Generasi orang Melayu terdahulu atau lebih sinonim disebut
"orang tua-tua" dalam konteks budaya orang Melayu mempunyai dan
mewariskan kebijaksanaan yang tidak ternilai harganya. Kebijaksanaan silam
"orang tua-tua" berkait rapat dengan perihal hidup, sarat dengan
nasihat serta peringatan.
Sehingga kini kita sendiri pun tidak tahu siapakah individu
yang menitipkan warisan kebijaksanaan silam kepada generasi hari ini. Tetapi
yang pasti mereka tentunya bukanlah bertaraf sarjana atau cerdik pandai yang
dikenali ramai. Bagaimanapun kecerdikan dan kebijaksanaan mereka tetap relevan
dengan semua zaman, biarpun kita dengan angkuhnya berkata, "Kami hidup
dalam dunia pasca-moden".
Dalam meredah kehidupan politik masa kini, kita janganlah
angkuh menolak kebijaksanaan silam yang banyak memberi peringatan tentang sepak
terajang manusia. Orang Melayu sudah lama diingatkan berfikirlah banyak kali
untuk melepaskan anjing tersepit kerana anjing jarang mengenang budi orang
berjasa kepadanya. Peringatan yang dititipkan oleh entah siapa tetapi sangat
berguna supaya kita jangan menjadi mangsa anjing yang kita tolong. Orang Melayu
memang terkenal dengan baik hati dan pemurah hingga membinasakan diri.
Barangkali ada baiknya kita menoleh, menghayat dan membaca
kembali pesan-pesan yang bijaksana ditinggalkan oleh generasi terdahulu. Banyak
perkara yang disentuh oleh generasi silam berlaku kepada kita pada hari ini dan
tentunya peringatan tentang perilaku orang Melayu perlu diberi perhatian.
Pesanan yang dikiaskan kepada alam budaya di sekitar orang Melayu mempunyai
maksud yang sangat mendalam.
Apabila mereka melihat perihal kaduk yang menyerupai sirih
dan menjalar di junjung sirih, mereka pun berpesan, jangan jadi seperti kaduk
naik junjung. Kaduk lupa diri dan perasan ia adalah sirih, satu yang penting
dalam alam budaya orang Melayu. Tetapi kaduk tiada gunanya. Kemudian kita pun
temui pesanan berbunyi, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.
Kebaikan yang tidak bertempat atau melampau selalunya
mengundang kesusahan kepada diri sendiri. Malah orang Melayu terdahulu juga
menyindir perihal orang Melayu sendiri, dagang lalu ditanakkan nasi, anak di
rumah kelaparan. Kisah orang dagang mahu memijak kepala orang Melayu tidak
pernah selesai. Orang Melayu sudah melakukan pengorbanan "menanakkan nasi"
atau memberi peluang untuk hidup kepada orang dagang biar pun anak-anak mereka
tidak berpuas hati. Inilah kebaikan orang Melayu tetapi akhirnya sikap itu
memakan diri apabila orang dagang terlupa sifat-sifat seharusnya sebagai
pedagang atau perantau.
Orang Melayu mesti mengingati semua pesan-pesan silam
generasi terdahulu supaya mereka tidak terkena untuk kali yang entah ke berapa.
Ketika ada pihak yang memperleceh dan mempertikaikan kedudukan orang Melayu
kononnya tidak berlaku adil kepada kaum lain, inilah padahnya, "Dagang
lalu ditanakkan nasi, biar anak sendiri kelaparan." Maka benarlah kata
orang tua-tua, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.
Orang Melayu kena mengingati pesanan supaya mereka jangan
lagi memagar nyiur yang condong, buahnya jatuh ke halaman orang. Orang Melayu
bersusah payah memberi baja dan menjaga supaya perdu pokok kelapa sentiasa
selamat, tetapi orang lain yang mengutip buahnya. Yang buruknya mereka ini
tidak mengenang budi. Ini sama seperti memberi susu dibalas tuba. Fikir-fikirkan
lah...!!!
Suara Politik
Belantan
Dicatat oleh Taminsari
No comments:
Post a Comment