SETELAH pemecatan Nasharudin Mat Isa dari jawatan sebagai
ahli Majlis Syura PAS semalam (bukan 13hb Januari), semakin banyak pihak tampil
mendesak agar Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dilantik bagi
menggantikan Nasharudin.
Sebagai makluman, perlantikan ahli Majlis Syura Ulama,
mengikut perlembagaan PAS adalah selaras dengan Fasal 7 (4), seperti dinyatakan
dibawah:-
Empat orang daripada ahli Majlis Syura ‘Ulamak itu hendaklah
dipilih dan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan empat orang yang
dipilih dan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Pusat dan
masing-masing dua orang yang dipilih dan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja Dewan
Pemuda PAS Pusat dan Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat dan tidak
lebih lima orang yang baki itu dipilih dan dilantik oleh Majlis Syura ‘Ulamak
itu sendiri. Keahlian seseorang ahli majlis itu boleh diperbaharui oleh pihak
yang memilih/ melantiknya setelah tamat tempoh tersebut.
Dari apa yang penulis diberitahu, Datuk Seri Anwar Ibrahim
telah menghubungi Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan mencadangkan
nama Mat Sabu untuk dilantik ke jawatan tersebut.
Walaupun kerusi dalam Majlis Syura Ulama PAS hanya
dikhususkan untuk golongan ulama dalam parti tersebut, tapi penulis tidak
melihat sebarang masalah untuk Mat Sabu dilantik ke jawatan tersebut kerana
perwatakan beliau memang cukup sifat seperti seorang ulama, berkopiah dan
berjubah, cuma tidak pernah berserban.
Beliau juga dikenali mampu berhujah dengan begitu baik
sekali, termasuk keupayaan memetik ayat-ayat al-Quran tertentu.
Selain itu, ketokohan Mat Sabu sebagai pemimpin masyarakat
sudah diketahui umum, walaupun sekarang tidak menjadi ADUN atau Ahli Parlimen.
Pengalaman bertahun-tahun sebagai ahli parlimen sebelum ini telah menjadikan
Mat Sabu seorang yang popular dan disenangi masyarakat.
Maka itu, sewajarnyalah beliau dilantik ke jawatan tersebut
seperti mana yang telah dicadangkan oleh Anwar kepada Nik Aziz semalam.
Kedudukan Mat Sabu dalam Majlis Syura Ulama PAS juga sangat
penting kerana Majlis itu perlu dibebaskan dari fahaman keagamaan yang kolot
dan ketinggalan zaman. Buktinya, sebagai badan tertinggi PAS, banyak keputusan
Majlis tersebut baru-baru ini yang tidak selari dengan prinsip kerjasama dalam
Pakatan Rakyat.
Contohnya, dalam soal penggunaan kalimah Allah.
Sementara Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang sendiri
sudah memberikan persetujuan untuk kalimah tersebut digunakan di dalam Bible
berbahasa Melayu, Majlis Syura Ulama (dimana Hadi adalah salah seorang
ahlinya), membuat keputusan bertentangan.
Seterusnya menimbulkan kekeliruan dan keraguan di kalangan
penyokong Pakatan Rakyat. Bahkan, Pengerusi DAP sendiri, Karpal Singh
menyifatkan keputusan Majlis Syura itu sebagai “memperjudikan undi bukan Islam
terhadap Pakatan Rakyat“.
Penulis percaya, peranan yang bakal dimainkan Mat Sabu nanti
dipercayai mampu memulihkan persepsi rakyat terhadap kemampuan Pakatan Rakyat
menerajui negara pasca PRU ke 13 nanti.
Nasib baik bagi kita semua, ahli Majlis Syura PAS tidak
dipilih secara demokrasi seperti mana Ahli Jawatankuasa Pusat, tapi
perlembagaan PAS seperti dinyatakan di atas, selain sokongan penuh Mursyidul
Am. Dengan hubungan erat antara Anwar dan Nik Aziz kebelakangan ini, penulis
percaya, Mat Sabu akan di lantik ke jawatan tersebut.
Kalau Nik Aziz boleh memecat Nasharudin setelah mendapat
nasihat Anwar, kenapa Mat Sabu tidak boleh dilantik bagi menggantikannya? Logik
mudah.
Penulis berharap dengan kehadiran Mat Sabu, Majlis Syura
Ulama PAS selepas ini mampu bertindak lebih baik lagi dalam meningkatkan
martabat Pakatan Rakyat dan PAS sendiri di mata masyarakat.
Info dari blogger Pakatan Haram : Suara Pakatan Rakyat
No comments:
Post a Comment