran baru anak Selangor sebagai deposit awal tabung Skim Simpanan Pendidikan Nasional akan diperkenalkan.

BN Selangor dalam manifestonya turut berjanji untuk membangunkan Koridor Baru 'Selangor Global Logistic Hub' membabitkan kawasan antara pelabuhan Klang, Kota Raja dan KLIA di Sepang untuk menarik pelabur asing dan membuka 560,000 peluang pekerjaan jika berjaya menawan kembali negeri ini.


SUMBER

No comments:

Post a Comment