Lahad Datu: Pemimpin kumpulan bersenjata Sulu, Raja Muda
Azzimudie Kiram dipercayai menjadi orang yang paling dikehendaki dalam senarai
polis.
Berusia sekitar 60-an, beliau melibatkan diri dalam
perniagaan pengangkutan ikan dan kerap berulang-alik dari Lahad Datu ke Kunak,
Semporna, Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu.
Menurut penduduk di sini, lelaki yang berpindah ke Semporna
dari Lahad Datu baru-baru ini dipercayai telah menghilangkan diri.
Sumber percaya saudara kepada Sultan Sulu ini turut membantu
dalam rundingan bagi menamatkan krisis di Tanduo yang melibatkan kumpulan
lelaki bersenjata dan pasukan keselamatan Malaysia.
Mereka berkata polis mula mencari Azzimudie apabila dia
tidak ditemui lagi selepas berpindah ke Semporna.
Selain Azzimudie, mereka yang lain yang dikaitkan dengannya
juga sedang dicari oleh polis berikutan penangkapan beberapa orang termasuk
beberapa saudara mara, anggota beruniform dan ahli politik tempatan.
Polis berkata, sehingga kini lebih daripada 50 orang telah
ditahan kerana mempunyai hubungan dengan kumpulan bersenjata.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata mereka
ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas).
Beliau berkata tangkapan dibuat di seluruh Sabah dan di luar
kawasan operasi Op Daulat yang berpusat di sekitar Kampung Tanjung Batu dan
Kampung Tanjung Labian.
"Soal siasat suspek akan dapat mengesahkan beberapa
maklumat yang kami perolehi," Ismail berkata semasa sidang akhbar bersama
dengan Ketua Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.. -Mstar
No comments:
Post a Comment