Thursday 7 February 2013

Nasha : Saya Sudah Terima Surat Rasmi Pemecatan



 

Surat rasmi pemecatan anggota Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa, sebagai anggota Majlis Syura Ulama PAS akhirnya sampai ke tangan beliau Rabu selepas dipecat kira-kira dua minggu lepas.
Beliau berkata bagaimanapun timbul sedikit tanda tanya apabila surat berdaftar itu bertarikh 14 Jan tetapi hanya diposkan pada 30 Jan seperti yang tertera pada sampulnya.
“Sah secara hitam putih saya bukan anggota Majlis Syura Ulama PAS Pusat lagi. Hari ini baru sampai (surat tersebut),” katanya dalam rancangan Soal Jawab yang disiarkan di TV3 Rabu malam.
Rancangan itu dikendalikan Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Datuk Ahmad Talib.
Bekas timbalan presiden PAS itu berkata surat tersebut antara lain menyebut pemecatannya diputuskan pada mesyuarat Majlis Syura Ulama yang berlangsung pada 13 Jan lepas kerana melanggar beberapa ketetapan yang dibuat Majlis berkenaan.
“Saya tak tahu apa yang saya langgar, mungkin sebab saya buat beberapa kenyataan media secara terbuka dan pendirian saya dalam isu-isu terkini berbeza dengan pendirian parti,” katanya.
Ditanya sama ada beliau masih merupakan anggota PAS, Nasharudin berkata wujud sedikit konflik mengenai perkata itu berdasarkan kenyataan berbeza oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Mursyidul Am kata dengan pemecatan daripada Majlis Syura Ulama, saya automatik dipecat sebagai ahli tetapi presiden kata saya masih ahli. Ini pun saya tahu daripada media kerana tiada kenyataan rasmi daripada parti. Tapi kalau ada surat pemecatan sebagai ahli PAS, saya tunggu. Mungkin tiga minggu lagi baru sampai,” jelasnya.
Sementara itu, Nasharudin menjelaskan bahawa sehingga hari ini beliau tidak pernah menerima sebarang jemputan untuk menyertai Umno meskipun telah dua kali bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatan ke Mekah dan Gaza.
“Perdana Menteri tidak pernah ajak saya…tiada langsung keluar daripada mulut Perdana Menteri untuk ajak saya masuk Umno,” tegasnya - Bernama

No comments:

Post a Comment