Tertarik dengan program transformasi dan program membantu
rakyat yang digarap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sekumpulan
penyokong tegar PAS dari Kampung Jerong Seberang dan Kampung Bukit Cempedak di
Marang tekad menyertai Umno.
Ramli Abdullah, 53, mewakili 80 bekas penyokong PAS itu,
berkata mereka menyertai Umno kerana tertarik dengan program transformasi yang
dirancang kerajaan bagi membantu rakyat terutama golongan miskin serta penduduk
kampung.
Katanya program transformasi yang diwujudkan kerajaan
benar-benar bertujuan membantu semua golongan terutama rakyat berpendapatan
rendah selain memberi tumpuan kepada kemajuan negara.
"Kami selama lebih 30 tahun menjadi pengikut PAS, tidak
ada apa-apa pembangunan yang disediakan di kampung kami, malah keadaan kami
semakin terpencil dan terasing," katanya kepada pemberita selepas
mengunjungi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said pada majlis Selamat Tinggal
PAS, BN Di Hatiku, di kediamannya, Seri Iman, di sini hari ini.
Pada majlis itu, 80 pengikut dan penyokong setia PAS dari
kedua-dua kampung berkenaan berikrar memberi sokongan penuh kepada Umno serta
menyerahkan borang keanggotaan Umno kepada Ahmad yang juga Pengerusi Badan
Perhubungan Umno negeri.
Sementara itu seorang lagi bekas penyokong PAS Mohd Zulfadli
Zakaria, 28, dari Kampung Bukit Cempedak, berkata beliau sedih kerana selama
menjadi pengikut setia PAS, tiada apa yang disumbangkan parti pembangkang itu
bagi kemajuan kampungnya.
"Mereka (PAS) tidak menghirau langsung penduduk Kampung
Bukit Cempedak. Remaja dan belia di kampung kami terumbang-ambing tidak ada
bimbingan, tidak ada program yang dirangka bagi kemajuan kami.
"Kami berharap setelah menyertai Umno, kami akan
menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung bagi kemajuan kampung
kami setanding dengan kampung lain," katanya yang mewakili orang muda
kampung berkenaan.
Ketika berucap pada majlis itu, Ahmad berkata sehingga ini
kerajaan telah membina 300 unit rumah mampu milik di Bukit Gasing dan 500 unit
lagi di Bukit Payong dalam daerah Marang.
"Jika Barisan Nasional memenangi empat kerusi DUN serta
Parlimen Marang, kerajaan akan membina 1,000 unit lagi rumah selain sebuah
Sekolah Agama Imtiaz yang menelan belanja antara RM50 juta ke RM60 juta di
daerah itu," katanya.
Parlimen Marang dan dua DUN di bawahnya iaitu Rhu Rendang
dan Bukit Payong dikuasai PAS manakala DUN Alor Limbat serta Pengkalan Berangan
pula dipegang BN.
No comments:
Post a Comment