Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Datok, Philip Tan
daripada DAP hari ini dibidas kerana gagal menjalankan tugas serta
tanggungjawabnya menjaga kebajikan rakyat di kawasan berkenaan.
Bekas pemimpin DAP, Yap Kon Min mendakwa, kegagalan dilihat
menerusi tindakan Philip yang dikatakan tidak mengagihkan bantuan buku latihan
sekolah kepada pelajar yang layak di kawasan DUN berkenaan meskipun telah
mendapat bantuan tersebut daripada kerajaan negeri sebelum ini.
Tegasnya, sebagai ADUN, beliau sepatutnya mengedarkan
bantuan yang dikhususkan untuk membantu pelajar sekolah rendah dan menengah
yang kurang berkemampuan.
"Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat (Philip),
pernahkah beliau mengagihkan bantuan buku latihan itu kepada pelajar yang layak
di DUN Telok Datok. Saya dimaklumkan, buku-buku latihan tersebut disimpan oleh
wakil rakyat itu dan sehingga kini tidak diagihkan.
"Apakah beliau mengambil kesempatan menuntut sumbangan
kerajaan negeri. Sebagai ADUN yang dipilih rakyat sebelum ini, beliau
sepatutnya mengagihkan bantuan itu kepada rakyat yang memerlukan," katanya
kepada pemberita di sini hari ini.
Pada masa sama, Kon Min yang juga bekas Juruaudit DAP
Cawangan Serdang Baru itu turut mempertikaikan sikap tidak adil Philip yang
dikatakan hanya memberi tumpuan pembangunan di kawasan pekan dan bukannya di
kampung-kampung dalam DUN itu.
Sambil memberikan contoh dalam soal pembaikan jalan raya di
kawasan DUN terbabit, Kon Min menyatakan telah menerima laporan bahawa jalan
raya di kawasan kampung masih lagi dalam keadaan rosak dan ada antaranya
memerlukan kerja pembaikan segera.
Selain itu, beliau turut menggesa Menteri Besar, Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim dan juga Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok supaya
menyiasat serta mengambil tindakan yang sewajarnya jika dakwaan tersebut
didapati benar.
"Jika benar keadaan ini berlaku, adakah wakil rakyat
ini layak untuk dicalonkan pada pilihan raya umum akan datang?" ujarnya.
Pada PRU-12, Philip memenangi kerusi DUN Telok Datok
mengalahkan Ei Kim Hock daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 698
undi.
Sementara itu, Philip ketika dihubungi menafikan dakwaan itu
dan menyifatkan ia sebagai satu cubaan untuk memburuk-buruknya imej beliau
sebagai ADUN.
"Sejak menjadi wakil rakyat, saya telah melaksanakan
kerja pembaikan jalan raya di setiap kawasan dalam DUN saya. Tapi biasalah,
jalan-jalan di kawasan ini memang selalu rosak terutamanya ketika musim hujan
dan akibat dilalui oleh kenderaan berat.
"Mengenai isu pengagihan buku latihan, sepatutnya saya
terima bantuan sebelum sesi persekolahan bermula, namun bantuan itu lewat
sampai. Maka, saya rancang untuk mengagihkan bantuan buku latihan tersebut pada
hujung tahun ini.
Suara Politik
Belantan
No comments:
Post a Comment