Salah masuk kampung... itulah yang terjadi dengan seorang
lelaki dipercayai penceroboh Sulu
selepas dia dibelasah beramai-ramai oleh penduduk sebuah kampung di Semporna
pagi ini.
Puluhan penduduk bertindak memukul sehingga mati lelaki
bersenjata M16, yang dipercayai terlibat dalam serangan hendap yang
mengorbankan lima anggota polis, di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna malam
tadi.
Bagaimanapun sehingga kini polis belum memberi pengesahan
tentang identiti lelaki itu.
Bernama melaporkan dalam insiden 7 pagi hari ini, seorang
lelaki berbadan besar, berpakaian serba hitam, memegang senjata M-16 dan
berumur dalam lingkungan 50-an turun daripada sebuah bukit dan melepaskan
beberapa das tembakan ke arah sebuah surau di Kampung Senallang Lama, Semporna
di sini.
Seorang penduduk, Abdul Hani Samaullah, 44, berkata selepas
melepaskan tembakan lelaki itu turut menjerit di hening pagi bahawa "saya
yang menembak polis malam tadi".
"Lelaki itu kemudian membuka setiap pintu rumah
penduduk dan mengarahkan mereka berkumpul di satu kawasan lapang," katanya
yang turut berkumpul bersama penduduk di dalam keadaan ketakutan.
Abdul Hani berkata penduduk menyerang lelaki terbabit
apabila dia bertinggung dan memasang api rokok serta meletakkan senjatanya.
Beliau berkata lelaki itu dipukul hingga mati dan mayatnya
diletakkan dekat dengan sebuah pokok di kampung itu.
Wartawan Bernama yang dalam perjalanan membuat liputan
majlis perasmian jambatan baharu oleh Menteri Kemajuan Pembangunan Luar Bandar
dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kampung Nihak Nihak, pada 8.30 pagi
iaitu 30 kilometer daripada Kampung Senallang Lama, sempat melihat mayat lelaki
itu dan mendapati kepala lelaki itu berlumuran darah.
Kelihatan penduduk mengemas beg pakaian mereka dan
mengosongkan rumah mereka dengan membawa anggota keluarga, termasuk kanak-kanak
dan wanita, untuk melarikan diri ke kawasan kampung lain.
Kebanyakan penduduk adalah petani dan pekebun ladang kelapa
sawit.
Cubaan Bernama untuk menghubungi Ketua Polis Daerah Semporna
DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah untuk mendapatkan maklumat lanjut gagal.
AGENDA DAILY
No comments:
Post a Comment