Monday 6 May 2013

DAP Umum Anwar Ketua Pembangkang




AIDCNews – 06/05/13 – DAP hari ini telah mengumumkan bahawa parti itu akan terus menyokong Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Ketua Pembangkang dan Ketua Pakatan Rakyat.
Bercakap pada sidang akhbar hari ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dilaporkan FMT berkata, ia adalah selaras dengan komitmen parti itu untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat menang Putrajaya.
“Jadi saya ingin mencadangkan agar Anwar untuk memimpin kita. Dia perlu pimpin Pakatan, sama ada dalam kerajaan menunggu atau telah menawan Putrajaya, ” kata Ahli Parlimen DAP Gelang Patah.
Turut hadir dalam sidang media itu, Setiausaha organisasi DAPm Anthony Loke, Ketua DAP Selangor, Teresa Kok, dan timbalannya, Tony Pua serta beberapa pemimpin DAP lain.
Dalam keputusan pengundian semalam, Pakatan telah berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional di Parlimen dengan memenangi 89 kerusi.
Daripada keseluruhan jumlah pembangkang itu, DAP berjaya memonopli 38 kerusi daripada 51 kerusi yang dipertandingkan, PKR mendapat 30 daripada 99 kerusi parlimen dipertandingkan dan Pas mendapat 21 kerusi daripada 73 kerusi parlimen dipertandingkan.
Jumlah yang diperolehi DAP itu merupakan satu lonjakan menaik sebanyak 10 kerusi berbanding dengan PKR dan Pas yang merosot jika dibandingkan dengan Pilihanraya Umum ke-12.
Ditanya mengapa DAP masih menyokong pencalonan Anwar walaupun memenangi kerusi majoriti di Parlimen, Kit Siang menegaskan ia adalah selaras kempen parti itu agar Ahli Parlimen Permatang Pauh menjadi Perdana Menteri (PM).
“Kami menyokong beliau untuk menjadi Perdana Menteri tetapi ia tidak menjadi kenyataan. Walau bagaimanapun, komitmen kami terus kekal untuk menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri bayangan,” katanya.
Ditanya mengenai kenyataan Anwar bahawa beliau mungkin bersara jika beliau gagal dalam usahanya untuk merampas Putrajaya kali ini, Kit Siang berkata, “anda perlu bertanya kepada beliau sendiri.”
Kit Siang dilaporkan turut bersependapat dengan Anwar bahawa berlaku penyelewengan dalam proses pilihan raya dan berikrar untuk mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menangani perkara itu.
“Bagi DAP, kami akan memfailkan petisyen pilihan raya di mahkamah di tiga kerusi Parlimen yang kita tewas tipis, Bentong, Cameron Highlands dan Labis,” katanya.

No comments:

Post a Comment