Tuesday, 3 February 2015

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat : Sokongan Psikologikal Bukan Mempamerkan Kemurungan



KENYATAAN MEDIA:

SOKONGAN PSIKOLOGIKAL BUKAN MEMPAMERKAN KEMURUNGAN

Berikutan kekeliruan di media berkenaan kemurungan akibat bencana banjir, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ingin menjelaskan bahawan statistik yang dilaporkan oleh kebanyakkan media adalah merujuk kepada sesi psikoterapi.

Sehingga 28 Januari 2015, sebanyak 576 sesi psikoterapi (melibatkan aktiviti psikologi) telah dijalankan melibatkan 14,995 orang kanak-kanak, 289 orang dewasa, 91 sesi intervensi krisis dan sejumlah 2357 sesi sokongan psikologikal telah dibuat di kalangan mangsa-mangsa banjir.

Sokongan psikologikal yang dilaksanakan oleh Pegawai Psikologi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah bertujuan memberikan sokongan psikologi emosi, intelektual, moral dan spiritual. Oleh itu pelbagai kaedah intervensi telah dijalankan sepanjang misi bantuan sokongan psikologikal kpd mangsa banjir; iaitu intervensi krisis, aktivti psikoterapi dan sokongan psikologikal lain seperti bimbingan dan psikopendidikan.

Sehingga tarikh tersebut, seramai 101 orang Pegawai Psikologi telah terlibat dalam pengendalian intervensi krisis dan sokongan psikologikal (sokongan bagi kesejahteraan dimensi psikologi meliputi fizikal, mental, intelektual, sosial, spiritual dan persekitaran) kepada mangsa banjir dewasa dan kanak-kanak. Pegawai yang masih bertugas sehingga kini adalah 82 orang.

Misi bantuan sokongan psikologikal ini dilaksanakan semasa bencana banjir dan pasca banjir. Sesi sokongan psikologikal ini meliputi sesi yang dilakukan secara individu dan berkumpulan.
Selain memberi fokus kepada mewujudkan kesejahteraan psikologi dan pengisian aktiviti yang sihat, sokongan seumpama ini dapat membantu mengelakkan berlakunya kemurungan, kecelaruan kebimbangan dan trauma yang melampau.

Sehingga 3 Feb 2015, bilangan intervensi kaunseling yg dijalankan oleh Pegawai Psikologi JKM adalah merangkumi 577 sesi psikoterapi, 91 sesi intervensi krisis dan 2358 sesi sokongan psikologikal yang melibatkan seramai 15 000 orang kanak-kanak dan 299 orang dewasa di kalangan mangsa-mangsa banjir.


Sumber  : Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Ustaz Kazim buat laporan polis isu ceramah didakwa berbaur perkauman


Pendakwah bebas, Datuk Mohamad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim hari ini membuat laporan di Balai Polis Manjoi di sini, berhubung penyebaran rakaman video ceramah beliau yang didakwa berbaur perkauman.
Ustaz Kazim yang membuat laporan polis pada kira-kira jam 9.40 pagi, bagaimanapun enggan memberi kenyataan kepada pemberita selepas membuat laporan itu dengan terus beredar meninggalkan pekarangan balai polis.
Anggota beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilihat menunggu di luar pekarangan balai polis berkenaan sebagai tanda sokongan mereka kepada Ustaz Kazim.
Semalam, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Jambu, Tumpat, Kelantan, Pui Tiong Lam membuat laporan polis di Balai Polis Wakaf Bharu, Tumpat dengan mendakwa rakaman video ceramah Ustaz Kazim yang berdurasi 2 minit 27 saat itu seolah-olah mahu mengaibkan kaum Cina. - BERNAMA

Isu boikot: Ismail Sabri sedia beri kerjasama kepada polis


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis berhubung isu kenyataannya berkaitan boikot peniaga yang menjadi viral di laman sosial.
Ismail Sabri sebelum ini telahpun menjelaskan bahawa kenyataannya itu bukan ditujukan kepada peniaga kaum Cina tetapi kepada semua pemborong dan peniaga yang masih tidak mahu menurunkan harga barang walaupun harga minyak telah diturunkan.
"Polis menjalankan tanggungjawab, saya sedia beri kerjasama, tiada masalah.
"Setakat ini polis belum hubungi saya, dan apabila tiba tarikh sesuai di pihak saya, saya akan beri 'statement' nanti," katanya kepada pemberita pada sidang media oleh bekas pemimpin dan pemimpin Pemuda Umno Malaysia bagi menyatakan solidariti dan sokongan kepada Ismail Sabri di sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengeluarkan kenyataan dalam akaun twitternya bahawa polis akan memanggil Ismail Sabri untuk mengambil keterangan berhubung isu tersebut.
Dalam kenyataannya semalam, Ismail Sabri berkata, pengguna perlu bersatu untuk memberi tekanan kepada peniaga dalam memastikan harga barangan diturunkan ekoran penurunan harga minyak.
Kenyataannya semalam itu meminta rakyat memboikot pemborong dan peniaga yang masih enggan menurunkan harga barang yang dilihat bukan sahaja memberi faedah kepada kaum Melayu tetapi juga pengguna berbangsa Cina.
Sementara itu, kira-kira 200 bekas pemimpin dan pemimpin Pemuda Umno hadir pada sidang media itu bagi menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri.
Wakilnya, Datuk Zulkifli Alwi yang merupakan bekas Setiausaha Kerja Pemuda Umno berkata beliau percaya menteri itu tidak berniat mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dan kenyataannya hanya dipolemikkan pihak tertentu.
"Ismail yang kami kenali ialah pemimpin yang mempertahankan rakyat kebanyakan dan marhaen yang tertindas," katanya. - BERNAMA