Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Ahli Parlimen
Serdang dari DAP diminta supaya tidak 'menindas' penjaja pasar malam di Seri
Kembangan dengan mengarahkan mereka berpindah ke tapak baharu dalam tempoh
terdekat.
Pengerusi MCA Serdang, Datuk Liew Yuen Keong berkata, MPSJ
dan DAP perlu memberi tempoh yang lebih panjang kepada peniaga-peniaga itu
memandangkan perayaan Tahun Baharu Cina akan tiba tidak lama lagi.
Liew Yuen Keong menunjukkan gambar kejadian banjir di
kawasan tapak baharu yang disediakan oleh MPSJ kepada penjaja pasar malam Seri
Kembangan pada sidang akhbar di Serdang, Selangor kelmarin.
"Mereka memberi notis pada Disember tahun lalu dan
memaksa penjaja supaya berpindah pada 7 Januari sedangkan penjaja belum
bersedia untuk berpindah.
"Saya dimaklumkan kedua-dua pihak iaitu MPSJ dan DAP
tidak mengadakan sebarang sesi dialog sebelum meminta penjaja berpindah ke
tapak baru," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai bantahan
penjaja pasar malam itu terhadap arahan perpindahan berkenaan.
Dalam majlis tersebut, kira-kira 20 orang penjaja hadir
mewakili 150 penjaja lain yang membantah tindakan MPSJ dan DAP kawasan tersebut
yang memaksa mereka berpindah ke tapak baharu.
Menurut Yuen Keong, pihaknya juga telah membuat tinjauan di
tapak baharu dan mendapati Pusat Perdagangan Seri Kembangan yang menjadi lokasi
baharu sering dilanda banjir apabila hujan lebat.
"Saya minta MPSJ selesaikan dahulu isu banjir di
kawasan tersebut dan setelah selesai barulah proses pemindahan penjaja
dilakukan.
"Pada 3 Januari lalu, saya berjumpa dengan Yang
Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi untuk membincangkan perkara ini dan beliau
bersetuju untuk mengkaji semula isu pemindahan ini," ujarnya.
Katanya lagi, beliau turut meminta Ahli Parlimen Serdang
dari DAP agar memainkan peranan sebagai pemimpin dan jangan hanya mementingkan
diri semata-mata kerana ia membabitkan lebih 100 penjaja yang telah berniaga di
kawasan Seri Kembangan selama lebih 35 tahun.
No comments:
Post a Comment