Wednesday 6 April 2016

Pakatan Harapan Lemah Di Sarawak - Penganalisis




Pakatan Harapan Lemah Di Sarawak - Penganalisis


Oleh Anas Abu Hasan dan Mohd Faizal Hassan

KUCHING, 6 April (Bernama) -- Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara dilihat lemah dan tidak mempunyai kerjasama kuat yang boleh menggugat Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 akan datang, kata penganalisis politik.

Felo Kanan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Faisal S. Hazis berkata ini disebabkan sehingga kini belum ada konsensus rasmi yang dicapai oleh ketiga-tiga parti dalam komponen pakatan itu menjelang PRN.

"Ketika era Pakatan Rakyat dahulu pun ketiga-tiga parti (termasuk PAS) sukar untuk menawan kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) Sarawak tapi kalau dah tiada persefahaman dan kini tubuh pula pakatan baharu makin susah mereka untuk menang," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata keadaan Pakatan Harapan bertambah rumit apabila PAS yang sudah terkeluar daripada blok pembangkang itu turut akan bertanding bagi beberapa kerusi yang akhirnya mewujudkan persaingan tiga penjuru atau lebih.

Justeru, Faisal berkata BN tidak perlu bimbang kerana sekiranya keadaan ini berterusan, maka agak sukar untuk Pakatan Harapan, termasuk PAS, menawan kerusi DUN yang memang dikuasai sekian lama oleh BN.

Senada dengannya, Pensyarah Kanan Sejarah China Moden dan Sejarah Malaysia (Sarawak) Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Suffian Mansor menyifatkan mustahil untuk blok pembangkang menawan hati pengundi Sarawak dengan menggunakan isu dari Semenanjung mahupun isu berkaitan tempatan.

"Mereka tidak faham situasi dan politik di sini. Jadi agak sukar dan mustahil bagi PKR dan PAS untuk memenangi kerusi kali ini. Memang tiada harapan.

"Kecuali DAP. Itu pun jika tidak berlaku perebutan kawasan dengan PKR," katanya.

Beliau menjelaskan faktor lain yang mungkin memberi sedikit peluang dan ruang kepada pembangkang adalah berlakunya ketidakpuasanhati calon, atau kerusi di kalangan komponen BN yang kerap berlaku dalam mana-mana pilihan raya.

Menurutnya, jika isu tersebut tidak ditandingi dengan baik dan cepat, kedudukan dan kekuatan BN mungkin tergugat sekaligus merencatkan kemenangan bersih mereka.

Sebelum ini, komponen Pakatan Harapan Sarawak terdiri daripada DAP mengumumkan akan bertanding bagi 30 kerusi, manakala Amanah 13 kerusi, dan PKR pula dijangka bertanding bagi 40 kerusi DUN namun masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi.

PAS yang tidak termasuk dalam Pakatan Harapan pula turut mengumumkan akan bertanding bagi 11 kerusi DUN pada PRN ini, yang menyaksikan sebanyak 11 kerusi DUN baharu diperkenal oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tahun lepas, menjadikan kesemuanya 82 kerusi.

Pada pilihan raya negeri 2011, BN menguasai 55 daripada 71 kerusi dalam DUN Sarawak manakala DAP memenangi 12 kerusi (Padungan, Pending, Kota Sentosa, Batu Kawa, Jepok, Meradong, Bukit Assek, Dudong, Pelawan, Kidurong, Piasau, dan Pujut, yang wakil rakyatnya dipecat daripada parti pada 2013), PKR (Batu Lintang, Krian dan Ba'Kelalan) dan satu kerusi disandang wakil bebas (Pelagus).

Sementara itu Anggota Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika ditemui Bernama menasihatkan parti luar yang asing dengan budaya Sarawak supaya tidak terlalu yakin untuk bertanding dalam PRN kali ini.

Wan Junaidi, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berkata masyarakat di Sarawak tidak memerlukan pengaruh asing dari luar yang cuba memainkan sentimen benci dan perpecahan di kalangan kaum di negeri ini hanya atas dasar mahu memenangi PRN.

"Perjuangan mereka bukan mirip bantu Bumiputera atau demokrasi. Politik yang dibawa mereka telah mula berubah kepada lebih agresif, maki hamun dan ada unsur pemusnahan karakter," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment