Monday 28 January 2013

Anwar Ibrahim Resah Gagal Kendali Isu Kalimah Allah Read more at http://brojinggo.blogspot.com/2013/01/anwar-ibrahim-resah-gagal-kendali-isu.html#ev1UrWK3zyMsmpIX.99




“Kalau Umno ambil berat betul pandangan Majlis Syura (PAS), maka saya cadangkan Majlis Tertinggi Umno akan datang teliti semua keputusan Majlis Syura,” kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lantas dengan nada menyindir Umno BN, Anwar mencadangkan supaya Umno mengamal dan melaksanakan semua keputusan yang dibuat Majlis Syura Ulama PAS jika benar ia mengambil berat pandangan badan tertinggi PAS itu.


Demikian agresifnya pemikiran Anwar terhadap sebarang pandangan pihak yang tidak sealiran dengannya. Walhal yang lebih patut mengambil berat keputusan, pemikiran dan sensitiviti PAS (terutama Dewan Ulama PAS) ialah beliau sendiri dan PKR yang dipengaruhinya.

Jika diamati, Anwar jelas gelisah. Beliau resah sebab PAS kini mengambil keputusan yang agak bertentangan dengan pendiriannya. Bagi Anwar tidak mengapa jika orang Kristian Malaysia guna kalimah Allah dalam Bible. Itu hanya helah politik.

Sebab itu beliau mengulang-ulangi kenyataan bahawa Majlis Presiden Pakatan Rakyat “terikat” dengan kenyataan Presiden PAS pada 8 Januari 2013. Namun kini Dewan Syura Ulama PAS pula menetapkan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah hak eksklusif muslimin sahaja.

Anwar menafikan laporan yang mengatakan beliau menolak keputusan Dewan Syura Ulama PAS pada 13 Januari 2013. Sebaliknya, beliau cuba mengalih perhatian umum dengan menuduh bahawa ia adalah permainan jahat dan fitnah media Umno BN.

Soalan yang perlu Anwar jawab

Persoalan lebih penting dijawab oleh Anwar ialah apakah pendirian sebenar beliau terhadap keputusan Dewan Ulama PAS itu. Setuju atau tidak ?

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat sanggup dan secara ikhlas memperbetulkan pendiriannya dalam isu ini. Malah beliau sendiri mempengerusikan mesyuarat syura yang lalu.

Jika bersetuju mengapa sebagai pengerusi Majlis Presiden Pakatan Rakyat, Anwar tidak dengan secara ikhlas pula berusaha untuk memanggil mesyuarat khas bagi membincangkan kembali isu ini ?

Lebih-lebih lagi jika beliau benar ikhlas mengatakan menghormati keputusan Majlis Syura PAS, sudah tentu beliau faham bahawa inisiatif sebegitu adalah tanggungjawab pengerusi.

Bukankah Anwar orangnya yang memanggil mesyuarat majlis berkenaan pada 8 Januari lalu ? Ketika itu adalah jelas motif Anwar ialah untuk mempertegas pendirian Pakatan Rakyat yang diambil pada 2010 berhubung isu ini.

Namun apa yang tidak diduga oleh Anwar ialah Dewan Syura Ulama mempunyai iltizam dan istiqamah dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Isu kalimah Allah ini dikupas menurut realiti atau waqi’ masyarakat majmuk Malaysia hari ini.

Undi Kristian Sabah Sarawak diidam PR

Kini apabila nyata PAS mempunyai keberanian politik dan pendirian yang syarie, Anwar khuatir ini akan menggencatkan skim politiknya sendiri. Sebelum ini Anwar melihat isu kalimah Allah boleh melonjakkan kedudukannya sebagai wira yang memperjuangkan kepentingan rakyat Kristian Malaysia, terutama di Sabah dan Sarawak.

Sebab itu, Anwar segera memberikan reaksi pada gesaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya kerajaan mengizinkan kalimah Allah digunakan dalam Bible berbahasa Melayu.

Ini kerana, menurut analisis Anwar sendiri, pada pilihan raya umum ke-12, lima tahun lalu, gabungan DAP, PKR dan PAS sudah berjaya mengatasi majoriti kerusi Umno-BN di Semenanjung. Namun ia gagal meyakinkan pengundi di Sabah dan Sarawak hingga menyebabkan ia gagal menawan Putrajaya.

Maka naluri politik Anwar mengatakan jika beliau dapat menghangatkan impian penganut Kristian berhubung isu kalimah Allah, pasti peluang diterima sebagai jaguh pengundi Kristian Sabah dan Sarawak akan mendorong mereka memberi undi kepada Pakatan Rakyat.

Lantas keputusan Dewan Ulama PAS yang bertentangan dengan strategi ini dianggap sebagai “kacau daun”. Sebab itu, baginya cuma Umno sahaja yang layak melaksanakan keputusan dewan tertinggi PAS (walaupun ia dilakukan dengan tujuan menyindir)!

Maka persoalannya ialah, pada pandangan Anwar apakah sebenarnya nilai pendirian Ulama PAS ? Islami atau tidak ? Lebih tepat lagi ialah adakah keputusan itu betul atau tidak ? Anwar tidak patut berhujah secara retorik kononnya beliau tidak pernah mengatakan beliau menolak keputusan Dewan Ulama PAS itu.

Lebih buruk lagi ialah perangai Anwar yang cuba melempiaskan “kekecewaan” kepada media yang dituduhnya sebagai alat Umno BN yang cuba memfitnahnya. Fitnah apakah namanya jika beliau sendiri tidak menjawab persoalan asas -- adakah beliau bersetuju dengan pendirian ulama PAS ?

Anwar mahu Hadi buat pembetulan ?

Kini yang jelas ialah Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Awang yang cuba “ditekan” oleh Anwar. Ketua Pembangkang itu seolah-olah mengatakan bahawa Hadi yang patut membuat pembetulan jika pendirian PAS benar- benar sudah berubah. Bagi Anwar itu adalah prosedur.

Persoalannya, ke manakah perginya jatidiri Anwar sebagai pemimpin Islam suatu ketika dahulu ? Jika beliau menghormati ulama, mengapa Hadi yang perlu “ditekan” dan diletakkan dalam keadaan serba salah kerana tidak ikut prosedur ?

Anwar tahu apakah akibatnya jika Hadi tidak melaksanakan keputusan Dewan Ulama Syura. Di segi politik Anwar seolah-olah mahu Hadi bersikap “malu-alah” kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat. Ia sebagai satu cabaran supaya Hadi bersikap tegas.

Maka jika Hadi memilih untuk kekal dengan pendirian 8 Januari, tentu ia akan mencetuskan ketidaksenangan di kalangan ulama. Kedudukan Hadi tentu tergugat sebagai Presiden PAS.

Sebaliknya, jika Hadi akur kepada keputusan ulama, tentu penyokong- penyokong Anwar dalam saf kepimpinan PAS sekarang ini akan tidak senang pula dengan Hadi. Jika itu berlaku, kedudukan Hadi juga kurang selamat.

Apakah Anwar sendiri sebenarnya kurang senang jika Hadi terus menjadi presiden PAS ? Adakah pemikiran Hadi tidak secocok dengan laras politik Pakatan Rakyat ?

Anwar lebih senang “menawarkan” Umno mengambil berat keputusan ulama PAS daripada menyatakan pendiriannya sendiri terhadap cara dan corak kepemimpinan PAS yang mahu mewakili kepentingan Islam di Negara ini.

Sebenarnya, siapakah yang menggunakan isu agama, tidak kira Islam mahupun Kristian untuk kepentingan politik ?

No comments:

Post a Comment