Bayangkan berpuluh tahun rakyat Kelantan meneroka dan membuka tanah di beberapa daerah di selatan negeri Kelantan – dari sebuah belukar dan belantara kepada sebuah perkampungan lengkap dengan dusun dan tanaman – tiba-tiba dengan senyap-senyap diambil oleh kerajaan negeri dan dipajakkan kepada tauke Cina di luar Kelantan dan bukan rakyat negeri Cik Siti Wang Kembang.
Rakyat Melayu dan Islam Kelantan nampaknya terpedaya dengan ‘janji syurga’ apabila sebuah syarikat milik dua tokoh DAP di negeri Perak telah menandatangani perjanjian jual beli dengan syarikat lama. Syarikat berkenaan mempunyai 10,526 ekar atau 4,000 hektar dipajakkan oleh pemilik tanah bagi tujuan penanaman getah. Asalnya tanah ini melalui proses usaha sama bagi penanaman klon balak.
Di peringkat ini pihak pemilik syarikat, yang juga orang kuat DAP di Perak enggan memberikan butiran lengkap. Ia adalah P&C (private and confidential) antara syarikat guaman dengan para pelabur (pelanggan). Bagi kerajaan negeri pajakan kepada pemilik baru berasaskan “merit” jauh dari tohmahan umum bahawa wujud amalan kronisme.
Isu pemilikan tanah oleh syarikat tersebut merupakan tips of the iceberg kerana sehingga kini orang-orang Pas sendiri masih berteka-teki. Kepada Menteri Besar, isu ini tentu saja satu lagi isu yang dieksploitasi oleh Umno kerana ia ada kaitan dengan pilihan raya. Malah telah ada cakap-cakap bahawa apa yang tersiar dalam media serta blog-blog hanya tak lebih dari satu bentuk fitnah yang dicipta oleh Umno.
Bagi orang Kelantan yang bukan Pas, isu tanah tak harus dijadikan modal politik. Kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab kepada rakyat untuk berlaku telus mendedahkan, sama ada dakwaan berpuluh-puluh ribu ekar tanah di Gua Musang, Kuala Krai,
Tanah Merah dan Jeli dilulus kepada sebahagian besar syarikat bukan Melayu untuk projek penanaman kelapa sawit seperti Program Pembangunan Ladang Rakyat membabitkan syarikat luar yang majoritinya bukan Melayu.
Tanah Merah dan Jeli dilulus kepada sebahagian besar syarikat bukan Melayu untuk projek penanaman kelapa sawit seperti Program Pembangunan Ladang Rakyat membabitkan syarikat luar yang majoritinya bukan Melayu.
Walaupun bunyinya melalui usaha kerjasama, ia tak lari dari tuduhan orang bukan Melayu memonopolinya. Kalau ia melibatkan tanah di Perak ataupun di Johor yang dilakukan kerajaan pimpinan Umno, Pas akan jadikan ia isu politik paling teratas dalam senarai agenda mereka.
Lihat sajalah Felda yang diurus tadbir dan dikepung perniagaannya oleh usahawan Melayu terdiri daripada anak-anak peneroka pun dijadikan isu politik. Malah harga saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) melalui proses naik turun pun dijadikan modal politik seolah-olah dunia hampir kiamat kerananya.
Untuk rekod, IPO kaunter ini adalah kedua terbesar selepas pengapungan Facebook Inc., yang melihat syarikat berjaya mengumpul dana bernilai AS$16 bilion. Hari pertama ia didagangkan pada 28 Jun, tahun lalu, harga FGVH mencatat keuntungan dari segi premium 84 sen setelah dibuka pada harga RM4.55.
Cara Kerajaan Persekutuan mengagihkan kekayaan kepada orang Melayu berhak tentulah jauh lebih profesional, telus dan lebih menguntungkan berbanding cara memindah pajakan tanah orang Melayu tersebut secara senyap-senyap kepada pihak tertentu. Sudah timbul persoalan apakah pindah milik itu sekadar melibatkan dua tokoh DAP, macam mana pula dengan sekutu lain? Tak berdosakah?
Tidak ada siapa berani berkata secara terbuka bahawa kegagalan ekonomi negeri itu adalah kerana CEOnya tak pandai dan gelap ilmu ekonomi. Betulkah kononnya kalau dapat duit royalti minyak, Kelantan boleh menjadi maju malah lebih maju dari Terengganu dan Pahang.?
Ramai yang menyangsikan, malah ada yang kata kalau beri, samalah macam orang kudung jari yang diberikan cincin. Sebaliknya ramai merasakan kalau duit minyak Petronas diberikan secara langsung kepada kerajaan Pas Kelantan, maka parti itu akan mula naik minyak.
Kemelut dan kontroversi tanah di Kelantan ini tak seharusnya berlaku sekiranya CEO dan teamnya tahu menguruskan ekonomi Kelantan. Mereka sudah berkuasa lebih dari 20 tahun di Kelantan. Kalau buka tanah kerajaan dan tanam kelapa sawit pun hasilnya sudah dua kali dituai. Tapi kenapa cari jalan pintas untuk dapatkan tunai dengan cara begitu.
Isu tanah di Kelantan ini kini giat dikorek dan digali oleh pelbagai pihak. Besar kemungkinan lubang itu kelak akan menjadi liang lahat bagi kuasa Pas di Kelantan.
No comments:
Post a Comment