Thursday 13 December 2012

Angin perubahan semakin memihak Umno-BN di Kedah

Angin perubahan yang menyaksikan peningkatan sokongan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) di Kedah kebelakangan ini, mampu membawa pergi mendung yang melanda negeri itu sejak 2008, apabila pilihan raya umum ke-13 berlangsung kelak.

Satu persatu kepincangan kerajaan negeri yang diteraju Pas dan sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta DAP 'terlondeh', antaranya perbalahan terbuka dua anggota exco kerajaan negeri dan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak, selain sikap dingin DAP susulan tindakan kerajaan negeri merobohkan satu-satunya pusat sembelihan khinzir di negeri itu.

Namun, Umno dan BN Kedah yang mengakui kesilapan sendiri punca Kedah 'terlepas' ke tangan lawan pada 2008, tidak mahu terlalu bergantung kepada kelemahan 'benteng pertahanan' lawan, sebaliknya meningkatkan usaha meyakinkan rakyat mereka lebih layak mentadbir negeri.

"Mereka (rakyat) dah rasa sendiri dalam masa lima tahun. Ini bukan andaian tetapi satu hakikat yang datang daripada pengundi, rakyat sendiri. Pada pilihan raya dulu, mereka hanya cuba mengurangkan jumlah kemenangan BN tetapi yang jadi kalah.

"Ramai terkejut termasuk orang Cina dan India (apabila BN kalah). Mereka masih percayakan BN. Orang Cina dan India nampak siapa yang boleh memerintah," kata Pengerusi Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah kepada Bernama.
   
Katanya dalam senario sekarang, yang tinggal hanyalah kesanggupan pemimpin parti untuk bekerja keras dan merebut peluang di depan mata dengan meletakkan kepentingan Umno serta BN mengatasi kehendak sendiri.

"Turun padang dan beritahu ahli-ahli parti bahawa mereka meletakkan parti di hadapan. Cakap daripada hati...tak boleh cakap lain, hati lain. Cakap sanggup dan sanggup terima apa saja. Kalau letak siapa jugak kita sokong untuk menangkan parti. Yang kita pilih calon daripada parti...kempen kena serius dan sungguh-sungguh," katanya.

Isu calon disentuh Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu menggulung perbahasan pada perhimpunan agung parti baru-baru ini, yang melontarkan soalan 'cepu mas' bagi menguji tahap kesediaan anggota untuk menyokong parti andai tidak terpilih sebagai calon.

Najib menawarkan lima kemungkinan kepada soalan itu -- sokong sepenuhnya calon dipilih parti; sokong; tidak bekerja; sabotaj; atau lompat parti. 

Mengakui bukan mudah untuk mengubah pemikiran anggota dalam soal calon, Ahmad Bashah bagaimanapun optimis pemimpin Umno Kedah bersedia melakukan "sesuatu yang luar biasa" pada pilihan raya umum akan datang dan menguasai 26 daripada 36 kerusi dewan undangan negeri.

Penganalisis politik Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani ketika dihubungi Bernama turut mengakui ketika ini peluang Umno dan BN merampas semula Kedah meningkat.

Namun kata Dekan Fakulti Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia itu, peluang tersebut perlu dimanfaat dengan strategi yang tepat kerana pakatan pembangkang mempunyai kelebihan selaku kerajaan negeri.

Katanya isu sabotaj calon masih perlu diberi perhatian sekalipun masalah tersebut kurang ketara selepas perhimpunan agung parti.

Sehubungan itu beliau menyarankan agar Umno dan BN mengumumkan calon lebih awal termasuk bakal menteri besar, bagi mengekang perbuatan sabotaj. 

"Bila umum masa pilihan raya, masa singkat. Bila umum awal, ada masa dan ruang untuk banteras sabotaj. Ia memberi masa untuk merancang. Ini semua berkaitan persepsi rakyat. Penyokong yang 'hardcore' tak ada masalah. Yang jadi masalah ini yang atas pagar terutama orang muda," katanya.

Sememangnya terlalu banyak kepincangan kerajaan negeri yang dilapor media massa dan juga 'desas-desus kedai kopi' membabitkan isu dalaman Pas dan kedinginan hubungan Pas dengan sekutunya.

Itu tidak mengambil kira pelbagai permasalahan rakyat akibat kegagalan mentadbir seperti ancaman banjir akibat aktiviti pembalakan yang menggondolkan sebahagian kawasan tadahan air atas nama 'ladang rakyat'. - Sumber Bernama

Justeru, seperti yang dikatakan Ahmad Bashah: "Kalau dalam keadaan hari ini tak boleh ambik Kedah jangan mimpi dalam pilihan raya lain boleh," menuntut BN dan Umno Kedah khasnya 'tepuk dada tanya selera'.



p/s : Jangan gendang saja kuat, tapi bunyinya menyakitkan

No comments:

Post a Comment