Saturday, 2 March 2013

PAK LAH : "THIS IS RUBBISH !!! "



 
Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua sebagai tidak sensitif sehingga sanggup mempolitikkan tragedi.
Katanya perbuatan Tian Chua mengaitkan insiden di Lahad Datu, Sabah sebagai konspirasi Umno, jelas menunjukkan pembangkang semakin terdesak sehingga mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal.

 
"Ini semua 'rubbish' (mengarut) dan bohong, mereka ini nampaknya sudah tidak ada modal sehingga isu serius seperti ini pun hendak dijadikan modal politik. Memang mengarut dan tidak berasas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Futsal Komuniti 1Malaysia 2013, di sini Sabtu.
Beliau mengulas laporan akhbar yang antara lain menyebut Tian Chua berkata kejadian pencerobohan di Lahad Datu itu adalah konspirasi kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat serta mengalih pandangan berhubung isu pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah.
Semalam berlaku insiden tembak-menembak antara pasukan keselamatan negara dan kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo itu yang mengorbankan dua anggota komando polis VAT 69 dan mencederakan tiga lagi anggota pasukan keselamatan negara. Mengulas lanjut, Abdullah berkata beliau juga tidak faham dengan sikap pembangkang sekarang yang mengaitkan semua perkara dengan politik.
"Berhentilah (mengeluarkan kenyataan mengarut), ini adalah isu serius dan insiden ini meragut nyawa dua anggota keselamatan negara," katanya.
Abdullah turut meluahkan rasa sedih dengan kejadian itu dan mengucapkan takziah kepada balu kedua-dua anggota polis yang terkorban.-BERNAMA

No comments:

Post a Comment