Guan Eng ibarat ‘melontar batu’ ke dalam sungai yang tenang.
Lontaran itu membuatkan air berkocak dan mengejutkan ‘buaya’. Ada ‘buaya’ yang
boleh terima lontaran batu itu dan ada pula yang berang kerana ‘diganggu’.
Ada juga buaya yang tidak peduli itu semua. Ada juga yang
terpedaya umpama kisah tipu muslihat sang kancil. Buaya yang ganas tiba-tiba
menjadi ‘bodoh’ sehingga sanggup membiarkan badan dan kepalanya dipijak bagi
memenuhi hasrat kancil untuk menyeberangi sungai. Itu hikayat sang kancil yang
kecil memperdayakan buaya yang ganas.
Kembali menyelak isu kalimah Allah ini, tidak dinafikan
perutusan Guan Eng sempena sambutan Krismas yang lalu mencetuskan pelbagai
polemik. Dalam kalangan orang Islam, ada yang secara terbuka menyokong hasrat
Guan Eng itu dan ada pula yang membantah secara terbuka atau senyap-senyap. Ada
pula yang seperti berada ‘di atas pagar’.
Cakap salah, tak cakap pun salah, macam dialog ketika Abang
Ali (M.Zain) mahu ‘mengusir’ Kassim Selamat (P.Ramlee) daripada bawah kolong
(rumah sewa) di Pulau Pinang dalam filem Ibu Mertuaku.
Lebih parah apabila dalam kalangan Pas pun ‘kecoh’ dengan
kenyataan yang pelbagai, macam pasembor (rojak) atau ais kacang (air batu
campur) dekat Padang Kota Lama, Pulau Pinang.
Ada yang setuju, ada yang tidak. Ada pula yang sanggup
membuat ‘pusingan u’. Begitulah hanya sekadar kalimah Allah, orang Islam diuji
sejauh mana keupayaan mereka untuk berfikir dan menunjukkan kepada khalayak
tahap kecerdikan mereka atau sebaliknya.
Sekadar selingan, anggota DAP juga dalam keadaan ‘huru-hara’
kerana keputusan ‘misteri’ dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC)
DAP berikutan kesilapan dalam proses pengiraan undi. Ramai yang mendesak supaya
diadakan pemilihan semula. Jumlah undi yang dikira hanya sekitar 1,823 undi dan
melibatkan 63 calon.
Jumlah itu lebih kecil berbanding 46,192 undi yang dikira
oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi kawasan Parlimen Bagan pada PRU lalu.
Di seluruh negara SPR mengira lebih 500,000 kertas undi.Jumlah calon pula, di
Pulau Pinang 82 di kawasan DUN dan 27 bagi Parlimen.
Bayangkan jika kesilapan itu dilakukan oleh SPR. Bukan
setakat DAP yang akan ‘melompat’ malahan banyak lagi pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) akan bangun ‘membelasah’ SPR, mencabar kredibiliti SPR, mencabar
kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan badan itu. Mungkin ada desakan supaya
ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja.
Kembali kepada topik huru-hara, sejak Guan Eng berada di
Komtar (pusat pentadbiran kerajaan negeri), pelbagai peristiwa dapat
disaksikan. Situasi ini juga boleh dianggap huru-hara. Di situlah, sebuah parti
yang mendakwa sebagai demokratik menghalang beberapa media termasuk Utusan
Malaysia daripada membuat liputan. Inilah erti kebebasan media ala DAP.
Dulu ketika Dr. Lim Chong Eu dan Dr. Koh Tsu Koon menjadi
ketua menteri, tidak kedengaran sebarang usaha untuk menyekat kebebasan media.
Begitu juga hari ini jangan sesiapa di Pulau Pinang atau di luar negeri itu
pandai-pandai menggunakan nama Pulau Pinang (Penang) dalam apa juga penganjuran
acara.
Kena minta izin kerajaan negeri umpama memohon permit
daripada polis atau pihak berkuasa tempatan untuk menganjurkan perhimpunan atau
menampal poster. Hebatnya Penang.
Jika diselak lagi dalam tempoh empat tahun lalu, Pulau
Pinang mungkin menjadi negeri yang paling banyak mengadakan demonstrasi jalanan
atau perarakan bagi menyatakan bantahan terhadap kerajaan negeri khususnya Guan
Eng.
Suasana seumpama ini hampir tidak dapat dilihat semasa era
Chong Eu dan Tsu Koon. Jika ada pun hanya perarakan sempena menyambut
kemerdekaan, Maulidur Rasul, Cingay, kereta berhias, Hari Wesak dan Thaipusam.
Menarik juga semasa era Guan Eng ini, banyak ‘hadiah pelik’
yang cuba memasuki Komtar untuk dihadiahkan kepada Guan Eng. Paling banyak
tentulah kek. Pelbagai jenis diterima. Ada kek bersalut krim putih di luar
manakala di dalamnya berwarna hitam (simbolik pentadbiran kerajaan DAP indah
khabar dari rupa); kek replika najis manusia yang diperbuat daripada polisterin
dan disalut krim coklat (simbolik pentadbiran yang disifatkan kotor dan hanya
cantik di luar, nampak lazat tetapi tidak boleh dimakan).
Guan Eng juga dihadiahkan seluar dalam wanita dan coli
bercorak harimau (simbolik seorang peniaga yang mendakwa kerajaan negeri tidak
adil, tidak telus kepada rakyat kerana tidak memulangkan semula tapak niaga di
Komtar). Begitu juga dengan replika bengkel, tandas, jentolak dan kunci.
Sempena tiga tahun pentadbiran kerajaan DAP pula, ada pihak
yang menghadiahkan keranda kepada Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik.
Komtar juga digemparkan dengan penemuan beg galas berwarna merah, biru dan
hitam.
Beg itu ditemui di tingkat 3 Komtar. Beg berwarna biru yang
dilabel LGE mengandungi seekor biawak, beg hitam dilabel NWA ditemui seekor
anak babi dan merah yang dilabel MK ditemui seekor itik hitam. Penutup kepada
tahun 2012, dua batu nisan dibawa naik ke Komtar, juga tanda protes terhadap
kerajaan negeri pimpinan Guan Eng. Begitulah hadiah-hadiah istimewa yang
menggambarkan ‘huru-hara’ yang berlaku. Entah apa pula hadiah yang akan
menyusul selepas ini.
No comments:
Post a Comment