Thursday 31 January 2013

RCI : Tun Mahathir kata Anwar ada "salahlaku"?



Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat secara langsung dalam projek untuk memberikan kewarganegaraan dan kad pengenalan kepada pendatang yang tidak layak di Sabah dalam tahun 90-an.
Beliau berkata, walaupun Anwar tidak diberi arahan secara langsung namun Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sering mengambil inisiatif dan kadang-kadang melakukan lebih daripada yang diperlukan.
“Beliau biasanya mengambil inisiatif dan kadang-kadang melakukan (lebih daripada yang diperlukan),” kata Dr Mahathir dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Dr Mahathir berkata, apa yang berlaku di bawah sering berbeza daripada arahan (dari atas).
Beliau berkata, Anwar dan pegawai pelaksana di Sabah pada masa itu bertindak sendiri dan tidak semestinya mengikut arahan.
Bekas perdana menteri itu berkata kerajaan telah mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai yang terlibat.
Dr Mahathir diminta mengulas sama ada beliau pernah mengarahkan Anwar, pada masa itu timbalannya, untuk mengeluarkan IC kepada pendatang yang tidak berkelayakan di Sabah.
Katanya, beliau mungkin tidak mempunyai bukti yang boleh dikemukakan di mahkamah, tetapi beliau “mempunyai pengetahuan” mengenai kemungkinan salahlaku Anwar.
Katanya, beliau akan memberi keterangan kepada suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah jika dipanggil.
Anwar sebelum ini menafikan beliau terlibat dengan projek IC di Sabah, dan bersedia untuk memberikan keterangan kepada suruhanjaya siasatan, jika dipanggil.
Anwar berkata sepanjang beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau tidak terlibat secara langsung dalam hal tersebut.
Timbalan presiden PKR Azmin Ali sebelum ini mendakwa parti itu menerima maklumat bahawa terdapat cubaan pihak tertentu untuk mengaitkan siasatan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung isu pendatang tanpa izin Sabah dengan ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, PKR sudah menjangka bahawa perkara itu akan ditimbulkan kerana ia didakwa satu jalan mudah bagi Umno dan BN untuk mengatasi isu berkenaan.
“Kita sedang meneliti perkembangan ini, saya dapat maklumat-maklumat akhirnya akan dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim… Semua masalah dalam negara akan dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Azmin.

No comments:

Post a Comment