Saturday, 9 March 2013

29 Ahli Dan Penyokong Pas Sertai UMNO



Kubang Pasu- Kira-kira 29 ahli dan penyokong Pas Padang Sera, Jerlun di sini hari ini mengambil keputusan menyertai UMNO setelah hilang kepercayaan terhadap parti berkenaan.

Kesemua mereka menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir pada majlis Ceramah Perdana Selamatkan Kedah di Padang Sera di sini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah bekas ahli Pas seumur hidup, Zainon Ismail atau lebih dikenali sebagai C.N. Al-Afghani.

Seorang bekas ahli Pas dari Kampung Baru, Jalan Guar Napai di sini, Ahli Rashid Ahmad, 64, berkata, dia mengambil keputusan untuk menyertai UMNO kerana perjuangan Pas kini tersasar jauh dari landasan Islam.

''Saya tawar hati dengan Pas, sebelum mereka memerintah Kedah macam-macam mereka janji, tapi bila mereka dah dapat Kedah, kita nak minta bantuan macam-macam alasan mereka bagi.

Katanya, dia juga dituduh pembelot hanya kerana Mukhriz datang ke rumahnya untuk memberi bantuan kepada cucunya.

''Jadi hari ini saya buat keputusan untuk sertai UMNO kerana yakin UMNO boleh bantu rakyat,'' jelasnya.

Sementara itu, C.N Al-Afghani dalam ceramahnya turut mendesak kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat tentang penyelewengan tabung Memali.

''Saya sibuk pasal tabung ini sebab tangan ini yang menulis, mata ini yang melihat, ini tanggungjawab saya.

''Saya pernah guna saluran dalam Pas untuk selesaikan masalah tabung ini, saya hantar surat kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tapi tiada tindakan yang diambil.

''Sebab itu saya ambil keputusan untuk mendedahkan perkara ini kerana ini merupakan tanggungjawab saya. Kalau tak buat bagaimana saya nak menjawab di depan Allah nanti,'' katanya.

-Utusan

No comments:

Post a Comment