PILIHANRAYA
1. Kemana sahaja saya pergi, di Malaysia atau luar Negara,
saya akan ditanya bila pilihanraya akan diadakan.
2. Saya harap saya tahu jawapannya tetapi Perdana Menteri
tidak memberitahu saya apa-apa, dan lazimnya hanya Perdana Menteri yang boleh
menentukan tarikh tersebut. Sudah tentu tarikh itu tidak boleh melangkaui
tempoh 5 tahun hayat Parlimen.
3. Soalan seterusnya ialah samada Barisan Nasional akan
menang. Jawapan saya ia akan menang. Tetapi sebesar mana kemenangan itu sangat
penting. Malaysia tidak boleh ditadbir oleh Parlimen yang berbelah-bahagi (hung
Parliament) atau sebuah Kerajaan yang lemah. Keduanya tidak baik untuk Malaysia
kerana semua akan tumpu kepada politik dan ekonomi serta pembangunan akan
diketepi.
4. Ramai yang berkata Perikatan/Barisan Nasional telah
berkuasa terlampau lama. Benar. Saya percaya bahawa sesuatu pemerintahan tidak
boleh terlalu lama. Tetapi sekarang saya tidak begitu yakin pandangan saya
boleh digunapakai untuk semua keadaan.
5. Ini kerana alternatif kepada Barisan Nasional adalah
sesuatu yang menakutkan Ia dipimpin oleh seorang yang obsesi hanya hendak jadi
Perdana Menteri tidak kira bagaimana sekalipun. Dulu saya tertanya-tanya
mengapa ia menyertai UMNO dan bukan PAS. Sekarang saya faham. Ia akan melakukan
apa sahaja untuk menjadi Perdana Menteri. Menyertai UMNO dan tidak PAS, yang
pemimpinnya tidak pernah jadi Perdana Menteri, ia akan menjadi Perdana Menteri
hanya dengan memanjat tangga kepimpinan UMNO. Sebaik sahaja menyertai UMNO ia
bertanding jawatan Ketua Pemuda. Kemudian ia bertanding Naib Presiden
seterusnya Timbalan Presiden. Langkah selanjutnya ialah menjatuhkan Presiden
dan menjadi Perdana Menteri. Ia amat mudah.
6. Tetapi Perdana Menteri kelihatan tidak mahu berundur.
Maka ia memulakan gerakan sulit memburukkan Perdana Menteri. Apa yang berlaku
sudah menjadi lipatan sejarah.
7. Sekarang ia menerajui pembangkang dengan harapan akan
dinobatkan di Putrajaya sebagai Perdana Menteri selepas pilihanraya ini. Saya
berpendapat ini tidak baik untuk Negara. Begitu juga dengan koleksi caca-marba
Pakatan yang cuma berpakat untuk tidak bertanding sesama mereka tetapi
sebaliknya menyokong satu sama lain untuk memenangi pilihanraya sahaja. Selain
parti “Saya mahu jadi Perdana Menteri”, turut sama ialah parti yang rasis dan
parti yang memperalatkan agama. Mereka akan berbalah sepanjang masa. Mereka
bukan satu gabungan. Mereka cuma berpakat untuk membantu masing-masing
memenangi pilihanraya. Sekarang pun mereka sudah berbalah berkenaan siapa yang
patut jadi Perdana Menteri. Mereka tidak berpegang kepada pendapat bahawa parti
yang terbesar harus memimpin.
8. Memang benar Barisan Nasional sudah lama berkuasa. Begitu
juga PAS di Kelantan. Tiada siapa boleh nafi kemajuan dan kemakmuran luar biasa
yang dikecap di Negara dicapai dalam tempoh pemerintahan Barisan Nasional. Ini
tidak boleh dinyatakan mengenai pencapaian PAS di Kelantan.
9. Kepimpinan PAS dan DAP yang sudah berumur tidak bertukar
jauh lebih lama berbanding Barisan Nasional dan parti-parti komponennya. Sudah
enam Perdana Menteri memimpin Kerajaan Barisan Nasional tetapi dalam tempoh itu
Ketua DAP masih tetap ditempatnya dan tidak mahu melepaskan jawatan. Dan
anaknya akan mengambil-alih. Sebuah dinasti sedang terbina.
10. Kepimpinan PAS juga tidak berubah dalam tempoh
kepimpinan empat pemimpin Barisan Nasional.
11. Ketua Keadilan meletakkan dirinya sebagai Penasihat
tetapi menobat isterinya sebagai Presiden dan anak perempuannya sebagai Naib
Presiden. Teman akrabnya menjadi timbalan. Tidak ada tanda-tanda akan berlaku
sebarang perubahan kepimpinan. Dan pasti tiada pemimpin yang akan meletak
jawatan.
12. Perubahan mestilah dari dalam dan luar. Perubahan luaran
hanyalah untuk mengabui mata. Semasa kepimpinan enam ketua UMNO, polisi agak
berbeza diantara satu sama lain. Kerajaan yang dipimpin tidak boleh dianggap
sama. Yang pasti prinsip politik dan ekonomi jauh berbeza. Begitu juga dengan
dasar luar. Malah boleh dikata walaupun nama adalah sama, Kerajaan setiap
Perdana Menteri itu berbeza satu sama lain.
13. Barisan Nasional yang bertanding dalam Pilihanraya Umum
ke !3 tidak akan sama dengan Barisan Nasional dibawah kepimpinan lima yang
terdahulu. Ia adalah Barisan Nasional yang baru. Dan perubahan akan berlaku.
14. Namun begitu Barisan Nasional tetap berpegang kepada
prinsip dan polisi asas yang sama. Parti komponen BN mengamalkan demokrasi di
dalam parti dan Negara. BN percaya kepada perdagangan bebas dan inisiatif dari
sector swasta. BN berpegang kepada kerjasama antara kaum dan perkongsian kuasa.
BN juga percaya kepada agihan kekayaan yang adil diantara kaum. BN mesra
perniagaan tanpa meminggir kepentingan anggota masyarakat yang lain.
15. Ia terbuka kepada innovasi dan idea-idea baru serta
mengambil-kira pandangan yang dilontar rakyat dan ini membawa kepada perubahan
dan transformasi. Cuma yang buta sahaja yang tidak dapat melihat perbezaan
antara pemimpin tertinggi Kerajaan BN.
16. Ini bukanlah Negara satu parti. Barisan Nasional itu
sendiri adalah gabungan 14 parti yang berlainan. Mereka boleh bersama atau
memilih untuk keluar. Banyak parti ditubuh di Malaysia semasa zaman Perikatan
dan Barisan memerintah Negara. Setengahnya dapat bertahan walaupun tidak
menyertai gabungan Kerajaan.Yang lain seperti Sosialis, terus hilang.
Setengahnya berjaya ke Parlimen manakala yang lain gagal memastikan wakil
mereka ke Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri.
17. Parti-parti pembangkang yang bertahan tidak pernah gagal
untuk memenangi beberapa kerusi di dalam setiap pilihanraya. PAS kekal
menerajui Kelantan menerusi beberapa pilihanraya dan pernah memenangi
Terengganu dua kali. Sebuah parti tempatan pernah menewaskan Barisan Nasional
dan menubuh Kerajaan di Sabah. Pulau Pinang dimenangi Parti Gerakan, ketika itu
sebuah parti pembangkang.
18. Pilihanraya di Malaysia tidak pernah membosankan. Dalam
tahun 1969, Perikatan hampir kalah dan dalam tahun 2008 Barisan Nasional
kehilangan lima buah Negeri, satu Wilayah Persekutuan dan gagal mendapatkan
majoriti dua pertiga di peringkat Persekutuan. Keputusan pilihanraya di
Malaysia tidak pernah melihat parti yang memerintah mendapat sokongan 99%.
Hakikatnya parti pembangkang selalu memenangi sebilangan kerusi di peringkat
Dewan Undangan Negeri dan peringkat Persekutuan.
19. Sukar untuk memahami bagaimana seseorang boleh
menyatakan bahawa Malaysia adalah Negara pemerintahan satu parti. Memang benar
Perikatan dan Barisan Nasional memenangi semua pilihanraya Persekutuan. Negara
ini negara demokratik dan jika rakyat memilih untuk mengundi semula parti
Kerajaan itu hak demokratik mereka. Mengundi pembangkang untuk memerintah tidak
menjadikan Malaysia lebih demoratik mahupun menjadi bukti kita mengamalkan
system dwi-parti. Pandangan jika mengundi pembangkang dalam pilihanraya akan
datang akan menjadikan Malaysia negara yang mengamalkan system dwi-parti adalah
tidak berasas. Parti-parti pembangkang tidak mewakili satu parti, bukan pun
satu gabungan. Mereka membantu satu sama lain hanya untuk memenangi
pilihanraya. Mereka akan kekal bersendirian, setiap satu dengan dasar dan
agenda masing-masing. Mereka mungkin menubuhkan Kerajaan campuran tetapi ia
akan menjadi gabungan yang longgar tanpa satupun agenda yang jelas.
20. Barak Obama menjanjikan perubahan bila terpilih. Tetapi
ia tidak berdaya untuk menutup Guantanamo Bay ataupun keluar segera dari Iraq
atau Afghanistan. Ia terpaksa meneruskan tindakan yang dirancang oleh orang
yang digantikannya. Apabila tamat edahnya tiada apa perubahan yang telah
berlaku di Amerika Syarikat.
21. Di Jepun kehendak kepada perubahan membawa kepada
kekalahan LDP. Sekarang LDP kembali berkuasa menggantikan Parti Demokratik
Jepun yang kekal hanya satu penggal. Perubahan Kerajaan tidak meningkat kemajuan
Jepun.
22. Pendapat bahawa perubahan semestinya membawa kebaikan
tidak selalu benar. Milton Obote dikatakan Presiden yang tidak baik untuk
Uganda. Maka Idi Amin merampas kuasa. Ia lebih buruk sehingga terpaksa
diturunkan secara paksa oleh tentera yang memberontak.
23. Iraq diperintah oleh Saddam Hussein sebagai diktator. Ia
dikatakan amat kejam. Amerika Syarikat membuat keputusan melakukan pertukaran
rejim (regime change). Ini melibatkan pembunuhan 200,000 rakyat Iraq yang tidak
berdosa selain menghancurkan negara mereka.
24. Terdapat Kerajaan baru sekarang tetapi disangsikan
kebaikannya berbanding Kerajaan Saddam. Tidak ada pertelingkahan antara puak
Sunnah wal Jamaah dengan Syiah di zaman Saddam, tetapi sekarang pertembungan
ganas sering berlaku antara dua pihak ini, masing-masing mengebom dan membunuh
pihak yang lain.
25. Terdapat banyak contoh perubahan rejim tetapi
kebanyakkannya tiada perubahan yang berlaku hasil darinya. Amat sedikit contoh
menunjuk apabila berlaku perubahan keadaan bertambah baik. Sepertimana
dikatakan oleh orang Perancis “Plus ca change, plus c’est la meme chose” (lebih
banyak perubahan, lebih banyak kekal sama).
26. Tidak perlu menukar Kerajaan semata-mata untuk menegak
system dwi-parti. Negara yang mempunyai system dwi-parti tidak berkeadaan lebih
baik. Mereka masih menghadapi krisis kekonomi dan kewangan, mereka mengalami
kemelesetan, berdepan dengan demonstrasi jalanan dan mogok.
27. Saya telah nyatakan sebelum ini “better the devil you
know than the angel you don’t.” Barisan Nasional bukanlah syaitan. Negara ini
maju dengan jaya di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Bila kejayaan tidak
berlaku, Barisan cepat menukar pemimpin yang gagal.
28. Pilihanraya memberi kita peluang untuk menunjuk kepada
parti pemerintah akan perlunya mengubah dirinya sendiri. Mesej ini akan sampai,
amaran telah diberi dan tindakan positif akan diambil.
29. Jangan perjudi Negara ini dengan yang tidak dikenali dan
yang belum teruji. Beberapa peluang yang diberi kepada pembangkang menunjuk
kekurangan kemahiran dan pencapaian. Kelantan jelas tidak maju dengan baik.
Pulau Pinang pula, kejayaan yang sedikit disertai dengan kegagalan yang banyak.
30. Pilihanraya bertujuan untuk rakyat memilih parti yang
akan memerintah Negara. Ramai percaya majoriti rakyat tahu apa yang baik untuk
mereka. Tetapi hakikatnya majoriti rakyat tidak tahu. Mereka mengundi samada
berdasarkan kaum atau parti yang propagandanya terdedah kepada mereka. Cuma
segelintir yang memahami isu-isu dan kualiti parti yang bertanding.
31. Akibatnya, pilihanraya mungkin menyebabkan parti yang
tidak layak terpilih membentuk Kerajaan.
32. Kerana kemungkinan ini, amatlah penting pengundi diberi
seberapa banyak penjelasan yang mungkin mengenai parti dan dasar serta rekod
mereka supaya pengundi dapat membuat keputusan yang pintar.
Posted by GAP KEMBALI
No comments:
Post a Comment