Berita Minggu, 31 Oktober 1999
SEREMBAN: Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Kementerian
Kewangan mula menyiasat dakwaan bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul
Murad Khalid berhubung dakwaannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki 20
akaun induk bank berjumlah RM3 bilion untuk mencapai cita-cita politiknya.
BPR sudah membuat laporan polis berhubung dakwaan itu bagi
membolehkan siasatan dijalankan. Siasatan diketuai Pengarah Siasatan BPR, Abdul
Razak Idris. Di SUNGAI PETANI, Menteri Kewangan Pertama, Tun Daim Zainuddin,
berkata siasatan itu penting untuk memastikan siapa yang bersalah supaya
tindakan terhadap mereka dapat diambil.
Menurutnya, siasatan itu juga dapat membuktikan sejauh mana
kebenaran dakwaan Abdul Murad terhadap Anwar yang disertakan Akuan Berkanun
dengan ikrar di hadapan Persuruhjaya Sumpah.
"Surat sumpah bukan boleh main-main, saya percaya
seseorang tidak akan buat surat sumpah kalau tidak ada bukti," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan
kewangan dan beras kepada 388 keluarga mangsa banjir di kawasan Parlimen Merbok
dekat Sungai Petani semalam, Daim berkata, jika dakwaan berkenaan tidak benar,
pihak terbabit boleh mengambil tindakan terhadap Abdul Murad.
Beliau juga berkata, siasatan perlu bagi memastikan semua
kakitangan Bank Negara bekerja cekap, amanah, bertanggungjawab dan tidak ada
penyelewengan.
Sementara itu, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Zaki Husin
menyifatkan setiap perenggan dalam akuan bersumpah Abdul Murad adalah maklumat
mengenai rasuah.
BPR menganggap pengakuan Abdul Murad tidak seperti maklumat
biasa kerana dakwaannya adalah maklumat akuan bersumpah. Esok, Ahmad Zaki akan
mempengerusikan mesyuarat dengan pegawainya untuk menentukan bidang tugas
pasukan penyiasatan itu.
"Tindakan pertama ialah memangggil Abdul Murad bagi
mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kenyataannya dalam akuan bersumpah
itu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan
program sehari BPR bersama wargatua di Rumah Seri Kenangan di sini, semalam.
Khamis lalu, Abdul Murad melalui akuan bersumpahnya
mendedahkan salah laku bekas Timbalan Perdana Menteri, termasuk mempunyai akaun
induk berjumlah RM3 bilion untuk mencapai cita-cita politiknya. Selain
individu, turut dikaitkan dengan Anwar dalam akuan bersumpah itu ialah beberapa
pertubuhan bukan kerajaan.
Ahmad Zaki mengakui bahawa berdasarkan akuan bersumpah itu,
kes itu rumit kerana membabitkan banyak bank dan pengendalian akaun, termasuk
akaun induk seperti yang disebutkan dalam akuan bersumpah.
Selain itu, katanya ada banyak dakwaan dan ramai orang
terbabit menyebabkan BPR akan membuka lebih daripada satu fail dalam siasatan
itu. Walaupun rumit, katanya BPR yakin dapat mengendalikan kes itu kerana
mempunyai pengalaman mengendalikan kes rasuah yang rumit sebelum ini, malah
membawa kes itu ke mahkamah.
Beliau berkata, BPR akan mendapatkan bantuan pakar, termasuk
dari Bank Negara dan Kementerian Kewangan untuk memberi khidmat nasihat dalam
aspek siasatan. Selain itu, kerjasama daripada nama mereka yang disebut dalam
akuan bersumpah itu juga penting.
Menurutnya, penyiasatan ditumpukan terhadap aspek rasuah
yang terkandung dalam akuan bersumpah. "Saya fikir hampir setiap perenggan
dalam akuan bersumpah itu adalah maklumat mengenai rasuah. Jadi kami akan
menyiasat setiap aspek itu," katanya.
Mengulas beberapa pihak yang dinyatakan dalam akuan
bersumpah itu berada di luar negara, katanya, BPR akan mendapat kerjasama
agensi terbabit di negara berkenaan. Sebagai contoh jika di Amerika Syarikat,
katanya BPR akan mendapatkan kerjasama Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan
mungkin Polis Antarabangsa (Interpol).
"Untuk tujuan bukti, BPR akan merujuk kepada Peguam
Negara untuk mengaturkan bagaimana keterangan itu boleh dibawa ke mahkamah
negara ini," katanya.
Sementara itu, beliau menolak dakwaan sesetengah pihak
bahawa BPR tidak bebas menjalankan siasatan itu. Sejak tujuh bulan saya menjadi
Ketua Pengarah, tidak ada sesiapa yang mencampuri siasatan BPR. Tidak ada
masalah, tidak timbul isu menyatakan BPR tidak bebas dalam siasatan.
"Saya tidak kata maklumat dalam akuan bersumpah itu
maklumat betul atau palsu. Tidak tahulah betul atau tidak. BPR apabila menerima
maklumat tidak mempunyai pilihan, kita akan menyiasat," katanya.
Beliau berkata, masalah sebenar yang dihadapi ialah orang
ramai yang mempunyai maklumat penting tidak mahu membantu BPR menyebabkan
agensi itu disangka tidak menjalankan kerja. Dalam kes Abdul Murad, katanya
tidak ada siapa menyangka bekas Penolong Gabenor itu akan berbuat demikian.
"Mengapa tidak dulu lagi datang berjumpa kita. Kalau
dari dulu pun, BPR siasat juga. Begitu juga dengan orang lain yang mempunyai
maklumat, mengapa tidak datang," katanya.
Komen : Dimana hasil siasatan kes ini? Sudah lebih 10 tahun
rakyat menunggu, BPR pun sudah ditukar kepada SPRM, namun mengapa sampai
sekarang diam membisu?
No comments:
Post a Comment