Malaysia mewujudkan benteng pertahanan di sepanjang perairan
pantai timur Sabah bermula dari Kudat di bahagian Utara hingga ke Tawau di
bahagian Tenggara bagi menyekat sebarang elemen pencerobohan terutama dari
wilayah kepulauan di selatan Filipina.
Perisytiharan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Sabah oleh
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dibuat berikutan kejadian
pencerobohan kumpulan militan dari Sulu di Lahad Datu 12 Februari lepas dan
sehingga kini insiden itu masih berlanjutan.
"Kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk menjamin
keselamatan, keamanan dan kedaulatan Sabah... soal Sabah dalam Malaysia tidak
harus dipertikai oleh sesiapa," kata Najib selepas melawat kawasan 'ground
zero' di Felda Sahabat 16, Lahad Datu Sabah.
Kawasan Keselamatan Khas Sabah itu merangkumi Kudat, Tawau,
Kunak, Sandakan dan Lahad Datu, dan kerajaan akan menempatkan lima batalion
tambahan terdiri daripada pasukan tentera dan polis di kawasan itu.
Pada 1972, kerajaan pernah menubuhkan Rajang Area Security
Command (Rascom) iaitu pasukan kawalan keselamatan di kawasan Rajang di Sarawak
yang berjaya menghapus ancaman komunis di negeri itu.
Kawalan Rascom meliputi kawasan Sibu, Kanowit, Oya, Dalat,
Bintagor, Sarikei, Julau, Song dan Kapit yang diisytiharkan sebagai Kawasan
Keselamatan Istimewa oleh Datuk Abdul Razak Hussein selaku perdana menteri
ketika itu.
Pencerobohan pengganas
Pada Selasa pasukan keselamatan melancarkan serangan udara
menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan
pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Februari dan pasukan keselamatan kini
meneruskan operasi dengan tindakan susulan dan penggeledahan.
Selepas tiga hari gerakan ofensif dilancar, pasukan
keselamatan negara masih mendapat tentangan daripada kumpulan pengganas militan
itu dan hari ini berlaku dua kejadian berbalas tembak iaitu di Kampung Tanduo
yang merupakan kawasan kumpulan itu bertapak dan di Tanjung Batu.
Seramai 32 musuh terbunuh dalam pertempuran hari ini iaitu
31 dalam kejadian pada 11 pagi di Tanjung Batu dan seorang dalam kejadian 6.45
pagi di Kampung Tanduo.
Tiada anggota keselamatan yang cedera dalam kedua-dua
kejadian itu, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
51 pengganas terbunuh
Sejak isu pencerobohan sekumpulan lelaki berpakaian ala
tentera dan bersenjata di Lahad Datu 12 Februari lepas, lapan anggota polis
terkorban manakala 52 pengganas militan terbunuh.
Menegaskan pendirian Malaysia, perdana menteri berkata,
operasi bagi memburu kumpulan penceroboh militan itu akan diteruskan dan Kuala
Lumpur tidak akan menimbang sebarang permintaan gencatan senjata selagi
kumpulan penceroboh militan tidak meletak senjata tanpa syarat.
Beliau berkata Malaysia menghormati prinsip kemanusiaan dan
memberi cukup masa untuk berunding dengan kumpulan penceroboh militan sebelum
melancarkan gerakan ofensif.
"Kita beri tempoh lebih tiga minggu (untuk rundingan)
dan tangguh (serangan) empat kali, kita hanya bertindak bila mereka bunuh lapan
anggota polis kita," kata Najib yang melahirkan rasa puas hati dengan
keberhasilan operasi bersama pasukan polis dan tentera itu.
Laporan media dari Filipina hari ini memetik Jamalul Kiram
III meminta pihaknya meletak senjata di Lahad Datu selepas beberapa anggota
kumpulannya terbunuh dalam gerakan ofensif pasukan keselamatan Malaysia pada
Selasa.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon
pula menyeru agar 'keganasan' di Sabah, dihentikan dan mencadangkan agar pihak
terlibat mencari penyelesaian secara aman terhadap apa yang berlaku. - Bernama
No comments:
Post a Comment