Muhammad Bakhtiar Wan Chik, 48, menunjukkan sikap tidak
patriotik beliau apabila mengagungkan kereta import berbanding kereta buatan
tempatan dalam satu ceramah di sini malam tadi.
Dalam ceramah anjuran pakatan pembangkang di pasar awam di
sini yang dihadiri 300 orang, Muhammad Bakhtiar, seorang aktivis reformasi
sejak 1998, berkata: “Esok selepas kita menang, anda semua tukar kereta Camry
daripada Proton Wira yang digunakan sekarang.”
Yang turut hadir, Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mohd Salleh
Man, Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow, Setiausaha Politik Ketua Menteri
Pulau Pinang, Zairil Khir Johari dan calon PAS Dewan Undangan Negeri Bayan
Lepas, Asnah Hashim.
Terdahulu, ketika berceramah di Teluk Bahang petang semalam,
Muhammad Bakhtiar dilihat hadir dengan menaiki kereta mewah Porsche Cayenne S
berwarna hitam bersama pemandu peribadi beliau.
Berucap hanya kira-kira 10 minit beliau memberi alasan isi
ucapannya telah disampaikan aktivis DAP, Hew Kuan Yau sebelum giliran beliau.
Dua hari lepas 100 penyokong dan anggota PKR membantah
keputusan ketua umum parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertaruhkan Muhammad
Bakhtiar bertanding kerusi Parlimen Balik Pulau pada pilihan raya umum ke-13
(PRU13), 5 Mei ini.
Anwar mengumumkan keputusan itu pada satu ceramah di Sungai
Ara 5 April lalu.
Kumpulan itu mengadakan perhimpunan secara aman di Jalan
Baru di sini bagi menyatakan sokongan terhadap penyandang Mohd Yusmadi Mohd
Yusoff untuk mempertahankan kerusi itu.
No comments:
Post a Comment