Seluruh anggota Umno seharusnya menerima baik hasrat Presiden Umno
Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menampilkan calon muda, yang juga muka baharu,
untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13, seiring transformasi politik
yang dilaksanakan parti dan Barisan Nasional (BN).
Ini penting dan selaras dengan usaha menampilkan pemimpin muda sebagai
pemimpin hari ini dan bukan lagi seperti ungkapan 'generasi muda adalah
pemimpin masa hadapan', yang sudah tidak lagi relevan.
Naib Ketua Pemuda Datuk Razali Ibrahim berkata pemimpin muda yang ada
dalam parti masa kini perlu dilatih dan diberi peluang untuk memastikan
kesinambungan kepimpinan parti dan negara, sekali gus menjadikan Umno dan BN
lebih kukuh.
Beliau berkata, gabungan pemimpin berpengalaman, bersama calon muda dan
muka baharu untuk bertanding 222 kerusi parlimen dan 505 dewan undangan negeri
(DUN) pada pada pilihan raya umum kelak, akan menghasilkan komposisi gandingan
kepimpinan yang mantap.
"Ini perlu kerana ia akan dapat menyakinkan rakyat bahawa Umno
adalah sebuah parti yang dinamik dan kita akan berubah mengikut suasana.
Gandingan pemimpin berpengalaman dan muka baharu yang lebih mahir dengan
teknologi selari dengan pendekatan hari ini. Ia adalah kelebihan yang boleh
kita manfaatkan," katanya kepada Bernama hari ini.
Bersandarkan kepada keanggotaan hampir 700,000 ahli Pemuda Umno dan
395,674 Puteri Umno, Umno pastinya tidak ketandusan pemimpin yang dapat
memahami hati dan minda golongan muda.
Memetik pepatah Melayu, 'kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat
sagunya', Razali berkata peluang yang diberi kepada pemimpin muda akan
membolehkan Umno meneruskan kelangsungan politik parti itu.
"Cuba tengok pembangkang, Mursyidul Am PAS Datuk Nik (Abdul) Aziz
(Nik Mat) berkata selepas 22 tahun beliau tak nampak ada orang layak memimpin
Kelantan. Dia sebagai pemimpin, dia tidak melahirkan penggantinya,"
katanya.
Selain itu, beliau berkata, pembangkang yang sebelum ini asyik
mendendangkan tentang generasi baharu dalam perjuangan politik mereka, masih
tetap menyenaraikan muka 'orang yang sangat lama' untuk mewakili parti
berkenaan.
Penampilan calon muda dan muka baharu, katanya adalah satu proses untuk
melahirkan barisan pemimpin pelapis untuk meneruskan kesinambungan pembangunan
negara.
"Seorang pemimpin yang baik bukan sahaja dinilai daripada segi
bakat kepimpinan, tetapi mereka juga mampu menyediakan pelapis dan proses
peralihan ini telah bermula dari zaman Tunku Abdul Rahman sehinggalah Datuk Seri
Najib Tun Razak untuk menjamin proses pembangunan negara tidak terhenti,"
katanya.
Razali berkata gabungan pemimpin lama dan calon muda akan dapat
membantu parti memenangi hati dan minda golongan muda kerana daripada 13.1 juta
pengundi berdaftar sehingga suku ketiga tahun ini, 42 peratus adalah pengundi
muda di bawah 40 tahun.
Mengenai calon boleh menang di kalangan muka baharu, kata beliau,
selain layak mereka mestilah mempunyai kelebihan tersendiri seperti ahli
perniagaan, pendakwah, penggiat kebudayaan dan tokoh sukan, menjadikan mereka
ikon disegani.
"Mereka harus dikenali ramai dan tidak semestinya di kalangan
orang lama sahaja. Sebab ada orang baharu yang mencipta nama malahan rakyat
mengenali mereka lebih daripada pemimpin sedia ada," katanya.
Bagi Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, sayap bongsu
Umno itu menyambut baik langkah menampilkan calon muda dalam pilihan raya umum
kelak.
"Ini menunjukkan YAB Perdana Menteri dan kepimpinan Umno
mengiktiraf peranan yang dimainkan generasi muda dengan memberi ruang serta
tempat untuk generasi muda menjadi sebahagian daripada pembuat dasar,"
katanya.
Beliau berkata, langkah ini memberi isyarat bahawa Umno konsisten
dengan proses transformasi yang dipelopori perdana menteri.
Ini membuktikan Umno adalah parti yang sentiasa mengamalkan peremajaan,
bersifat inklusif dan memberi ruang kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur,
katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment