Thursday, 31 January 2013

Rakyat Selangor Tuntut Janji PRU 12 Tapi Dapat Pusat Hiburan, Rumah Urut




Kerajaan Selangor diminta untuk melunaskan dan menyempurnakan janji-janji yang dibuat pada Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu, sehingga rakyat termakan janji, yang akhirnya menyaksikan kerajaan Barisan Nasional (BN) Selangor kalah dan hari ini menjadi pembangkang di negeri itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Ungku Salleh Ungku Jamal berkata, apa yang terjadi hari ini di Selangor, bukan sahaja janji-janji PRU belum dilaksanakan, sebaliknya ‘janji-janji’ yang tidak dibuat seperti percambahan dan pertumbuhan pesat premis-premis seperti rumah urut, judi yang berleluasa tumbuh bak cendawan tumbuh selepas hujan.

“Akhirnya, rakyat yang rugi, kini sudah sampai masanya rakyat memilih parti yang tepat untuk mentadbir Selangor berikutan tindakan kerajaan negeri yang jelas memperdayakan rakyat Selangor dengan meraih undi melalui janji-janji palsu mereka yang lalu.

“BN tidak sewenang-wenangnya membuat janji, tidak mudah untuk melafazkan janji-janji yang sukar untuk ditunai ataupun dilaksanakan, tidak seperti kerajaan negeri hari ini di bawah kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim yang hanya pandai berjanji, namun apa yang dijanjikan melalui manifesto, hakikatnya hari ini dilihat sebagai manifesto bukan satu perjanjian,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Serdang berkata demikian kepada UMNO-Online ketika ditemui pada majlis Semarak Perjuangan NGO Selangor, malam tadi di Taman Medan.

Tambahnya, hari ini rakyat khususnya rakyat Selangor perlu membuka mata apabila Pakatan Pembangkang sudah mula menunjukkan belang dan sifat mereka yang sebenar.

“Dahulu sebelum Mac 2008 mereka menjanjikan rakyat dengan pelbagai janji – janji manis demi mendapat sokongan dan undi pengundi . Selepas Mac 2008 apabila mereka gagal untuk melaksanakan sebahagian besar janji mereka mula menyalahkan BN di atas segala kegagalan mereka untuk menepati janji mereka.

“Jangan terpengaruh dengan segala dasar, polisi, manifesto dan janji Pakatan Pembangkang dalam PRU 13 akan datang kerana kesemuanya hanyalah jualan politik semata–mata dan bukanlah satu perjanjian yang mesti dilaksanakan sebaliknya rakyat harus menyokong BN yang berpegang pada konsep Menepati Janji dan bukannya memungkiri janji.

“Apakah maknanya perubahan dan konsep ubah untuk mengubah sebuah kerajaan yang menepati janji dan digantikan dengan kerajaan yang tidak mampu untuk melaksanakan janji mereka? Rakyat sepatutnya mengutamakan kestabilan negara berbanding dengan konsep perubahan yang akan memudaratkan negara,” tambahnya lagi.

No comments:

Post a Comment