Sunday, 27 January 2013

Apabila Kewarganegaraan Menjadi Bahan Bidaan Politik



Pakatan Rakyat tampak semakin tertekan sejak kebelakangan ini. Pendirian yang tidak konsisten menyokong apa sahaja asalkan mampu mendapatkan undi mula dijadikan prinsip, dasar dan amalan yang wajib diberikan penekanan.

Isu yang membabitkan dakwaan warga India tidak diberi taraf kerakyatan dan pengenalan diri mula dijadikan bahan kempen membenci kerajaan. Gambaran yang diberikan adalah golongan ini telah dinafikan haknya. Lebih parah golongan ini kononnya dibiarkan terabai dari mendapat tuntutan hak asasi.

Satu ketika dahulu Pakatan Rakyat jugalah paling kuat mendakwa kerajaan pusat BN telah “warganegarakan” pendatang asing dalam jumlah yang cukup ramai kononnya untuk kepentingan undi. Malah wakil wanita dari PKR dengan lantang menyuarakan serta menyebarkan fitnah ini.

Namum apabila dicabar untuk membawa bukti ratusan ribu warga asing yang telah diberikan taraf kewarganegaraan oleh kerajaan beliau hanya mampu menamakan seorang sahaja.

Amat malang kerana dakwaan beliau mendapat bangkangan oleh tuan punya badan, pemilik kad pengenalan baru itu melalui kenyataan di akhbar memberitahu beliau telah pun memohon lebih dari 15 tahun dan bukan seperti di gambarkan oleh Pakatan Rakyat.

Malu dengan salah dakwaan, pemimpin wanita PKR itu akhirnya melakukan 'u-turn' dengan mendesak pihak Kementerian Dalam Negeri menyiasat sendiri akibat kegagalan beliau untuk memberikan bahan bukti. Apa yang melucukan adalah pemimpin wanita PKR ini adalah 'produk asing' yang mendapat hak menjadi warganegara sehingga dinobatkan sebagai wakil rakyat.

Serangan Pakatan Rakyat semakin liar, kurang bijak dan terkeluar dari landasan “normal” setelah melihat kerajaan dibawah kepimpinan Datuk Seri Najib semakin mendapat tempat dihati rakyat. Tertekan dengan peningkatan sokongan terhadap Najib, Pakatan Rakyat mulai tertekan malah mencari sebanyak mungkin isu yang boleh mengembalikan kembali kebencian rakyat kepada kerajaan.

Tampak suatu senario sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat bukan berdasarkan kepada prinsip, dasar dan kebaikan yang dibawa namun lebih kepada sebijak mana dan kemampuan mewujudkan kebencian menebal rakyat kepada kerajaan dan Barisan Nasional.

Tidak mungkin dilupakan hasutan Pakatan Rakyat terhadap isu pendatang tanpa izin di Sabah yang dimainkan oleh warga Sabah yang bukan beragama Islam. Mereka dibantu dan dihasut oleh Pakatan Rakyat agar kerajaan perlu mewujudkan SuruhanJaya bagi menyiasat kononnya terdapat puluhan ribu rakyat Filipina beragama Islam dan rakyat Indonesia Kalimantan mendapat kerakyatan Malaysia secara membabi buta melalui Sabah.

Jika di Sabah jumlah yang dilaung kan oleh Pakatan Rakyat mencecah puluhan ribu, maka di semenanjung pula jumlah yang di laungkan ada lah 300,000 walau pun yang berjaya di kumpulkan untuk demo cuma dalam sekitar 300 orang warga India sahaja.

Amat pelik keselamatan negara menjadi isu. Seolah-olah menjadi warganegara Malaysia adalah hak kemudahan untuk orang asing menyeludup masuk ke Negara ini. Pada mulanya Pakatan Rakyat memilih untuk mengkritik tapi kini demi undi dan sokongan mereka pula menyokong kebanjirannya malah membantu golongan ini untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.

Apa pun Pakatan Rakyat tetap menjadi badut di dalam kekeliruan kerana tujuan politik mahu menang mengatasi kebenaran. Di satu waktu Pakatan Rakyat menjalan kan kempen meramaikan ahli dan pengundi dengan DAP mendahului parti lain mendaftarkan ahli dan pengundi yang begitu ramai jumlahnya.

Namun begitu, Anwar Ibrahim pula di dalam beberapa kenyataan membangkitkan isu kononnya terdapat peningkatan luar biasa jumlah di dalam pendaftaran pemilih dan ini seharusnya disiasat. Malah tanpa berfikir panjang, Anwar Ibrahim memberi petunjuk bahawa SPR bakal menjadi alasan untuk beliau menangguhkan pembubaran DUN Selangor kerana jumlah pengundi baru yang meragukan.

Barangkali terlupa, jumlah teramai di daftar adalah melalui kempen DAP diikuti oleh UMNO yang mengarahkan ahli yang tidak berdaftar supaya mendaftar sebagai pengundi. Selain itu jumlah warganegara yang mencecah umur layak mendaftar juga telah mendaftarkan diri, mungkin atas kepekaan politik maka seharusnyalah jumlah baru pengundi begitu besar.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamudin Hussien membidas kenyataan wakil Pakatan Rakyat sebagai taktik mengelirukan rakyat. Malah beliau mengatakan jumlah sebenar tidak sampai pun 10,000 orang, dan itu pun tidak dilulus kan atau dilepaskan begitu sahaja kerana siasatan lebih lanjut harus di lakukan.

Apakah Malaysia mahu menerima bulat-bulat warganegara asing yang mahu membolosi negara ini tanpa sebarang siasatan? tentu sekali tidak wajar. Dipercayai warganegara India yang menyelusup masuk sebagai tukang gunting, pekerja kuil dan sebagainya akan cuba mengambil kesempatan ini.

'Politiking' harus ada garisan batas. Keselamatan negara dan ketenteramannya sepatutnya tidak menjadi bahan komoditi dan bahan bidaan. Tidak patut ada kompromi untuknya dan semua pihak baik kerajaan atau pun pembangkang harus menjadikan keselamatan negara sebagai agenda utama bukannya seperti yang berlaku pada waktu ini, menjadi bahan percaturan untuk mendapat undi pula.
Artikel dari portal KL POS

No comments:

Post a Comment