Sindiket pengedaran dadah di daerah ini bertindak berani
apabila memaparkan iklan menjual dadah secara terbuka di kawasan Simpang Empat,
Sedaka dan Kuala Sala, di sini, sejak beberapa hari lalu sekali gus
menggemparkan penduduk tempatan
Tinjauan Harian Metro semalam mendapati papan iklan yang
dipasang di beberapa batang pokok di kawasan berkenaan menimbulkan keresahan
penduduk kerana ia boleh mempengaruhi golongan remaja terutama pelajar sekolah.
Iklan itu memaparkan tulisan “Bukit Neraka FC - Yan
013-......., ubat - 1g RM25, ais - 05g RM110 dan ubat 1/2 suku gram - RM1,000“.
Difahamkan, papan iklan itu dipasang sejak beberapa hari
lalu bagi menarik ramai pelanggan muda membeli dadah berkenaan.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Sudin, 30
berkata, dia terkejut melihat papan iklan berkenaan dipasang di kawasan itu
kerana boleh mendedahkan orang ramai khususnya golongan muda kepada bahaya
pengambilan dadah.
“Saya ada menghubungi nombor telefon yang tertera pada iklan
itu dan pemiliknya seorang lelaki memberitahu sekiranya saya mahu membeli dadah
berkenaan boleh datang berjumpanya di Bukit Neraka, di sini.
“Saya membuat dua tiga kali panggilan dan ternyata nombor
telefon itu adalah milik lelaki yang sama. Lelaki itu tidak berselindung dengan
aktiviti penjualan dadah, malah mengarahkan saya menghubunginya semula
sekiranya sudah sampai ke lokasi yang dimaksudkan itu,” katanya yang ditemui,
di sini.
Menurutnya, dia terkejut melihat beberapa iklan berkenaan
turut terdapat di kawasan Sedaka, Kuala Sala dan Jalan Kangkong, di sini.
“Mereka ingat kawasan ini lubuk penagih dadah sehingga
sanggup memasang iklan jual dadah di sini? Sindiket dadah kini semakin berani
apabila secara terang-terangan memasang papan iklan menjual dadah di kawasan
ini.
“Walaupun kawasan ini dikenali sebagai perkampungan nelayan
tidak semestinya semua nelayan mengambil dadah. Perbuatan ini kurang ajar dan
tidak bertamadun. Justeru, saya minta pihak berkuasa menyiasat sehingga ke
lubang cacing kegiatan sindiket terbabit.
“Saya tidak mahu anak bangsa mati kerana dadah apatah
pembabitan golongan remaja terutama pelajar yang bakal mewarisi negara akan
gelap masa depan mereka,” katanya.
Sudin mendakwa kawasan Yan memang dikenali sebagai lubuk
pengedaran dadah kerana ‘tauke’ besar dadah mampu hidup mewah dengan hasil
jualan dadah.
“Sindiket ini semakin berani dan mencabar pihak berkuasa
dengan memasang iklan menjual dadah. Mereka seperti tidak takut pada
undang-undang, yang penting dapat hidup mewah,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya akan
menjalankan siasatan terhadap papan iklan berkenaan sekali gus membuat
tangkapan ke atas pihak yang dikenal pasti menjadi dalang di sebalik kegiatan
pengedaran dadah.
No comments:
Post a Comment