Kepimpinan Pas diminta untuk tidak berkias-kias dan berterus
terang dalam menyatakan pendirian menolak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim bagi jawatan Perdana Menteri sekiranya Pakatan Pembangkang berkuasa,
memandangkan perkara ini sudah menjadi rahsia umum di kalangan ahli dan
penyokong parti tersebut di peringkat akar umbi.
Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah
berkata berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada ahli-ahli Pas sendiri,
boleh dikatakan rata-rata ahli dan penyokong akar umbi Pas tidak bersetuju
apabila Anwar diletakkan sebagai calon Perdana Menteri untuk Pakatan
Pembangkang.
“Bila saya berborak-borak dengan ahli atau penyokong Pas,
ternyata daripada kata-kata mereka membayangkan hati kecil mereka tidak
bersetuju jika Anwar menjadi calon PM sekiranya Pakatan berkuasa. Kebanyakkan
ahli dan penyokong Pas, tidak suka kepada Anwar kerana dibelenggu pelbagai isu
moral serta pendirian Islam yang terlalu liberal.
“Namun perkara ini tidak dapat diluahkan secara terbuka
kerana mahu menjaga hubungan dan kepentingan politik bersama. Bagi saya, Pas
sepatutnya berterus terang dan bukannya bermain teka teki seperti apa yang kita
lihat sekarang ini. Mereka juga usah malu-malu sebab kita juga tahu Pas juga
idam jawatan Perdana Menteri,” ujarnya kepada UMNO Online di sini hari ini.
Sikap kepimpinan Pas yang tidak berterus terang dan suka
berkias ini kata beliau, sedikit sebanyak merupakan cerminan pendirian dan
perjuangan Pas hari ini yang tidak jelas matlamatnya.
“Bagi saya, kalau tak suka cakaplah tak suka. Buat apa nak
sorok-sorok. Ini soal pemerintahan negara. Bukan soal main-main. Jika kita
tersalah pilih pemimpin untuk tadbir negara, maka rakyat juga akan menanggung
musibahnya. Pas sepatutnya lebih tegas menyatakan pendirian. Bukan hanya
berkias-kias seolah-olah takut untuk berterus terang,” tegasnya.
Selain itu, beliau turut meminta rakyat membandingkan antara
pentadbiran kerajaan BN di bawah teraju Datuk Seri Najib yang jelas hari ini
memperlihatkan kejayaan di dalam program transformasi yang dilaksanakan
sepanjang tempoh pemerintahannya.
“Dalam kerajaan BN hari ini tidak mendapat 2/3 majoriti,
Datuk Seri Najib mampu untuk melaksanakan dasar transformasinya yang amat
berjaya. Pelbagai kemudahan dan bantuan telah diberikan kepada rakyat biarpun
tidak sampai lima tahun pentadbirannya.
“Saya yakin, jika rakyat memberikan mandat 2/3 kepada
kerajaan BN di bawah teraju Datuk Seri Najib pada PRU ke 13 ini, maka sudah
pasti rakyat akan dapat melihat dasar transformasi beliau akan dapat
dilaksanakan dengan lebih cemerlang lagi. Malah saya yakin, rakyat akan
mendapat pelbagai kemudahan dan bantuan yang lebih daripada apa mereka dapat
pada hari ini,” ujarnya.
-MediaUMNO
No comments:
Post a Comment