Monday 24 December 2012

Konvoi Jelajah Oren di NS kecoh .. buat semak aje ...




Jelajah Oren Selamatkan Felda yang dianjurkan Persatuan Felda Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) di sembilan penempatan Felda di negeri ini, semalam kecoh apabila ratusan orang ramai, sebahagian besar penduduk di situ, menghalang laluan konvoi.

Mereka berbuat demikian bagi menyekat perhimpunan yang dijadualkan menjelajah kawasan Felda menyebabkan penganjur gagal memasuki empat kawasan Felda iaitu Felda Kepis, Kuala Pilah; Bukit Rokan Barat, Jempol; Bukit Rokan Utara, Tampin dan Gugusan Jelai, Gemas.

Dalam kejadian bermula kira-kira 10.15 pagi itu, jelajah yang diketuai Mazlan Aliman tiba di Felda Bukit Rokan Utara, di sini dan disekat kira-kira 100 penduduk yang tidak mahu orang luar masuk ke penempatan mereka melakukan jelajah berkenaan.

Menurut sumber, kekecohan berkenaan berlaku apabila penganjur dan peserta jelajah tetap berkeras untuk masuk ke penempatan Felda di situ.

“Berlaku pertengkaran daripada kedua-dua belah pihak menyebabkan peserta jelajah berkenaan terpaksa beredar.  Bagaimanapun, ketika mereka mahu beredar, sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna oren terlanggar sebuah motosikal penduduk sehingga mencetuskan pertelingkahan.

"Salah seorang penduduk yang berang menyerang kenderaan berkenaan dan memecahkan cermin hadapan kenderaan sehingga menyebabkan salah seorang peserta jelajah cedera ringan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Kekecohan itu, bagaimanapun, reda selepas polis bertindak dengan menasihatkan mereka yang berkumpul supaya bersurai dengan segera.

Difahamkan, selepas kekecohan di Felda Bukit Rokan Utara, dekat sini, orang ramai turut berkumpul di setiap pintu masuk penempatan Felda lain, dekat sini menyebabkan penganjur mengambil keputusan membatalkan program jelajah terbabit, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang mengesahkan menerima laporan berhubung insiden berkenaan.
Katanya, polis sedang menyiasat kejadian tersebut.

"Kejadian berkenaan menyebabkan pihak polis terpaksa mengerahkan 12 anggota membabitkan dua pasukan rusuhan kecil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin untuk berkawal di persimpangan Jelai bagi mengawal keadaan," katanya.

Difahamkan, kekecohan program Jelajah Oren, semalam, merupakan pertama kali berlaku di Negeri Sembilan.

Sebelum ini, kekecohan sama pernah berlaku pada Konvoi Oren Selamatkan Felda yang berlangsung pada 3 November lalu di Felda Lawin Selatan, Gerik, Perak.


sumber : Sinar Harian 2412/2012  SINI

No comments:

Post a Comment