MCA Bahagian Klang akan meneruskan hasrat lebih 8,000 rakyat
di kawasan Pandamaran, Klang untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap
Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor bagi menuntut hak kebajikan yang
dijanjikan dalam manifesto mereka pada 2008.
Ketua Pemudanya, Dr. Ching Eu Boon berkata, tindakan itu
akan dilakukan selepas pihaknya bersama-sama peguam selesai membuat penelitian
terperinci terhadap tuntutan tersebut diperoleh menerusi borang yang diedarkan
kepada rakyat di kawasan berkenaan pada bulan lalu.
Katanya, setakat ini pihaknya telah menerima lebih 5,000
borang daripada penduduk kawasan tersebut melibatkan tuntutan penurunan 20
peratus cukai pintu bagi kediaman dan 10 peratus bagi premis komersial yang
dijanjikan kerajaan negeri sebelum ini.
"Selain itu, kita juga menerima lebih 3,000 borang
tuntutan daripada golongan ibu tunggal di Pandamaran yang mahu kerajaan negeri
melunaskan janji pemberian elaun sebanyak RM100 sebulan kepada mereka.
"Bagi penduduk di kawasan ini, mereka melihat janji
manifesto itu tetap janji dan harus ditunaikan walau dengan apa cara sekalipun
sebagai satu tanggungjawab yang wajib dipenuhi oleh kerajaan negeri.
"Sehubungan itu kita akan membawa tuntutan-tuntutan
rakyat kawasan ini ke mahkamah dalam tempoh seberapa segera," katanya
ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada 27 Januari lalu, lebih 1,000 penduduk Pandamaran
mengadakan perhimpunan secara aman setelah tidak berpuas hati terhadap Kerajaan
PKR Selangor yang sehingga kini enggan melunaskan janji dalam manifesto pakatan
pembangkang pada pilihan raya umum lalu.
Menurut mereka, keengganan kerajaan negeri itu disifatkan
sebagai tidak berperikemanusiaan kerana hanya tahu menabur janji namun tidak
dilaksanakan.
Dalam pada itu, Eu Boon yang juga Penyelaras DUN Pandamaran
memberitahu, selain tuntutan penurunan cukai pintu dan elaun ibu tunggal,
pihaknya selepas ini akan turut mengedarkan borang tuntutan kepada penduduk
kawasan itu bagi meminta kerajaan negeri memberikan caruman takaful sebanyak
RM2,500 untuk golongan warga emas, orang kurang upaya dan anak yatim di negeri
ini.
"Janji caruman takaful ini juga dilaporkan gagal
dilaksanakan oleh kerajaan negeri sejak 2008 sehinggalah ke hari ini,"
ujarnya.
Suara Politik
Belantan
No comments:
Post a Comment