Thursday 7 March 2013

PRU13...apa jadi jika darurat di Lahad Datu dan Semporna?


lahatdatuterkini
Pengundian untuk Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) di Lahad Datu dan Semporna boleh ditangguhkan sekiranya kawasan itu diisytiharkan darurat, tetapi penduduk kawasan lain yang tidak terjejas akan terus mengundi pada hari yang telah ditetapkan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada sidang media di Putrajaya pada Khamis, berkata, memang terdapat peruntukan dalam undang-undang yang membolehkan ia dilakukan.

Bagaimanapun katanya, SPR berpendapat ianya tidak akan sampai ke arah itu kerana  yakin konflik berkenaan akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Setakat ini belum isytihar darurat lagi. Kita pun tidak pasti butiran terperinci perintah darurat. SPR akan merujuk dengan penasihat undang-undang dan mengadakan perjumpaan khas sebelum membuat keputusan muktamad.

"Tetapi sekarang ini yang terjejas hanya di Lahad Datu dan Semporna, kita yakin konflik itu akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat. Apa pun SPR susah bersedia untuk mengadakan pilihan raya pada bila-bila masa," katanya.

Sidang media berkenaan diadakan selepas SPR mengadakan pertemuan dengan pemimpin 30 parti politik untuk menjelaskan pembaharuan yang akan dilakukan dalam PRU-13 nanti.

Dalam pertemuan berkenaan SPR memohon pemimpin-pemimpin parti untuk memaklumkan kepada penyokong supaya tidak datang beramai-ramai sewaktu penamaan calon.

“Saya tekankan tak perlulah datang terlalu ramai pada hari penamaan calon. Cukuplah calon ditemani seorang pencadang, seorang penyokong cadangan dan beberapa penyokong parti.

“Dulu kita ada sediakan khemah, kerusi dan makan minum. Tetapi kali ini semua kemudahan itu sudah tak ada kerana SPR tak mahu menggalakkan terlalu ramai penyokong datang pada hari penamaan calon.

“Saya katakan kepada mereka jangan bawa ramai orang. Kalau tak ramai orang, parti boleh jimatkan belanja, polis kurang beban dan ia memudahkan pengurusan SPR. Kami tak perlu hadapi keadaan bising dan tension,” katanya.

Aziz berkata dalam sesi soal jawab antara SPR dan pemimpin parti politik itu yang tertutup untuk media pada sebelah pagi, beberapa wakil minta penjelasan mengenai nombor siri pada kertas undi.
Aziz berkata, nombor siri itu adalah untuk mengelakkan kertas undi dari luar masuk ke peti undi. Menurutnya, nombor siri yang dikhaskan untuk setiap saluran adalah berbeza,

“Nombor siri untuk satu saluran tidak boleh dipakai untuk saluran lain. Ia unik. Jika berlaku aduan berlaku perkara tak sepatutnya, SPR boleh menyemak kertas undi dalam kotak undi dan apabila ada yang berlainan dengan nombor siri saluran berkenaan, SPR akan mengetahui kertas itu masuk dari lain tempat,” katanya.

Menurut Aziz perjumpaan dengan pemimpin parti politik berkenaan adalah yang ke-14 dan terakhir sebelum pilihanraya.

Aziz turut mengumumkan SPR telah menerima 4,669 permohonan undi pos luar negara dan daripada jumlah itu sebanyak 3,995 yang layak, sementara 674 permohonan lagi telah ditolak kerana tidak mematahui syarat, antaranya tidak mendaftar sebagai pengundi.

Selangor mencatatkan permohonan paling tinggi, iaitu 1440. Permohonan paling tinggi untuk negeri itu datang dari parlimen Kelana Jaya (195), diikuti dengan kawasan parlimen Petaling Jaya Utara (192), Subang (123), Gombak (106), Shah Alam (98) dan Serdang (86). - 7/3/13.- OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

No comments:

Post a Comment