Nampaknya Dato’ Seri Azizan Razak, Menteri Besar Kedah telah
membuat kenyataan yang boleh disifatkan sebagai ‘politically incorrect’ apabila
mengkritik rakan sekutu sendiri terutama di saat pilihanraya menjelang tiba.
Kata Azizan di dalam satu wawancara ekslusif bersama The
Malaysian Insider, PKR Selangor telah berbuat kesilapan kerana menabur janji
yang terlalu banyak yang tidak mampu ditunaikan. Malah beliau juga menyatakan
bahawa kesilapan itu adalah berpunca dari ketiadaan pengalaman dan menuduh
rakyat yang menuntut janji agar kerajaan membayar rumah mereka sebagai ‘puak
yang gila’.
Tidak semena-mena yang menuntut janji pula yang dituduh
gila, sedangkan yang gila adalah parti yang gila-gila menabur janji-janji gila.
Kata orang, menilai seorang itu adalah dari rakannya, dan
PAS Kedah adalah rakan kepada PKR Selangor juga. Maka, jika PKR Selangor gila,
maka tentulah gila juga PAS Kedah kerana sanggup berkawan dengannya.
Buktinya, menurut Azizan, slogan Kedah Sejahtera membawa
maksud kerajaan yang hanya menjamin keselamatan dan kesejahteraan tetapi bukan
membiarkan rakyat bergantung kepada kerajaan. Dalam kata lain, asalkan tidak
rasuah, maka sesiapa saja boleh jadi kerajaan walaupun tidak mampu menjana wang
negeri.
Hujah Azizan adalah separuh betul, iaitu rakyat perlu
mencari wang sendiri, tetapi Azizan sebagai tonggak kerajaan perlu menyediakan
peluang pekerjaan, suasana yang stabil dan berdaya untuk maju dan membangun
bagi membolehkan rakyat mencari wang itu. Takkan Azizan mengharap rakyat
membina kilang sendiri untuk bekerja sebagai kuli? Tentulah Azizan yang perlu
mengusahakan pelaburnya.
Mungkin ramai rakyat Kedah yang tidak tahu bahawa
pembangunan kedai dan rumah di Kedah majoritinya hanyalah kesinambungan dari
projek BN. Sejak PAS mengambil alih, satu projek pun tidak berjalan dengan
lancar. Malah, membina masjid pun tidak mampu tetapi tidak malu menipu
mengambil nama atas usaha BN.
Kedah, di bawah pemerintahan PAS benar-benar menyuruh rakyat
mencari wang sendiri kerana langsung tidak mamp menjana kewangan negeri, dan
sebaliknya menghabiskan, membazir serta meningkatkan kerugian negeri akibat
projek yang tergendala, tidak masuk akal serta amalan kronisme dan nepotisme
yang kronik di peringkat pemberian projek dan pekerjaan.
Kita tahu bahawa Azizan adalah anak petani dan bangga
sungguh menjadi anak petani. Itu kita puji. Tetapi, Azizan tidak harus
mengharapkan rakyat bertani sahaja untuk mencari rezeki sedangkan rakyat negeri
lain berpeluang bekerja di sektor yang lebih mencabar dan memberi pulangan yang
besar.
Apakah Azizan mahu anak-anak Kedah mengambil kursus
pertanian atau perniagaan tani semata-mata? Bagaimana dengan anak-anak yang
bijakpandai dalam ilmu sains atau matematik? Yang bercita-cita menjadi
jurutera? Saintis? dan sebagainya?
Kita tahu pemikiran Azizan amat cetek dan berkisar kepada
golongan petani dan orang-orang kampung sahaja. Paling jauh pun, Azizan hanya
boleh bayangkan pekerjaan sebagai peguam. Azizan berpemikiran seperti orang
dulu kala yang masih tersekat di era pertanian sedangkan dunia telah tiba ke
zaman infrared dan nanoteknologi.
Selagi Kedah berada di bawah pemerintahan pemimpin yang
mundur dan terkebelakang, selagi itulah orang-orang Kedah tidak akan ke mana.
Sedikit masa lagi, Kedah tentu akan dapat menyaingi Kelantan dari segi
kemunduran dan seterusnya masalah sosial.
Jadi kali ini Azizan tidak mahu lagi berjanji apa-apa kepada
rakyat Kedah. Tiada lagi janji Negeri Islam atau Negeri Kebajikan akan
kedengaran di Kedah menjelang PRU-13. Tiada lagi janji sejahtera atau
peningkatan negeri yang meningkat atau peluang pekerjaan yang banyak atau apa
saja.
Azizan yakin akan memenangi PRU tanpa menabur janji seperti
pegangan partinya.
Justeru rakyat Kedah wajar memikirkan, jika telah berjanji
pun tidak boleh ditunai, apatah lagi tidak berjanji apa-apa. Tentulah lega
Azizan nanti kerana tidak perlu berbuat apa-apa dan rakyat tidak boleh
mengungkit kerana beliau tidak pernah berjanji. Maka, bersenang lenanglah
beliau di singgahsana sementara rakyat terkejar-kejar berhempas pulas mencari
duit sendiri.
Pendirian Azizan ini juga membangkitkan persoalan mengenai
tidak konsisten dengan prinsip PR yang menjanjikan bulan dan bintang untuk
rakyat.
Jika PR telah berjanji di peringkat pusat, maka Azizan tidak
boleh tidak, wajib turut bertanggungjawab memastikan janji-janji tersebut
terlaksana di peringkat negeri. Sekiranya Azizan tidak mahu terlibat dengan
janji-janji PR, maka beliau wajar membuat parti sendiri, dan bertanding atas
tiket Bebas sahaja. Selama ini pun Azizan banyak mengambil sikap bertentangan
dengan PAS Pusat bukan?
No comments:
Post a Comment