Friday 10 May 2013

ISMA Saran Anwar Berundur Dari Politik




Pilihan Raya Umum ke-13 telah berlangsung dengan aman. Majoriti rakyat Malaysia telah menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih kerajaan yang menerajui pentadbiran negara. Tiada keganasan dan insiden besar yang menganggu proses pembuangan dan pengiraan undi.
Keputusan telah diumumkan, seperti yang dijangka tiada mana-mana parti yang menang besar. Tidak semua kawasan dimenangi oleh Barisan Nasional, dan Pakatan Rakyat tidak kalah di semua kawasan. Namun keputusan akhir masih memihak kepada Barisan Nasional dan hasrat Pakatan rakyat untuk menerajui kerajaan persekutuan tidak kesampaian.
Keputusan ini menyebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas nama Pakatan Rakyat menolak keputusan pilihan raya dan menganggapnya diselubungi penipuan.
Hakikatnya, peratusan mereka yang keluar mengundi di kebanyakan kawasan adalah tinggi sesetengahnya mencapai sehingga 90%. Ini menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, dan demokrasi telah berjalan dengan subur.
Meskipun mungkin berlaku kecacatan dalam proses pilihan raya di sana sini, namun ia tidak sampai menafikan kewibawaan dan integriti proses pilihan raya di Malaysia secara keseluruhan.
Berdasarkan hakikat tersebut, bagi pihak rakyat yang inginkan kedamaian dan keamanan, ISMA ingin menyeru kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengambil sikap berhemah tinggi sesuai dengan kedudukan beliau sebagai seorang tokoh politik yang dikagumi di peringkat nasional dan antarabangsa.
Tindakan beliau yang tidak mengiktiraf keputusan pilihan raya dan membawa isu ini kepada protes awam telah menimbulkan pelbagai tanda tanya. Adakah beliau tidak mengiktiraf sepenuhnya proses pilihan raya ini dan menganggap keputusan pilihan raya ini tidak sah sepenuhnya?
Jika sekiranya beliau tidak menerima keputusan ini, beliau sewajarnya mengumumkan keputusan rasmi Pakatan Rakyat untuk tidak mengiktiraf keseluruhan keputusan pilihan raya dan menolak untuk mengangkat sumpah di negeri yang dimenangi.
Sebaliknya, jika beliau hanya mengiktiraf keputusan yang memihak kepadanya dan tidak mengiktiraf keputusan yang tidak memihak kepadanya, maka itu merupakan satu yang amat pelik dan tidak munasabah.
7 Mei lalu, Datuk Seri Anwar sendiri telah mengumumkan penubuhan kumpulan penyiasat untuk mengumpul bukti penipuan PRU13 yang diketuai oleh YB Rafizi Ramli.
Beliau sepatutnya menunggu hasil siasatan pasukan tersebut dan mengambil tindakan berdasarkan bukti-bukti terkumpul mengikut saluran undang-undang, bukan dengan cara bermain sentimen dan membuat tindakan awal sebelum hasil kajian diperolehi.
Beliau harus sedar bahawa rakyat sudah muak dengan politiking yang berlebihan dan sengsara dengan perpecahan. Seharusnya beliau memberi laluan kepada kestabilan dan peluang mengembalikan keharmonian dan kerukunan hidup setelah melalui proses berkempen yang penuh sentimen dan permusuhan.
ISMA bimbang jika keadaan ini berterusan negara akan dilanda suasana yang tidak stabil yang berpanjangan, mengganggu pembangunan negara yang menjadi inspirasi semua rakyat Malaysia dan beliau akan dilihat sudah keterlaluan, terlalu mementingkan diri dan sangat kemaruk kepada kuasa.
Oleh itu, ISMA meminta Datuk Seri Anwar menerima takdir. Mungkin ada hikmah di sebalik kekalahan ini.
Firman Allah dalam petikan ayat 216 Surah Al-Baqarah:
“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu.”
Itulah panduan yang Allah nyatakan di dalam Al-Quran yang perlu menjadi pegangan Datuk Seri Anwar sebagai orang Islam.
Akhir sekali ISMA berpandangan sudah sampai masa untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur daripada medan politik. Ini selaras dengan keputusan beliau yang mahu menjadi pensyarah sekiranya pakatan pembangkang gagal membentuk kerajaan selepas PRU-13 seperti yang disiarkan dalam temubualnya bersama akhbar antarabangsa Financial Times bertarikh 3 Julai 2012.
ABDULLAH ZAIK ABD RAHMAN
PRESIDEN ISMA
10 MEI 2013

No comments:

Post a Comment