Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pada Khamis
gagal mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi bagi memaksa Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) membatalkan nama-nama pengundi yang meragukan dalam Rang Daftar
Pemilih di kawasan Lembah Pantai.
Hakim, Datuk Seri Zakaria Sam menolak permohonan kebenaran
semakan kehakiman yang difailkan oleh Nurul Izzah.
Naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menuntut suatu
perisytiharaan bahawa keenggan Ketua Pendaftar SPR membatalkan nama-nama
pengundi dalam senarai daftar pemilih induk Lembah Pantai 2011 dan daftar
pemilih tambahan suku kedua 2012 di kawasannya adalah menyalahi undang-undang
dan tidak sah.
Pada 22 Mac lepas, Nurul Izzah dan seorang pengundi di
kawasan Parlimen Lembah Pantai, Kadir Sultan Abd Majid memfailkan permohonan
itu dengan menamakan Ketua Pendaftar SPR, SPR, Ketua Pengarah Jabatan
Pendaftaran Negara (JPN) dan kerajaan Malaysia sebagai responden.
Hakim membuat keputusan itu dalam kamar selepas mendengar
penghujahan daripada peguam Nurul Izzah, Edmund Bon dan Peguam Kanan
Persekutuan, Amarjeet Singh dan Suzana Atan yang mewakili pihak responden.
Amarjeet memberitahu pemberita bahawa hakim berpendapat
bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak, menolak atau
mengetepikan daftar pemilih selepas ia diwartakan mengikut Seksyen 9(A) Akta
Pilihan Raya 1958.
Beliau berkata, hakim juga berpendirian bahawa pemohon
(Nurul Izzah dan Kadir) tidak mempunyai kausa tindakan untuk memfailkan semakan
kehakiman kerana Ketua Pendaftar tidak membuat keputusan atau menggugurkan nama
dalam senarai daftar pemilih.
"Pemohon telah menghantar tiga pucuk surat kepada Ketua
Pendaftar bertarikh 4 Mac dan beliau (Ketua Pendaftar) membalas surat itu
dengan menyatakan beliau sedang meneliti perkara itu. Jadi tidak ada keputusan
daripadanya," kata Amarjeet.
Sementara itu, Edmund berkata beliau akan membincangkan
dengan anak guamnya sama ada mahu merayu terhadap keputusan itu.
Dalam permohonannya, Nurul Izzah mendakwa semakan daftar
pemilih menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya 4,637 pengundi dengan alamat
tidak lengkap, 133 pengundi bukan menetap di Lembah Pantai dan tiga pengundi
meninggal dunia masih tersenarai sebagai pemilih di kawasannya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment